Selasa, 14 September 2021 | 9:40am

Sungai mengalir duka

Telah setahun Mastaman menjadi penunggu setia tebing Sungai Golok. Sungai yang memisahkan negeri Kelantan dan pekan Sungai Golok, Thailand. Sungai yang banyak menghimpun sejarah kehidupan Mastaman. Sejarah kehidupan lalu dan sejarah kehidupannya hari ini.

Di atas timbunan batu-batu, Mastaman melabuhkan punggungnya. Dia menjadi seorang paling setia pada tebing sungai. Sejak dari pagi sehingga petang Mastaman bertenggek di atas batu besar di bawah pohon sena. Dia pasti datang ke tebing sungai ini dalam apa keadaan sekalipun, tanpa mengira panas atau hujan.

Dia duduk di tebing tanpa berkata apa-apa. Dia hanya diam dan membisu. Dia hanya memerhati. Dia hanya merenung.

Kadang-kadang renungannya amat jauh menembusi rumah-rumah di seberang tebing sungai sebelah Thailand. Kadang-kadang renungannya teramat dalam sehingga sampai ke dasar sungai. Kadang-kadang renungannya melepasi keseluruhan tebing sungai.

Sepanjang berada di tebing sungai, Mastaman menghayati bahasa air yang sedang mengalir. Kadang-kadang mengalir laju. Kadang-kadang riaknya tenang. Kadang-kadang air mengalir keruh dan kadang-kadang air cukup jernih, sehingga nampak ikan-ikan berenang. Namun bagi Mastaman, keruh atau jernih ia tetap air. Jika dia terjun ke sungai, tentunya dia akan basah. Tentu dia akan lemas dan tenggelam.

Dia memerhati perdu pohon buluh yang tumbuh subur di tebing. Dahulunya di bawah perdu buluh itulah dia sentiasa duduk. Terdapat sebuah bangku kecil. Di situlah dia menunggu penumpang. Di bawah perdu buluh itu terdapat jeti kayu yang kecil. Di bawah jeti itu terdapat beberapa buah tong yang berfungsi untuk mengapungkan jeti tersebut.

Dahulunya di jeti tersebut tertambat beberapa buah sampan yang diperbuat daripada kayu nangka. Dialah salah seorang yang menjadi pengayuh sampan itu. Dialah salah seorang sebagai penambang yang akan membawa sesiapa saja yang ingin melintasi sungai yang keluasan tidak sampai lima puluh meter itu.

Dengan tambang hanya satu ringgit, rakyat Malaysia yang ingin ke Thailand dan sebaliknya akan tercapai hasratnya dengan menaiki perahu yang dia kendali. Tidak sampai dua minit, perahunya akan berlabuh di jeti sebelah Thailand.

Itulah rutin kerja hariannya dari pagi hingga petang. Ketika itu tidak ada siapa yang menghalangnya. Dia menjalankan kerja yang halal. Dia mendapat wang hasil dari titik peluhnya sendiri. Hasil dari tenaga dan kudrat tulang empat kerat.

Walaupun ramai yang menuduh pekerjaannya sebagai kerja haram. Membawa penumpang melalui jalan yang tidak halal, melalui jalan sungai. Melalui pangkalan haram. Tidak melalui pemeriksaan imigresen di Jambatan Muhibah Rantau Panjang – Sungai Golok.

Bagi Mastaman, itu adalah undang-undang. Memang kerjanya salah kalau tertangkap. Tapi soalnya mereka yang mengguna perkhidmatannya sekadar mahu pulang ke rumah. Sekadar pulang ke kampung. Sekadar membeli belah. Sekadar makan-makan dan naik perahu pulang ke rumah masing-masing.

Pasukan keselamatan bukan tidak bertindak. Dia sendiri telah acap kali ditegur, telah diberi amaran dan pernah ditangkap. Tetapi dia tetap meneruskan kerja-kerja itu. Kerja mendayung Itu adalah punca pendapatannya. Wang dari kerja mendayung perahu digunakan untuk memberi makan minum kepada emak dan adik-adik. Wang itu jugalah Mastaman gunakan untuk perbelanjaan belajar dua orang adiknya di Sekolah Menengah Rantau Panjang dan Sekolah Arab Maahad Muhammadi.

Dia memang bergantung harap kepada perahu penambang di Sungai Golok. Pendek kata Sungai Golok adalah sungai kehidupan. Airnya mengalir membawa rezeki

Kerana perahu penambang itu jugalah Mastaman mendapat jodoh. Perkenalan di Jeti dengan seorang gadis berasal dari Pattani juga adalah satu kenangan manis yang tidak mungkin Mastaman dapat melupakannya. Pertemuan yang amat indah.

