Jumaat, 8 November 2019 | 12:49pm
Adam Khan membuktikan kecacatan anggota tidak menghalangnya untuk mendaki Gunung Kinabalu. - Foto NSTP

Kembara pendaki merangkak ke Everest

BAYANGKAN bagaimana manusia yang tidak boleh berjalan sejak lahir, mengatasi halangan fizikal untuk ‘menawan’ Kem Induk Everest atau Everest Base Camp (EBC) setinggi 5,364 meter dari aras laut?

Kedengaran mustahil? Namun, itulah yang dilakukan anak kelahiran Sarawak berjiwa kental, Azrulkhan Hasrullah yang lebih dikenali sebagai Adam Khan seperti terakam dalam Kembara Merangkak Puncak.


Buku autobiografi, Kembara Merangkak Puncak karya Adam Khan. - Foto NSTP

Walaupun buku ini nipis, ia membawa semangat tebal membara seorang anak muda yang percaya boleh melakukan apa saja di sebalik ia dianggap mustahil oleh ramai orang kerana kekurangan fizikalnya.

Tanyalah kepada yang biasa mendaki, pasti mereka mengetahui cabaran ‘menawan’ EBC bukan kecil.

Selain menuntut stamina dan kekuatan mental tinggi, pendaki ada ketikanya terpaksa berdepan serangan penyakit akut gunung (AMS).

AMS tidak hanya menyebabkan kehilangan selera makan dan mengalami kecelaruan emosi, malah mungkin berdepan tragedi meragut nyawa.


Adam Khan di Kem Induk Everest (EBC) pada 2018. - Foto NSTP

Bagi insan seperti Adam Khan, cabaran terpaksa dilalui lebih besar. Selama 15 hari, beliau merangkak menuju EBC terpaksa berdepan dengan ribut pasir dan ketidaktentuan cuaca malah suhu serendah -15 darjah selsius!

Terdetik di hati, bagaimana pemuda yang tidak boleh berjalan ini, ‘memujuk’ diri untuk terus merangkak,

ketika berdepan dengan bentuk muka bumi EBC yang sangat mencabar.

Bayangkan kepayahan terpaksa dilaluinya apabila terpaksa menggunakan kekuatan kedua tapak tangan dan lutut untuk melalui kawasan berbatu yang ekstrim serta curam.

Justeru apa yang mendorong anak muda yang tidak boleh berjalan sejak kecil itu untuk menyempurnakan impian menawan EBC dan mengibarkan Jalur Gemilang ketika orang normal pun ada yang kalah dengan cabaran ‘disajikan’ gunung tertinggi di dunia itu?


Adam Khan di Kem Induk Everest (EBC) pada 2018. - Foto ihsan KE7B

Di sinilah catatan kehidupan Adam Khan akan membantu pembaca memahami apa yang membentuk beliau memiliki keyakinan dan bersifat cekal seperti hari ini.

Ketika kita mudah tunduk pada desakan kehidupan, Adam yang diserang demam panas pada usia lapan bulan dan kemudian disahkan menghidap polio hingga tidak boleh berjalan melihat dunia dengan penuh bersemangat.

Kehidupan di pedalaman, kesukaran ke sekolah disebabkan kekurangan fizikal dan peristiwa dibuli antara peristiwa penting membantu membentuk Adam Khan menjadi pemuda bersemangat besar dan cekal.

Paling membahagiakan apabila dibawa menghayati dukungan dan kasih sayang seluruh ahli keluarganya. Malah kehadiran sahabat baik dalam alam persekolahan dan universiti, membantu Adam Khan mendaki kehidupan ini.

Begitulah semangat Adam Khan membara itu sentiasa akan menemani pembaca ketika menghadam Kembara Merangkak Puncak dan seterusnya tumbuh menjadi inspirasi untuk menggapai kejayaan.

INFO

Kembara Merangkak Puncak

Penulis: Adam Khan

Penerbit: Buku Pojok

Halaman: 225

Penilaian: 5

Berita Harian X