Khamis, 21 November 2019 | 12:40pm
Potret Alfred Nobel yang mengasaskan Hadiah Nobel termasuk Hadiah Nobel Kesusasteraan. - Foto AFP
Potret Alfred Nobel yang mengasaskan Hadiah Nobel termasuk Hadiah Nobel Kesusasteraan. - Foto AFP

Pemenang Nobel tegakkan benang basah, sokong Serbia

BERLIN: Pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan dari Austria, Peter Handke, menegakkan benang basah dengan mempertahankan sokongan lantangnya terhadap Serbia pada perang dekad 1990-an di bekas negara Yugoslavia.

Bagaimanapun, Handke cuba berdalih dengan mengatakan tidak pernah tunduk kepada Slobodan Milosevic.

Pemilihan Akademi Sweden pada bulan lepas, mencetuskan kemarahan bukan sahaja di Balkan, bahkan di luar rantau itu kerana kekaguman Handke terhadap mendiang orang kuat Serbia berkenaan.

Selain kritikan terhadap karya sasteranya, Handke turut dikritik meluas kerana berucap pada majlis pengebumian Milosevic pada 2006 yang meninggal dunia ketika menanti perbicaraan penghapusan bangsa, jenayah perang dan kejahatan terhadap kemanusiaan.

Bercakap dengan akhbar mingguan Jerman, Die Zeit, Handke berkata, ‘sudah tentu’ beliau perlu menghadiri majlis pengebumian Milosevic itu.

“Milosevic mengundi menentang perpecahan Yugoslavia dalam pengundian terakhir. Pengebumiannya ialah kematian Yugoslavia juga.

“Apakah rakyat lupa negara ini ditubuhkan dalam penentangan terhadap Reich, Hitler?” katanya seperti dipetik AFP.

Pada masa sama, Handke mendakwa tidak sesekali tunduk kepadanya sama ada secara dalaman mahupun luaran.

“Ada wartawan menulis bahawa saya menzahirkan simpati kepada Milosevic. Tidak pernah!” katanya.

Pengarang itu juga tidak menyesal terhadap penerbitan karyanya meskipun dituduh meminimumkan jenayah perang Serbia dalam buku yang diterbitkan pada 1997, A Journey to the Rivers: Justice for Serbia.

“Tidak ada satu perkataan pun yang saya tulis mengenai Yugoslavia boleh dikecam. Ia adalah sastera,” katanya.

Ketika itu, dakwa Handke, laporan terhadap Serbia bersifat senada dan sepihak.

“Ia mengenai keadilan kepada Serbia. Bagaimana Jerman boleh mengiktiraf Croatia, Slovenia dan Bosnia-Herzegovina apabila satu pertiga daripada rakyat wilayah berkenaan ialah Ortodoks dan Muslim Serbia?

“Apakah Serbia dengan tiba-tiba menjadi manusia berkedudukan rendah di negara mereka sendiri? Hal itu yang mencetuskan perang.

“Mengapa tiada seorang pun berkata Barat bertanggungjawab dan mengapa persidangan keamanan tidak diadakan dengan segera?” katanya.

Awal bulan ini, wanita Bosnia dari Srebrenica - iaitu tempat yang menyaksikan pembunuhan beramai-ramai paling buruk sepanjang kejatuhan Yugoslavia yang berdarah - mengadakan bantahan di ibu kota Sarajevo terhadap penganugerahan Nobel kepada Handke.

Mereka bertekad untuk kembali ke kedutaan Stockholm setiap minggu hingga majlis penganugerahan pada 10 Disember.

Kira-kira 8,000 Muslim Bosnia sama ada dewasa atau remaja lelaki dibunuh di Srebrenica oleh pengganas Serbia pada Julai 1995.

Penunjuk perasaan daripada bandar itu mengangkat gambar Handke dikatakan diambil ketika berkunjung ke kawasan desa terbabit kurang daripada setahun selepas pembunuhan berkenaan.

“Hadiah Nobel kepada Handke itu adalah undian yang menyokong penghinaan terhadap kami oleh penafi penghapusan bangsa,” tulis penunjuk perasaan dalam surat bantahan kepada Raja dan Permaisuri Sweden yang diserahkan kepada duta negara berkenaan.

Berita Harian X