Isnin, 24 Januari 2022 | 10:47am
Walaupun ramai penulis kini lebih berminat untuk menerbitkan karya sendiri sama ada fizikal atau e-book ia tidak begitu menjejaskan jualan karya cinta oleh syarikat penerbitan. Gambar ehsan Karyaseni Sdn Bhd
Walaupun ramai penulis kini lebih berminat untuk menerbitkan karya sendiri sama ada fizikal atau e-book ia tidak begitu menjejaskan jualan karya cinta oleh syarikat penerbitan. Gambar ehsan Karyaseni Sdn Bhd

Novel cinta masih bertahan

KUALA LUMPUR: Iklim penerbitan di Malaysia ketika ini sederhana dan berlaku peningkatan jualan walaupun mungkin ia tidak sehebat sebelum penularan COVID-19.

Bagaimanapun, sesuai dengan iklim semasa jumlah terbitan naskhah fizikal dikurangkan 3,000 salinan untuk cetakan pertama berbanding 5,000 sebelum ini. Namun, masih ada karya pengarang tertentu yang dicetak sehingga 15,000 untuk cetakan pertama dan mampu diulang cetak.

Pengarah, Penerbitan Karyaseni Sdn Bhd, Datuk Seri Wan Mohd Muzri Ramli, berkata beliau positif dengan perkembangan semasa apatah lagi terdapat judul lama yang sebelum ini sukar dijual tetapi kini dicari pembaca.

"Saya melihat ini sebagai satu putaran. Kelompok pembaca baharu muncul menggantikan pembaca lama yang beralih ke genre lain, memberi pasaran kepada novel bertemakan cinta.

"Tulisan pengarang popular kami seperti Anjell, Lily Haslina Nasir dan Rose Harissa antaranya masih terus diulang cetak," katanya kepada BH.

Tegas Wan Mohd Muzri, walaupun ramai penulis kini lebih berminat untuk menerbitkan karya sendiri sama ada fizikal atau e-book ia tidak begitu menjejaskan jualan karya yang diterbitkan oleh penerbit sepertinya.

Hal ini katanya disebabkan setiap pengarang mempunyai pengikut sendiri selain pembaca umumnya lebih selesa untuk membaca buku fizikal.

"Berdasarkan penyelidikan pasaran yang kami buat, membaca naskhah fizikal lebih selesa kerana tidak diganggu sinaran cahaya telefon atau komputer juga mungkin panggilan dan mesej yang bertalu-talu. Ia membantu pembaca lebih mudah fokus dalam pembacaan.

" Selain itu terdapat pembaca yang akan menjual balik naskhah yang dibeli ada kala dengan harga lebih mahal. Ini agak menguntungkan berbanding e-book yang tidak boleh dijual semula malah sukar mengawal cetak rompak," katanya.

Tegas Wan Mohd Muzri, terdapat juga pembaca yang sebenarnya seorang penghimpun (collector) justeru mereka lebih berminat dengan naskhah fizikal. Novel dijadikan sebahagian dekorasi rumah selain ada yang bertukar-tukar buku dengan rakan atau menghadiahkannya kepada perpustakaan sekolah.

Dari satu segi, beliau berpandangan menerbitkan karya dalam bentuk naskhah fizikal atau e-book adalah hak penulis begitu juga sama ada mereka mahu bekerjasama dengan penerbit atau menerbitkan karya sendiri. Malah secara peribadi katanya, beliau berpendapat pengarang yang mencetak karya sendiri adalah fenomena yang baik dan sihat untuk industri .

"Apabila terbit sendiri buku, penulis berpeluang untuk lebih kenal industri penerbitan ini dan perjalanannya jadi ia membawa interaksi yang lebih positif antara penulis dan penerbit.

"Apa yang penting kita terus bersama-sama membawa industri ini lebih maju," katanya.

Wan Mohd Muzri berkata, gaya pemasaran novel hari ini juga sudah banyak berubah.

Penjualan novel juga tidak seharusnya dihadkan kepada naskhah bercetak semata-mata sebaliknya ia perlu dipelbagaikan antaranya menjadi drama televisyen.

Katanya, sejak awal penubuhan hingga kini pihaknya sentiasa menjalinkan kerjasama dengan stesen televisyen untuk mencari ruang adaptasi karya.

"Peluang itu diberikan kepada penulis yang setia dengan kami. Berdasarkan reputasi Karyaseni, kami cuba yang terbaik untuk memberi karya berkualiti kepada masyarakat.

"Selain naskhah bertema cinta yang mendapat sambutan sebenarnya novel yang membawa kisah thriller juga menjadi pilihan pembaca.

"Misalnya novel terbitan kami seperti Aku Lelakimu tulisan Sara Aisha; Dominan itu Dia (Maya Iris); Anastasia (Syu Ariani) dan Psiko (Rosa Nur) antara naskhah yang laris," katanya.

Selain itu, Wan Mohd Muzri berkata, penulis juga seharusnya berperanan untuk menjual naskhah tulisan mereka. Apatah lagi hari ini ruang promosi dan publisiti sangat luas dengan kewujudan media sosial, penulis dan penerbit perlu bersama-sama untuk menjual produk mereka.

"Tidak timbul soal penulis baharu atau lama. Pengalaman saya sebagai penerbit, ada penulis yang baru pertama kali muncul dengan novel pertama mampu meraih jualan belasan ribu naskhah dan diulang cetak hingga lapan kali.

"Apa yang penting karyanya baik, mampu memikat pembaca selain rajin membuat promosi karyanya,"katanya.

Tegas Wan Mohd Muzri, penularan COVID-19 menjelaskan secara umum rakyat Malaysia mengisi masa dengan membaca. Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan katanya, jualan buku dalam talian meningkat dengan konsisten.

Berita Harian X