Ketika berada di tebing sebelah Thailand, seorang gadis bertelekung labuh bersama ibunya melangkah masuk dan duduk dalam perahunya. Mastaman berkayuh penuh semangat tanpa menunggu penumpang lain. Kebiasaannya perahunya boleh memuat seramai sepuluh orang.

Sebaik sampai di jeti pohon buluh, Rantau Panjang, Mastaman menambat perahunya kemas-kemas. Kebetulan tidak ada penumpang lain yang ingin menuju pekan Sungai Golok.

Sebaik saja selesai membayar tambang, gadis dan ibunya naik ke tebing dan singgah di bangku kecil tempat Mastaman selalu berehat. Mastaman melihat ke arah mereka berdua. Seperti ada sesuatu yang tidak kena. Mastaman mendekati mereka.

"Mak cik ada masalah?"

"Ya, ada masalah nak. Mak cik Nab dan Siti Nur Ain berjanji dengan adik yang menetap di sebelah Malaysia. Tapi dia tak datang ambil," perempuan separuh umur itu menjelaskan kepada Mastaman dalam loghat Melayu Pattani.

"Baik, saya tolong hantar mak cik. Kampung mana nak pergi?"

"Kampung Dewan Beta, Seberang Salor."

Mastaman terus menelefon Janun, pemandu kereta sewa dan tidak sampai setengah jam kereta berwarna hitam dan kuning itu sudah sampai. Mereka bertiga pun naik. Mastaman mengambil tempat di sebelah pemandu.

Sekitar 45 minit kemudian mereka sampai ke Dewan Beta, rumah adik Mak cik Nab. Mereka berdua naik ke atas rumah. Dalam masa sekejap Mak cik Nab turun kembali bersama adiknya. Tapi wajah Siti Nur Ain tidak kelihatan. Apa yang Mastaman lihat Mak cik Nab dan adiknya bersalaman dan berpelukan. Mak cik Nab kamudian berjalan menuju kereta sewa Janun.

"Mak cik Nab nak balik semula ke Pattani."

Mastaman terkejut. Janun pun seperti terkejut.

"Masalah mak cik sudah selesai," sambung Makcik Nab.

Mereka kemudian masuk ke dalam kereta. Janun menghidupkan enjin dan membunyikan hon sebanyak dua kali sebelum meninggalkan rumah kayu adik Mak cik Nab.

Persoalan di benak fikiran Mastaman dan Janun akhirnya terjawab. Sepanjang perjalanan dari Dewan Beta ke Rantau Panjang, Mak cik Nab banyak menceritakan kisah hidup dia dan Siti Nur Ain.

Mastaman dan Janun hanya mendengar. Bagaimana Mak cik Nab terpaksa membawa lari anak sulungnya yang baru berumur 18 tahun dari Pattani ke Malaysia. Mengikut cerita Mak cik Nab, jika beliau tidak bertindak cepat, keselamatan anaknya mungkin terancam, kerana ada beberapa pihak yang ingin menjadikan Siti Nur Ain sebagai Isteri secara paksa. Sedangkan Mak cik Nab merasakan itu adalah satu paksaan dan kekejaman.

Sejak peristiwa itu, hubungan Mastaman dan Mak cik Nab menjadi teramat rapat. Keakraban hubungan itu kemudian berpindah kepada Siti Nur Ain. Apabila Mak cik Nab datang ke Malaysia, hanya Mastaman yang akan membawanya ke Dewan Beta. Kadang-kadang Mastaman membawa gadis tinggi lampai itu ke bandar Kota Bharu.

Keakraban itu akhirnya membawa Mastaman dan Siti Nur Ain ke jinjang pelamin. Perkahwinan mereka banyak membuka pintu rezeki. Siti Nur Ain bukan saja seorang gadis yang cantik, tetapi seorang gadis yang rajin. Bila bergelar isteri dia berpindah dari rumah emak saudaranya di Dewan Beta ke rumah Mastaman di Kubang Chenok, Rantau Panjang.

Setahun berkahwin rezeki mereka bertambah. Siti Nur Ain berbadan dua. Suatu malam, ketika usia kandungan mencapai lapan bulan, Siti Nur Ain bersuara pada Mastaman.

"Siti bercadang nak bersalin di rumah emak di Pattani. Maklumlah ini anak sulung."

Mastaman tidak membantah. Malah Mastaman juga akur dengan permintaan isterinya. Apa lagi jika bersalin di sini ada beberapa masalah dari segi undang-undang, kerana Siti tidak mempunyai dokumen yang lengkap sepanjang tinggal di Malaysia.

