Sabtu, 10 Oktober 2020 | 8:41am
Gambar fail Louise Gluck ketika menerima Anugerah Buku Kebangsaan AS, di New York pada 2014. AFP
Gambar fail Louise Gluck ketika menerima Anugerah Buku Kebangsaan AS, di New York pada 2014. AFP

Penyair tidak popular menang Hadiah Nobel

STOCKHOLM: Pemilihan penyair Amerika Syarikat (AS), Louise Gluck sebagai penerima Hadiah Nobel (kesusasteraan) 2020 sememangnya pilihan yang tidak dijangka.

Penyair yang dikenali dengan karya bertemakan kehidupan kanak-kanak dan keluarga selain kerap dipengaruhi mitos klasik itu jarang berada dalam senarai penganalisis sastera.

Bagaimanapun, Gluck, 77, diberi penghormatan kerana puisinya bukan sahaja indah tetapi mempunyai kekuatan individu yang mewakili universal, menurut Akademi Nobel.

Gluck sebelum ini memenangi Hadiah Pulitzer pada 1993 menerusi "The Wild Iris" selain turut memenangi Hadiah Buku Kebangsaan Amerika pada 2014 menerusi "Faithful and Virtuous Night".

Setiausaha Akademi Nobel, Mats Malm, berkata pemilihan itu ternyata mengejutkan Gluck.

"Mesej itu mengejutkan, tetapi ia disambut baik," kata Malm kepada wartawan.

Pengerusi Jawatankuasa Nobel Akademi, Anders Olsson, mengakui berasa kesal kerana Gluck bukanlah penulis yang terkenal di luar sempadan negaranya malah karyanya juga tidak banyak diterjemah ke bahasa lain.

Gluck adalah wanita keempat yang memenangi Hadiah Nobel (kesusasteraan) dalam tempoh sedekad lalu selepas Olga Tokarczuk, Svetlana Alexievich dan Alice Munro sejak penganugerahan penuh prestij itu diperkenalkan pada 1901.

Akademi Nobel di Sweden sejak beberapa tahun lalu mencetus kontroversinya sendiri justeru pemilihan Gluck tidak mustahil mencetuskan pertikaian lagi.

Tahun lalu, Akademi itu dikritik kerana menganugerahkan gelaran yang sama kepada novelis Austria, Peter Handke yang secara terang terangan menyokong pemimpin Serbia, Slobodan Milosevic.

Akademi dalam usaha mempertahankan keputusannya itu menyebut penganugerahan kepada Hande dibuat semata-mata atas pertimbangan karya dan bukan latar belakang politiknya.

Sebelum ini Akademi itu terpalit dengan skandal seks 2018 sehingga pemilihan pemenang tahun itu ditangguhkan, manakala pada 2016, Akademi memilih penyanyi dan penulis lirik Amerika, Bob Dylan sebagai pemenang Hadiah Nobel (kesusasteraan) yang mana beliau tidak pun menghadiri majlis berkenaan.

Sebaliknya, Dylan hanya bersetuju menerima penganugerahan itu pada 2017.

Pemenang Hadiah Nobel (kesusasteraan) menerima pingat dan wang tunai berjumlah USD 1.1 juta (RM4.562 juta). AFP

Berita Harian X