Selasa, 22 Februari 2022 | 2:49pm
Islam memainkan peranan penting dalam membentuk identiti sesetengah kelompok dalam sebuah rumpun bangsa. Hal ini terlihat jelas dalam pembentukan identiti diri Melayu Tanjung di Pulau Pinang dan beberapa kumpulan lain di merata dunia. GAMBAR HIASAN ARKIB NSTP
Islam memainkan peranan penting dalam membentuk identiti sesetengah kelompok dalam sebuah rumpun bangsa. Hal ini terlihat jelas dalam pembentukan identiti diri Melayu Tanjung di Pulau Pinang dan beberapa kumpulan lain di merata dunia. GAMBAR HIASAN ARKIB NSTP

Islam jadi identiti Melayu Tanjung

KUALA LUMPUR: Islam memainkan peranan penting dalam membentuk identiti sesetengah kelompok dalam sebuah rumpun bangsa. Hal ini terlihat jelas dalam pembentukan identiti diri Melayu Tanjung di Pulau Pinang dan beberapa kumpulan lain di merata dunia.

Fenomena ini sebenarnya testimoni sejarah bagaimana manusia berkembang dari sudut pemikiran dan membentuk identiti sendiri dalam masyarakat yang tidak sama dengan mereka.

Felo Kehormat, Muslim World Research Centre, Dr Baharudin Ahmad, berkata identiti diri bukan membabitkan bangsa tetapi satu kelompok di dalamnya atau puak.

Ia diikat oleh agama, bahasa, rupa bangsa dan perkongsian sejarah yang secara bersama menampilkan keunikan kelompok berkenaan selain mampu mempertahankan kewujudannya.

"Asimilasi dengan masyarakat yang lain bukan hanya mengembangkan tamadun dan identiti diri tetapi juga meluaskan pemikiran," katanya dalam wacana Projek Melayu Tanjong-Malaysiana anjuran Unit Tamadun Melayu Islam, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dengan kerjasama Perpustakaan Universiti Sains Malaysia.

Wacana dengan tajuk, Malaysia Jalur Rempah dan Melayu Tanjong: Sejarah dan Ekspresi itu adalah sebahagian usaha untuk mewujudkan interaksi budaya etnografi Tanjung.

Baharudin dalam wacana yang dibuat dalam talian itu, berkata dalam membincangkan mengenai siapakah Melayu Tanjung ia sebenarnya mempunyai persamaan dengan orang Melayu yang berhijrah dan membentuk identiti di tengah kelompok bangsa lain misalnya di Afrika Selatan dan Sri Lanka.

"Mereka duduk di sana dan mampu bersama-sama dengan penduduk asal tetapi identiti diri mereka tidak hilang. Faktor utama keadaan itu berlaku adalah agama Islam itu sendiri.

"Perpindahan satu kumpulan masyarakat ke satu tempat lain membentuk masyarakat yang baharu. Selain Melayu Tanjung kita juga melihat bagaimana interaksi antara pedagang Arab dan Turki dengan penduduk tempatan di Laluan Sutera, China menghasilkan kelompok Uyghur.

"Mereka membentuk identiti diri dengan agama Islam selain mewarisi bahasa dan budaya,"katanya.

Hal ini tegas Baharudin menunjukkan agama Islam memainkan peranan penting dalam pembentukan identiti diri.

Katanya persaudaraan dalam Islam mampu menyatukan pelbagai bangsa dan puak malah menjadi kekuatan kepada penyebaran agama.

"Dalam konteks Melayu Tanjung, kita lihat kedatangan pedagang Islam dari India yang datang ke Pulau Pinang. Mereka ini mampu berasimilasi dengan penduduk tempatan tetapi dalam masa sama mengekalkan identiti diri menerusi kekuatan agama

"Pada peringkat awal kedatangan kumpulan ini, kebanyakan mereka adalah golongan berada jadi mampu untuk menaja sekolah agama di Pulau Pinang, misalnya Sekolah Agama Al Mashoor.

"Hal ini menjadi faktor agama Islam berkembang dengan baik dan kuat di situ," katanya.

Baharudin berkata, kedudukan Pulau Pinang ketika itu yang menerima kedatangan pedagang asing membentuk banyak kelompok masyarakat sekali gus menjana kepada pemikiran yang lebih terbuka.

Hal ini menjadikan Pulau Pinang menjadi saksi penubuhan Kaum Muda selain banyak syarikat percetakan dan persuratkhabaran berlaku di negeri ini.

"Semua ini berlaku kerana masyarakatnya terbuka dari segi pemikiran dan berminat dengan idea-idea baharu jika mahu dibandingkan dengan orang Melayu (asal) ketika itu.

"Melayu Tanjung lebih terbuka terima idea baharu selain menggabungkannya dengan idea lama. Hal itu menjadikan mereka unik," katanya.

Tegas Baharudin, fenomena Melayu Tanjung penting sebagai testimoni bahawa keterbukaan pemikiran dalam agama Islam dan fahaman yang dibawanya.

Hal ini katanya, menjadikan di dalam Islam terdapat pelbagai cabang ilmu misalnya falsafah, usuluddin dan tasawuf .

"Sesetengah Melayu Tanjung ini suka menyebut diri mereka sebagai Jawi Peranakan, sebab tahu mereka bukan Melayu tetapi bukan juga India.

"Mereka bertutur bahasa Melayu dan beragama Islam malah berbudaya Melayu tetapi dari segi masakan, lebih mirip kepada India dan itulah yang menjadi identiti mereka," katanya.

Katanya, Jawi Peranakan ini juga dirujuk sebagai Jawi Pekan kerana mereka tinggal di kawasan bandar. Umumnya mereka tinggal di Georgetown dan selalunya mereka adalah kelompok yang moden dan berfikiran terbuka.

"Hal ini sebenarnya menjadi sebahagian warna warni sejarah Pulau Pinang sehinggakan ada pantun yang merakam gaya hidup dan pemikiran mereka iaitu; Ayam danok danik/Patuk balong balong/Jangan tengok kami/Kami orang Tanjong.

"Sebenarnya pantun ini merakam mengenai status ekonomi Jawi Peranakan ketika itu," katanya.

Berita Harian X