Mastaman akhirnya menghantar Siti Nur Ain ke Pattani. Siti teramat gembira. Bayangkan tiga tahun dia tidak menjejak kaki ke tanah kelahirannya. Seminggu berada di tanah seberang, Mastaman balik semula ke Rantau Panjang. Dan tanpa terduga, beberapa minggu selepas itu tiba-tiba Malaysia mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara akibat pandemik coronavirus. Thailand juga turut mengumumkan sekatan perjalanan. Hari itu jugalah Mastaman mendapat panggilan bahawa isterinya Siti Nur Ain telah selamat bersalin. Saat itulah jiwa Mastaman menggelupur ingin menemui isteri dan anak lelakinya.

Pagi-pagi lagi Mastaman tercegat di pintu masuk Jabatan Imigresen, Kompleks CIQ Rantau Panjang. Pasport antarabangsanya dipegang kemas.

"Maaf encik, pintu sempadan telah ditutup. Kami menerima arahan semua lawatan ke luar negara tidak dibenarkan."

Pandangan Mastaman berpinar-pinar. Dia terhuyung-hayang. Ketika itu wajah Siti Nur Ain jelas terbayang. Dia menekup muka kemas-kemas. Mastaman menarik nafas untuk beberapa ketika. Dia beristighfar.

"Bila sempadan akan dibuka semula?" Suara Mastaman rendah dan sayu.

"Paling cepat tiga bulan encik."

Mastaman melangkah longlai meninggalkan Kompleks CIQ Rantau Panjang. Dia sempat menoleh beberapa anggota tentera sedang memasang dawai berduri di atas Jambatan Muhibbah yang menghubungkan Rantau Panjang dan Sungai Golok.

Semalaman itu Mastaman dalam berduka. Siti Nur Ain menangis sepanjang malam. Panggilan video memaparkan anak lelakinya yang berambut hitam, bermata bulat. Mastaman kian tidak sabar untuk mengucup pipi anak sulungnya. Dia bangun dari tidur. Matanya langsung tidak mahu lelap. Mastaman bertekad, keesokan paginya, dia pasti akan merentas sempadan secara haram untuk menemui anak dan isteri di Pattani.

Selepas subuh Mastaman bersiap. Dia hanya membawa sebuah beg kecil. Mastaman menghidupkan motosikal menuju Pangkalan Pohon Buluh. Hajatnya hanya satu. Hajat yang amat besar. Dia akan berkayuh perahunya tanpa penumpang menuju pangkalan seberang. Perahu itu akan ditambat kemas-kemas di pohon celagi. Dia akan meminta rakan-rakannya dari seberang menghantarnya ke stesen kereta api Sungai Golok. Dalam dua jam perjalanan dia akan sampai ke stesen Pattani. Dia akan naik tuk tuk menuju ke rumah mentuanya.

Sebaik dia menyimpan motosikalnya di tepi kedai runcit Ah Kong, dia berjalan menuju pangkalan. Alangkah terkejutnya Mastaman. Pasukan keselamatan memenuhi sepanjang tebing sungai. Dawai berduri semua telah siap dipasang. Perahu milik dia dan rakan-rakannya semua sudah berada di atas tebing. Jeti tempat mendarat penumpang juga dipagar dawai berduri.

Mastaman bungkam seketika. Lidahnya kelu. Hatinya tersendu. Dia berdiri kaku. Langkahnya terhenti. Berat rasanya mahu mengangkat kaki. Beg di tangannya menggelongsor jatuh ke tanah. Mastaman kemudian terduduk. Rebah dan menangis penuh pilu.

Mulai peristiwa hari itulah Mastaman saban pagi menjadi penghuni setia tebing Sungai Golok. Dia memerhati gelung-gelung dawai berduri sepanjang tebing sungai. Dia memerhati pasukan keselamatan yang berkawal silih berganti. Dia memerhati perahunya sudah berbulan-bulan tersadai di bawah rumpun buluh. Dia pasti perahunya telah rosak. Sudah jadi lumrah sebuah perahu yang diperbuat dari kayu nangka, akan retak dan pecah jika tidak terendam di dalam air.

Anak sulungnya, Maswan kini berumur lebih setahun. Sudah pandai senyum dan ketawa. Setiap malam melalui panggilan video, Mastaman sentiasa berjanji.

"Ayah pasti jumpa Maswan. Tunggu ya."

"Esok atau lusa abang akan sampai ke rumah Siti." Begitulah janji Mastaman.

Suatu pagi pekan Rantau Panjang heboh dengan berita seorang lelaki telah terjun ke sungai. Dia kemudian diselamatkan oleh anggota tentera Thailand. Sekarang dia sedang dirawat di Hospital Sungai Golok. Polis Thai sedang menghubungi keluarga mangsa di Sai Buri, Pattani.

- Lahir pada 1955 di Gual Periok, Pasir Mas Kelantan dan mantan wartawan.

Berita Harian X