Selasa, 22 Februari 2022 | 3:06pm
Pahit untuk ditelan namun realitinya selepas 65 tahun merdeka, kedudukan bahasa Melayu yang sepatutnya menjadi wadah penting dalam memupuk perpaduan masih gagal direalisasikan. GAMBAR ARKIB NSTP
Pahit untuk ditelan namun realitinya selepas 65 tahun merdeka, kedudukan bahasa Melayu yang sepatutnya menjadi wadah penting dalam memupuk perpaduan masih gagal direalisasikan. GAMBAR ARKIB NSTP

"Kita saling curiga"

KUALA LUMPUR: Pahit untuk ditelan namun realitinya selepas 65 tahun merdeka, kedudukan bahasa Melayu yang sepatutnya menjadi wadah penting dalam memupuk perpaduan masih gagal direalisasikan.

Ketidakseragaman dalam konteks sistem pendidikan negara, kelemahan dalam tindakan penguatkuasaan dan iltizam politik yang tenggelam timbul dilihat antara faktor menyumbang kepada kegagalan memartabatkan bahasa Melayu sebagai alat menyatukan masyarakat pelbagai bangsa, kaum dan etnik di negara ini.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong, dengan lantang menegaskan sewajarnya kita mengakui kegagalan dalam membentuk sebuah negara bangsa yang tinggi nilai nasionalisme melalui bahasa Melayu.

"Saya kira pertamanya harus akui kita gagal. Kalau kita tak nak mengaku hakikat ini, maka selamanya ia tidak dapat diatasi.

"Perkara ini berlaku di sekolah vernakular, misalnya sekolah jenis kebangsaan Cina, rata-rata lepasan sekolah ini walaupun diajar bahasa Melayu dan Inggeris, mereka hanya fasih dalam bahasa Cina.

"Dari segi nasionalisme, banyak yang tak kena kalau warganegara tak tahu bahasa negaranya," katanya dalam forum khas sempena Minggu Keharmonian Antara Agama Sedunia yang bertajuk "Adakah Bahasa Kebangsaan Berjaya Menjadi Alat Perpaduan?".

Forum itu yang diadakan secara maya dianjurkan oleh Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN).

Kok Seong berkata, istilah bahasa kebangsaan itu sendiri yang membawa mesej kepada satu penyatuan seakan tidak berlaku. Jika ia dijadikan ukuran perpaduan kaum di Malaysia, ternyata kesepaduan masih rendah sekali gus membunuh semangat bersatu padu yang dihasratkan.

"Kita boleh lihat tahap perpaduan yang pada hari ini disebut kesepaduan sosial. Ia hanya wujud pada tahap sosial sahaja.

"Ada tiga ciri penting di sini, pertamanya pergaulan kita terhad. Kalau bergaul pun untuk melaksanakan sesuatu fungsi dalam tempoh masa sekejap.

"Kedua, pergaulan kita di antara Melayu, Cina dan India sekadar kenal begitu sahaja, tidak secara mendalam. Paling dahsyat, kita curiga mencurigai antara satu sama lain dan adanya defisit kepercayaan. Misalnya Melayu tak percaya Cina, Cina tak percaya India," katanya.

Tegas Kok Seong, sangat penting untuk kita sebagai warganegara untuk melihat semula punca kepada kegagalan ini dengan mengambil kira sejarah pelbagai empayar pada masa lalu yang menunjukkan bahasa Melayu mempunyai kuasa untuk menyatupadukan masyarakat.

Sementara itu, Pengerusi Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Dr Awang Sariyan optimis masih ada jalan keluar untuk memperkasakan semula penggunaan bahasa Melayu dengan syarat dasar berkaitan dengan agenda itu diperkukuh dan tidak 'dicantas' melalui pelaksanaan program yang bertentangan dengannya.

"Dalam isu pendidikan membabitkan sekolah vernakular, ia tidak sepatutnya dipandang sepi dan dibiarkan (dengan alasan) ia sudah lama wujud, sebaliknya perlu kepada penyelesaian secara beransur-ansur.

"Tidak bermakna sekolah vernakular perlu ditutup dalam tempoh 24 jam, tetapi untuk permulaan jadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama di sekolah jenis kebangsaan.

"Buatlah secara sedikit demi sedikit, misalnya untuk permulaan, katakan 50 peratus kemudian naik 60 ke 70 peratus penggunaannya di sekolah berkenaan," katanya.

Tegas Awang, hal yang sama juga seharusnya berlaku kepada silibus bahasa Melayu yang mana ketika ini ia berbeza di antara sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan.

Keadaan ini katanya, menunjukkan wujudnya dua kelas iaitu satu kelompok yang menguasai bahasa Melayu tinggi tetapi yang lain belajar tahap bahasa Melayu lebih rendah.

Tambah Awang beliau sangat kecewa dengan ketidakseragaman dalam sistem pendidikan kebangsaan yang menggambarkan sikap tidak serius bagai mengatasi kemelut berkenaan.

Bagi bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik cabaran untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam era serba moden kini lebih mencabar dan menuntut iltizam politik bagi melakukan perubahan besar.

"Saya kira sudah sampai waktu untuk kita lakukan libat urus dan ambil pandangan serta cuba yakinkan golongan muda, profesion dan korporat yang kehidupan mereka berlainan dengan kita (kelompok ilmuan dan ahli akademik).

"Perlu beri ruang terhadap sudut pandang mereka, kerana ada yang melihat dari segi ekonomi, perundangan dan dari aspek (lain) yang berbeza," katanya.

Beliau turut berpandangan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan orang muda hendaklah bukan secara paksaan.

"Kalau kita paksa tetapi anak muda yang bakal menerajui masa depan negara ini tidak menyambutnya, ia takkan menjadi juga.

"Jadi untuk kita berdepan dengan generasi baharu yang akan meneruskan apa sahaja visi dan impian, perlu kepada keinginan yang datang dari mereka sendiri.

"Ada beberapa faktor yang buat orang minat (terhadap bahasa). Satu, faktor keagamaan, sebagaimana kecenderungan untuk belajar bahasa Arab. Keduanya, bahasa yang 'trending' atau popular," katanya.

Maszlee berkata, selain itu faktor budaya pop juga sangat besar. Misalnya, disebabkan populariti konten hiburan dari Korea Selatan menjadikan anak muda berminat dengan bahasa negara itu bahkan kelas bahasa Korea di Malaysia menjadi popular.

Katanya, faktor imbuhan ekonomi terutama peluang tinggi untuk mendapat pekerjaan dan kenaikan pangkat turut mempengaruhi kecenderungan anak muda terhadap bahasa.

Maszlee turut mengakui indeks perpaduan negara semakin teruk dari hari ke hari dan ia bukan hanya membabitkan sektor sosial, tetapi merangkumi pelbagai bidang termasuk pendidikan.

"Ketika ini, kerajaan tertumpu kepada usaha menangani pandemik COVID-19 jadi terdapat kekangan untuk isu berkaitan perpaduan, bahasa dan pendidikan dibincangkan secara menyeluruh," katanya.

Berita Harian X