Isnin, 4 Julai 2022 | 12:41pm
Setiap kali penerima Sasterawan Negara diumumkan, nama-nama pengarang lebih popular dalam kalangan masyarakat pembaca akan diapungkan dengan soalan, mengapa tidak mereka ini yang menang? Antaranya Faisal Tehrani (paling kiri); SM Zakir; Azmah Nordin; Zainal Rashid Ahmad dan Jong Chian Lai. GAMBAR NSTP
Setiap kali penerima Sasterawan Negara diumumkan, nama-nama pengarang lebih popular dalam kalangan masyarakat pembaca akan diapungkan dengan soalan, mengapa tidak mereka ini yang menang? Antaranya Faisal Tehrani (paling kiri); SM Zakir; Azmah Nordin; Zainal Rashid Ahmad dan Jong Chian Lai. GAMBAR NSTP

Sasterawan Negara dipilih berdasarkan pencalonan

KUALA LUMPUR: Seakan menjadi lumrah kebelakangan ini setiap kali nama Sasterawan Negara (SN) baharu diumumkan terdapat pelbagai pandangan yang menjurus kepada persoalan, apakah wibawa tokoh itu hingga diangkat sebagai SN?

Apatah lagi selepas kontroversi pemilihan SN ke-14 dua tahun lalu, masyarakat terutamanya di luar dunia sastera sering mengukur tokoh yang diangkat ke kedudukan itu berdasarkan populariti. Misalnya, apakah karya yang dihasilkannya?

Justeru, setiap kali juga nama-nama pengarang lebih popular dalam kalangan masyarakat pembaca akan diapungkan dengan soalan, mengapa tidak mereka ini yang menang? Antaranya Mohd Faisal Musa (Faisal Tehrani); Azmah Nordin; Syed Mohd Zakir Syed Othman (SM Zakir) dan Jong Chian Lai.

Namun bagi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang diamanahkan sebagai sekretariat Anugerah Sastera Negara sejak 1979, perkara paling asas adalah pencalonan.

Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP, Dr Abang Patdeli Abang Muhi, berkata tidak dinafikan terdapat ramai pengarang yang boleh dicalonkan sebagai SN. Namun sayang sekali mereka ini tidak dicalonkan oleh mana-mana pihak.

"Dalam syarat pemilihan SN, terdapat satu syarat yang menyebut pengarang tidak boleh mencalonkan diri sendiri. Jadi, jika anda merasakan terdapat pengarang yang dianggap layak dinobatkan sebagai SN, calonkan mereka.

"Kita perlu ingat, juri mungkin tahu prestij dan populariti seseorang pengarang namun mereka perlu melihat bukti bertulis. Jadi, ia perlu dibuat dengan penghujahan bersifat akademik bukan sekadar menyenaraikan karya yang sudah dihasilkan.

"Kita sebagai pencadang mesti menghujahkan mengapa pengarang itu perlu dinobatkan dan mengapa karyanya hebat serta layak dinilai," katanya.

Abang Patdeli berkata, terdapat juga sebahagian pencalonan dibuat dengan hanya menghantar resume seolah-olah memohon pekerjaan. Hal ini katanya tidak betul kerana yang dicari adalah tokoh sastera kebangsaan justeru walaupun mungkin kertas pencalonannya tidak tebal tetapi perlulah kuat dengan hujah sokongan.

Tambahnya, setiap kali pemilihan SN dibuat DBP akan melantik lapan juri tidak termasuk ketua juri. Kesemua mereka adalah gabungan tenaga baharu dan lama, pengkaji juga sarjana sastera selain turut disertai SN sedia ada.

Justeru tegasnya, persoalan kewibawaan juri tidak boleh dinafikan namun pada akhirnya pencalonan mestilah dibuat dengan betul dan tepat.

"Kita perlu ingat, tentu saja sekretariat tidak boleh menghebahkan senarai awal calon SN atau senarai akhir, ini adalah etika kerahsiaan. Malah Hadiah Nobel Kesusasteraan pun tidak menghebahkan calon mereka. Hanya kita diberitahu penerimanya sahaja. Selebihnya hanya sensasi media saja.

