Selasa, 3 Disember 2019 | 10:58am

Pemikiran Abdullah Munshi dipengaruhi kolonial

KUALA LUMPUR: Selepas 165 tahun pemergiannya, pandangan mengenai tokoh kesusasteraan dan penerbitan Melayu, Abdullah Abdul Kadir atau lebih dikenali sebagai Munshi Abdullah bercampur baur antara nasionalis atau sebaliknya.

Munshi Abdullah dikatakan tokoh terawal ‘keluar’ daripada tradisi kesusasteraan Melayu.

Hal ini disebabkan kebiasaan pengarang sezaman adalah menulis mengenai kebesaran raja dan kehebatan istana sedangkan Munshi Abdullah sangat lantang mengkritik bangsa Melayu, termasuk sistem monarkinya.

Idea beliau disenangi oleh sebahagian masyarakat, namun ia tidak diterima secara menyeluruh, terutama dalam kalangan pemikir Melayu.

Misalnya, pada 1849 beliau menghasilkan Hikayat Abdullah yang menceritakan mengenai sikap buruk masyarakat Melayu antaranya disebut sebagai pengotor, pemalas dan suka bergaduh, selain menegur pemerintah yang zalim.

Lebih menyebabkan Munshi Abdullah kurang disegani adalah beliau dengan begitu lantang mengkritik Melayu, beliau dilihat mempunyai pandangan yang baik dan ‘mesra’ terhadap penjajah.

Keadaan ini menyebabkan kewibawaan dan jati diri pengarang Melayu kelahiran Melaka itu dipersoalkan.

Kritikan Munshi Abdullah terhadap masyarakat Melayu itu dibangkitkan pengarang prolifik, Zainal Rashid Ahmad dalam sesi soal jawab bersama Sasterawan Negara (SN), Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh pada Forum Bicara Tawarikh Talk: Munshi Abdullah Like atau Unfollow? di Serambi Karya Bellamy, Kuala Lumpur.

Zainal Rashid berkata, kritikan Munshi Abdullah terhadap masyarakat Melayu perlu dikaji daripada aspek antropologi dan sosiologi, bukannya dengan mencari kelemahan di luar teks, terutama hubungan rapatnya dengan kolonial.

“Disebabkan Munshi Abdullah berada di sekitar (Stamford) Raffles dan ramai pegawai Inggeris, pengarang itu disebut sebagai alat penjajah sedangkan apa yang diperkatakan dalam teks itu yang sepatutnya dikaji.

“Penafian terhadap kritikan Munshi Abdullah mesti dihentikan kerana ia menyebabkan masyarakat enggan melihat kebenaran penulisannya kerana disifatkan sebagai penghinaan kepada Melayu,” katanya.

Sementara itu, Muhammad tidak menafikan Munshi Abdullah yang bertugas sebagai jurutulis dan penterjemah kepada Raffles, mempunyai sumbangan tersendiri terhadap dunia kesusasteraan Melayu moden.

Bagaimanapun, Muhammad mengingatkan sikap Munshi Abdullah yang memandang rendah terhadap budaya dan bangsanya berlaku disebabkan kesan pengaruh kolonial.

Piawaian Munshi Abdullah terhadap nilai adalah berdasarkan apa yang dilihatnya pada Inggeris, sekali gus mempengaruhi pemikiran dan tindakannya.

“Sudut pandang Munshi Abdullah dipengaruhi budaya British menyebabkan apabila beliau memandang orang Melayu, justeru yang sering dilihat adalah aspek kelemahan.

“(Frank) Sweetenham, (Hugh) Clifford dan (Richard) Winstedt juga menulis mengenai dunia Melayu tetapi mereka tidak menumpukan aspek kelemahan dan kesalahan, sebaliknya melihat pencapaian sastera dan ilmunya,” katanya.

Muhammad mengakui Munshi Abdullah memberi sumbangan tersendiri kepada sastera terutama aspek bahasa dan kewartawanan melalui laporan teliti terhadap pemerhatian di sekeliling meskipun tiada pengarang Melayu era itu yang menjadi pengikut atau menjadikannya rujukan penting.

“Karya beliau tidak terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu sebaliknya pandangan beliau banyak beredar dalam kalangan Inggeris saja.

“Mereka ini jugalah yang mencadangkan supaya Munshi Abdullah menulis autobiografinya, Hikayat Abdullah.

Hikayat Abdullah menyumbang dalam banyak hal walaupun tidak menjadi ikutan, malah karya kembara terakhirnya juga bagus dan boleh diambil contoh meskipun mengandungi prejudis pengarang.

“Sebagai pemikir zaman, Munshi Abdullah memang berfikir secara terbuka dan berterus-terang tetapi sikap pandang rendah kepada budaya dan bangsa menunjukkan pengaruh kolonial pada pemikirannya,” katanya.

Berita Harian X