Jumaat, 10 September 2021 | 3:48pm
Umar Uzair membuka persembahan dengan menampilkan tiga buah lagu puisinya Cenderawasih, Hasrat Sang Enggang dan Rindu Membius Separuh Logikaku. GAMBAR ehsan MEJA POEDJANGGA
Umar Uzair membuka persembahan dengan menampilkan tiga buah lagu puisinya Cenderawasih, Hasrat Sang Enggang dan Rindu Membius Separuh Logikaku. GAMBAR ehsan MEJA POEDJANGGA

Konsert puisi dalam talian

KUALA LUMPUR: Persembahan seni dalam talian tentu saja berbeza dengan kaedah sebelumnya. Jika dahulu ia boleh dibuat hingga dua jam, namun pementasan dalam talian sukar dilaksanakan dalam tempoh sebegitu disebabkan jumlah tenaga kerja yang terhad.

Bagaimanapun ia tidak menjadi halangan untuk Meja Poedjangga, Ikatan Persuratan Melayu dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka mempersembahkan Konsert Dondang Puitika Melaka yang disiarkan di Facebook JKKN Melaka pada 31 Ogos lalu.

Eksekutif Kreatif Meja Poedjangga, Burhan Abadi, berkata Konsert Dondang Puitika Melaka itu dibuat sebagai sebahagian acara sambutan kemerdekaan dan ia diinspirasikan daripada konsert muzik dan puisi, Gagasan Puitika yang dimulakan sejak 2017 oleh Meja Poedjangga.

"Acara Gagasan Puitika itu adalah persembahan berteraskan muzikalisasi yang menggabungkan elemen lagu puisi, deklamasi, tarian, lukisan secara langsung, fragmen teater dan monolog.

"Konsep ini dipanjangkan dalam Konsert Dondang Puitika Melaka namun perbezaan yang ketara ialah kesan persembahan secara dalam talian kepada khalayak.

"Hal ini disebabkan jumlah tenaga kerja yang diperlukan untuk merealisasikan persembahan agak kecil supaya ruang yang disediakan mampu dicakupi kamera," katanya.

Tegas Burhan, konsert dalam talian sebaiknya tidak dipersembahkan secara konvensional yang biasanya melebihi dua jam. Hal ini disebabkan jumlah artis yang terhad selain memastikan penyampaian yang lebih berkesan.

Selain itu katanya, dalam merealisasikan konsert dalam talian cabaran lain yang perlu dihadapi adalah untuk berkreatif dari sudut senimatografi dan penyuntingan supaya ia dapat dinikmati seperti persembahan secara langsung di pentas.

"Kami menggunakan peralatan penggambaran termasuklah kamera berdefinisi tinggi dan sistem pencahayaan untuk rakaman persembahan seorang pemuisi, Umar Uzair dengan merubah wajah laman rumah menjadi pentas persembahan.

"Selain itu rakaman menggunakan skrin hijau di JKKN Melaka oleh Tokoh Seni dan Budaya Melaka, Rani Embi yang mendendangkan Dendangan Burdah dan Alunan Berendoi,"katanya.

Katanya, seluruh persembahan yang dirakamkan itu kemudiannya disunting dan digarap secara artistik sebelum dimuat naik di Facebook JKKN Melaka.

Walaupun mungkin persembahan dalam talian tidak memberi kepuasan seperti sebelumnya tetapi dari sudut positifnya, ia mampu meneruskan kelangsungan hayat seni yang sebelum ini dipersembahkan secara langsung di dalam panggung.

Malah, jika persembahan di dalam panggung diukur dengan jumlah kehadiran penonton, kejayaan persembahan dalam talian pula dapat diambil kira dengan jumlah komen dan perkongsian.

Berita Harian X