"Begitu juga dengan SN. Juri bersidang sebanyak tiga kali dan setiap kali sesi itu berlangsung dalam tempoh lama kerana perbincangan dan perdebatan sesama juri. Setiap syarat mempunyai markah tertentu, jadi ia tidak hanya bergantung kepada karya semata-mata tetapi ketokohan bakal penerima," katanya.

Tegas Abang Patdeli, terdapat pandangan popular dalam kalangan orang awam menanyakan mengapa sekretariat tidak turun padang mencari nama pengarang yang tercicir daripada pencalonan.

Hal ini katanya tidak wajar kerana setiap kali pencalonan dibuka ia akan dihebahkan secara meluas dan dibuka kepada semua pihak. Justeru, tidak ada alasan untuk mana-mana pihak ketinggalan.

Dalam hal pencalonan katanya, persatuan penulis sama ada peringkat nasional, negeri atau daerah atau universiti malah orang perseorangan yang berwibawa misalnya sarjana sastera boleh membuat pencalonan. Jadi seharusnya, tiada ada pengarang yang tertinggal.

"Isunya adalah adakah dia layak dicalonkan? Adakah dia mempunyai ketokohan untuk orang lain calonkan dia?

"Banyak orang pertikaikan kenapa bukan A kenapa mesti B, persoalan asas, adakah dia dicalonkan? Jika tidak dicalonkan mengapa? Adakah dia konsisten berkarya?

"Mungkin dia terkenal pada zaman 80-an misalnya dengan puisi-puisinya yang hebat tetapi adakah dia konsisten berkarya hingga pada tahun pencalonan? Jika penulisannya terhenti misalnya selama 20 tahun atau 10 tahun dia tentu saja akan dipintas oleh calon lain yang tekal berkarya," katanya.

Abang Patdeli berkata, pemilihan SN atau Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) tidak terikat dengan usia, gender atau bangsa sekali pun. Tidak ada istilah penganugerahan sastera hanya untuk mereka yang berusia 60 tahun ke atas.

Apa yang penting katanya, jika masyarakat merasakan seseorang pengarang itu layak dinobat sebagai SN, bantu mereka dengan membuat pencalonan sebab mereka tidak boleh mencalonkan diri sendiri.

"Untuk menanyakan apa fungsi DBP, kami sudah buat yang terbaik dan proses pembaikan itu akan berterusan. Kami mendengar pendapat awam tetapi dalam masa sama, berlaku adil.

"Jika anda rasa pengarang A layak, calonkan mereka sebab pencalonan dihebahkan dan tempohnya agak lama. Jangan hanya hantar resume, ini bukan minta kerja tetapi mencari seorang tokoh yang mewakili sastera kebangsaan untuk tempoh penganugerahan," katanya.

Tambah Abang Patdeli, terdapat persepsi yang mengatakan hanya mereka yang sudah menerima SEA Write sahaja boleh menerima SN, namun ia tidak benar. SEA Write bukan penanda aras penerimaan SN. Hal ini kerana ia adalah pengiktirafan dari Thailand sedangkan prestij anugerah dalam negara misalnya Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) jauh lebih tinggi.

"Jadi kita kena peka, yang diangkat mestilah ada ketokohan. Tidak semestinya dia ramai pengikut atau aktif berpersatuan sebaliknya cukup pada kualiti karyanya, pemikiran yang dibawanya dan pembaharuan dalam dunia sastera itu sendiri yang meninggalkan impak misalnya dia memperkenalkan teori sastera," katanya.

Sementara itu mengulas mengenai beberapa nama besar dunia sastera yang tersingkir meskipun dicalonkan, Abang Padeli berkata terdapat banyak faktor hal itu terjadi. Antaranya ketekalan berkarya selain sumbangan pemikiran dan karya seseorang calon lebih cenderung kepada bidang budaya dan bukan sastera.

Berita Harian X