Rabu, 16 Oktober 2019 | 10:52am
Pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan dari Poland, Olga Tokarczuk. - Foto AFP

Pemenang Nobel bimbang pengarang takut kesan politik

FRANKFURT AM MAIN: Pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan dari Poland, Olga Tokarczuk, bimbang peningkatan penapisan sendiri di negaranya tetapi tidak menyentuh kontroversi melingkari pemenang hadiah sama, Peter Handke.

Bercakap di sidang media perasmian Pesta Buku Frankfurt, pengarang dan pengkritik lantang Parti Undang-undang dan Keadilan (PiS) itu berkata, ‘perang budaya’ meletus antara parti kerajaan berhaluan tangan dengan pembangkang di negaranya.

“Tiada penapisan rasmi dalam sastera tetapi saya berasa bimbang terhadap apa yang saya lihat sebagai penapisan sendiri sedang berkembang di Poland.

“Pengarang agak takut untuk meluahkan apa yang mereka sebenarnya fikir dan rasakan kerana bimbang terhadap kesan politik. Saya hanya boleh berharap perkembangan ini tidak berterusan,” katanya dengan menggunakan penterjemah.


Pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan dari Poland, Olga Tokarczuk. - Foto AFP

Tokarczuk yang menghasilkan novel sejarah dengan sentuhan mistisisme hingga menjadikannya sebagai antara penulis terkemuka Poland itu, memberi amaran rakyatnya berdepan pilihan antara demokrasi dengan authoritarianisme dalam pilihan raya.

Parti PiS yang populis, sering bertelagah dengan Kesatuan Eropah (EU) berjaya mempertahankan majoriti di Parlimen dalam undian Ahad lalu.

Tokarczuk, 57, mengakui tidak teruja dengan keputusan pilihan raya itu.

Namun, kehadiran ramai wakil rakyat baharu di Parlimen daripada parti lain memberikan harapan kepadanya.

“Saya sangat lega parti berhaluan kiri, Lewica dan Greens masuk ke Parlimen buat kali pertama.

“Saya fikir ada perkara baharu akan berlaku dalam tempoh empat tahun ini,” katanya.

Tokarczuk diisytiharkan sebagai pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan 2018, Khamis lalu selepas penganjurnya menunda penganugerahan pada tahun lalu ekoran skandal gangguan seksual.

Turut dinamakan sebagai pemenang edisi 2019 ialah pengarang Austria, Peter Handke.

Sementara kemenangan Tokarczuk disambut hangat, pemilihan Handke mencetuskan kemarahan dengan ramai mengkritik sokongannya kepada orang kuat Serbia, Slobodan Milosevic.

Ditanya perasaannya apabila dilihat sebagai ‘orang baik’ Nobel berbanding Handke yang dianggap sebagai ‘orang jahat’, Tokarczuk berkata, beliau terlalu sibuk daripada untuk mengikuti kontroversi yang diangkat media.

“Namun, saya tidak kisah kerana biasanya saya yang memainkan peranan sebagai ‘orang jahat’, peranan yang lebih dekat,” katanya.


Pesta Buku Frankfurt. - Foto AFP

Kemunculan Tokarczuk menjadi tiupan wisel permulaan pesta buku terbesar dunia yang menjanjikan kuasa politik dengan tumpuan kepada isu kebebasan memberikan pandangan, feminisme dan krisis iklim.

Margaret Atwood, Colson Whitehead dan Ken Follett antara bintang besar yang bakal muncul pada minggu ini, manakala Negara Tamu Kehormat, Norway pula membawa pengarang terlaris di pasaran, Jo Nesbo, Maja Lunde serta Karl Ove Knausgaard.

Penganjur juga merancang untuk mengadakan demonstrasi payung esok sebagai tanda kebersamaan dengan penunjuk perasaan di Hong Kong dan memberi tumpuan kepada penahanan penjual buku kelahiran China, Gui Minhai.

Ketika situasi dunia dalam ‘kekacauan’, Presiden Pesta Buku Frankfurt, Juergen Boos, berkata kita memerlukan pengarang yang melawan, mendedahkan penderaan dan berani mengambil risiko. - AFP

Berita Harian X