Isnin, 28 Oktober 2019 | 12:16pm
Sebahagian lukisan berjudul Christ Mocked, iaitu karya agung seniman Florentine Renaissance, Cimabue yang hidup pada akhir abad ke-13, ditemui di rumah wanita tua di Compiegne. - Foto AFP

Lukisan ditemui di dapur, terjual RM113 juta

SENLIS, Perancis: Karya agung era awal Renaissance mahaguru Itali, Cimabue yang ditemui di dapur di sini, berjaya dijual dengan harga 24 juta euro (RM113 juta), lima kali ganda daripada jangkaan awal.

Bagaimanapun, rumah lelongan Acteon tidak mendedahkan pihak yang memenangi bidaan lukisan berjudul Christ Mocked dalam lelongan di Senlis, terletak di luar Paris.

Harga jualan yang termasuk kos itu, melepasi jangkaan asal bernilai antara 4 juta hingga 6 juta euro (RM19 juta hingga RM28 juta).

Lelongan bermula pada harga 3 juta euro (RM14 juta) dengan hanya tiga daripada lapan pembida hadir dalam acara itu.

Buat pertama kali sejak berdekad-dekad, karya Cimabue yang pelukis primitif pelopor yang hidup antara 1272 hingga 1302 dan turut dikenali sebagai Cenni di Pepo itu, berjaya dilelong.

Acteon dalam kenyataannya berkata, ia lukisan kelapan termahal untuk hasil karya mahaguru zaman berkenaan.

Lukisan termahal ialah Salvator Mundi karya Leonardo da Vinci dilelong pada harga AS$450 juta (RM1.9 bilion) pada 2017.

Lukisan Cimabue itu asalnya dimiliki seorang wanita di Compiegne, utara Perancis yang menggantungkan karya berkenaan antara dapur dengan ruang tamunya.

Beliau percaya ia hanya lukisan keagamaan lama, sebelum membawanya ke syarikat bidaan untuk dinilai.

Lukisan kecil tanpa tanda tangan itu, bersaiz hanya 26 x 20 sentimeter masih dalam keadaan sangat baik meskipun dipenuhi jelaga kerana digantung di atas dapur memasak.

Pakar seni di Turquin, Paris menggunakan pantulan inframerah untuk mengesahkan ia sebahagian daripada karya lipat dua (diptych) yang dihasilkan Cimabue pada 1280 apabila beliau melukis lapan pemandangan mengenai peristiwa penderitaan dan penyaliban Jesus Christ mengikut kepercayaan Kristian.


Sebahagian lukisan berjudul Christ Mocked, iaitu karya agung seniman Florentine Renaissance, Cimabue yang hidup pada akhir abad ke-13, ditemui di rumah wanita tua di Compiegne. - Foto Reuters

Setiap dua panel itu diptych mempunyai lapan pemandangan. Namun, hanya dua elemen diptych yang diketahui masih wujud: The Flagellation of Christ dipamerkan di Frick, New York dan The Virgin and Child with Two Angels di National Gallery, London.

Cimabue terkenal dengan karya mozek, fresko dan karya altar.

Sejarawan menganggap sekitar sedozen karya dengan bahan tara kayu - semua tidak bertandatangan - dihasilkan artis Itali itu.

Gambarannya yang lebih alamiah dan memiliki nuansa dianggap titik peralihan kepada pelukis Itali yang ketika itu masih dipengaruhi gaya seni Byzantine.

Sejarawan seni menganggapnya sebagai pelopor kepada seni kreatif Renaissance yang berkembang di bawah seniman agung seperti Giotto, antara anak murid Cimabue. - AFP

Berita Harian X