Selasa, 14 September 2021 | 9:59am
Pak Sako melalui karyanya, Budak Beca yang ditulis pada 1956 menyebut kemerdekaan hanya dicapai apabila masyarakat sivil di sesebuah negara dapat mengupayakan diri bagi membantu mereka yang tertindas. GAMBAR ARKIB NSTP
Pak Sako melalui karyanya, Budak Beca yang ditulis pada 1956 menyebut kemerdekaan hanya dicapai apabila masyarakat sivil di sesebuah negara dapat mengupayakan diri bagi membantu mereka yang tertindas. GAMBAR ARKIB NSTP

Jangan hanya pandai kritik

KUALA LUMPUR: Sesebuah karya itu perlu 'menawarkan' penyelesaian, bukan hanya mengungkapkan kritikan atau sekadar refleksi kepada sesuatu isu sahaja.

Felo Pelawat di ISEAS-Institut Yusof Ishak-Singapura, Dr Mohd Faizal Musa, berkata sebagai pengarang, penting untuk menghasilkan karya yang membawa penyelesaian kepada kritikan diangkat meskipun ia mungkin tidak dipersetujui pembaca.

Tegas Mohd Faizal antara naskhah yang membawa pandangan sebegitu adalah novel terbitan 1965, Yang Miskin dan Yang Mewah tulisan Ishak Muhammad atau lebih dikenali sebagai Pak Sako.

Novel yang diilhamkan daripada kisah perjuangan kaum minoriti di Amerika Syarikat, Afrika dan Rhodesia itu katanya, tidak hanya mengkritik lapis kelas antara golongan marhaen dan pemodal tetapi memberi penyelesaian dan kritikan membina untuk gagasan keadilan masyarakat dan ekonomi.

"Apabila membaca karya klasik yang dipenuhi metafora atau kiasan, semestinya saya dapat menjumpai kritikan yang ingin disampaikan malah ada antaranya masih relevan dikaitkan dengan isu semasa.

"Tetapi kebanyakan karya sebegitu hanya memaparkan masalah dan isu sahaja dan hampir tiada penyelesaian, termasuk Syair Raja Tedung dan Raja Katak yang membawa refleksi krisis politik Melayu di Johor Riau pada abad ke -17.

"Ini berbeza dengan esei tulisan Sasterawan Negara (SN) Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad. Meskipun pada beberapa tempat, saya tidak setuju dengan penyelesaian diberikan beliau tetapi ia memberi nilai kepada penulisannya," katanya pada Sembang Merdeka! : Merdekakah Penulis Kita anjuran Perbadanan Kota Buku. Acara dikendalikan secara maya oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mutalib Uthman itu turut disertai SN Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh.

Mohd Faizal berkata, isu sasterawan mesti memberikan penyelesaian dalam karyanya itu pernah disebut Prof Datuk Dr Syed Hussein Alatas dalam wawancara bersama Dewan Budaya sebelum ini.

Jelas Mohd Faizal, seorang pengarang melalui hasil tulisannya mempunyai peranan dan tanggungjawab yang lebih besar daripada masyarakat biasa.

"Memaparkan masalah itu satu kerja biasa untuk orang awam. Semua orang bercakap mengenainya terutama melalui media sosial.

"Tetapi yang bercakap mengenai penyelesaian, hampir tiada dan itu yang menyebabkan gangguan," katanya.

Mengenai makna kemerdekaan kepadanya, Mohd Faizal berkata seperti diungkapkan Pak Sako melalui karyanya, Budak Beca yang ditulis pada 1956, kemerdekaan hanya dicapai apabila masyarakat sivil di sesebuah negara dapat mengupayakan diri bagi membantu mereka yang tertindas.

"Pak Sako memberi isyarat yang jelas, parti politik belum tentu dapat dipercayai berbanding masyarakat sivil yang berperanan mengupayakan masyarakat dari pelbagai aspek," katanya.

Sementara itu, Muhammad berkata pengarang dan penyair tanah air, sejak sekian lama membawa peranan penting dalam menjadi suara bagi masyarakat.

"Kalau ada yang korup, tugas pengarang dan penyair untuk mengkritik malah dalam sejarah kita, kumpulan ini menjadi semacam suara untuk masyarakat.

"Apa yang tidak boleh disebutkan di dalam akhbar, penyair dan pengarang boleh sebutkan (melalui karya mereka)," katanya.

Muhammad juga turut menyentuh mengenai kebijaksanaan pengarang lama yang tetap berjaya mencari jalan untuk mengkritik pemerintah meskipun tidak bebas untuk berbuat demikian.

Ini antara lain katanya, ditonjolkan termasuk oleh Tun Sri Lanang yang mengkritik raja melalui kisah peminangan Puteri Gunung Ledang.

Selain itu, terdapat juga karya seperti Syair Ikan Terubuk yang tidak diketahui pengarangnya, mengisahkan mengenai pemimpin kerajaan laut yang ingin mendapatkan puteri kerajaan air tawar bernama Puyu-Puyu.

"Dalam sastera lama, walaupun tidak bebas tetapi ada lubang kecil dilalui pengarang kita. Dalam beberapa karyanya, Tun Sri Lanang mengkritik raja berikutan keinginannya mengahwini wanita paling cantik di dunia.

"Ini pemerintah terbesar dunia Melayu, mana boleh dikritik secara terang-terangan tetapi Tun Sri Lanang melahirkan kritikannya dan ia menunjukkan ada juga jalan untuk pengarang 'bebas'.

"Dalam Syair Ikan Terubuk, masalah dunia 'dipindahkan' kepada haiwan dan ini cara pengarang dahulu menggunakan metafora untuk menyampaikan kritikannya kepada pemerintah," katanya.

Menurut Muhammad, negara mempunyai khazanah sastera yang besar tetapi sistem pendidikan di sekolah tidak mendedahkan pelajar kepadanya.

Katanya, selepas negara mencapai kemerdekaan, kita masih lagi menjerut kebebasan sendiri dengan membiarkan Sains menolak semua ke tepi termasuk sastera.

"Sistem pendidikan kini tidak menjadikan kita manusia yang lebih baik. Maklumat bertambah dan semakin banyak perlu dihafal tetapi dalam proses itu, manusiawi sudah hilang dan sastera akhirnya tidak dibaca langsung.

"Saya tidak menentang sains dan teknologi tetapi tanpa sastera, kita sebenarnya hanya sedang menyediakan manusia satu dimensi yang mana mereka ini sudah ada di merata-rata," katanya.

Muhammad berkata, sastera dan bahasa perlu sama-sama dijaga supaya masyarakat di negara ini dilihat sebagai bangsa yang berfikir, demokratis dan bertimbang rasa.

"Sastera adalah tiang tamadun sesuatu bangsa yang paling kukuh dan jika ia roboh, kita hanyalah manusia satu dimensi yang akan bergerak seperti robot," katanya.

Berita Harian X