Selasa, 15 Oktober 2019 | 1:03pm
Novelis, Margaret Atwood (kiri) dan Bernardine Evaristo mencatat sejarah tersendiri apabila diumumkan sebagai pemenang bersama Hadiah Booker 2019. - Foto EPA
Novelis, Margaret Atwood (kiri) dan Bernardine Evaristo mencatat sejarah tersendiri apabila diumumkan sebagai pemenang bersama Hadiah Booker 2019. - Foto EPA

Dua pengarang wanita kongsi kemenangan Hadiah Booker

LONDON: Novelis, Margaret Atwood dan Bernardine Evaristo mencatat sejarah tersendiri apabila diumumkan sebagai pemenang bersama Hadiah Booker 2019.

Kemenangan itu disifatkan sebagai bertentangan dengan peraturan penganugerahan itu sendiri tetapi ia tetap diraikan.

Sebelum ini, Hadiah Booker pernah dianugerahkan kepada dua pengarang serentak, iaitu pada 1974 dan 1997. Bagaimanapun, peraturan itu ditukar bagi memastikan penganugerahan sedemikian tidak berulang.

Atwood, 79 yang memenanginya menerusi The Testament ialah pengarang tertua diangkat menerima pengiktirafan itu, manakala Evaristo yang tampil dengan Girl, Women, Other pula novelis wanita kulit hitam pertama memenanginya.

Atwood yang berasal dari Kanada juga muncul sebagai pengarang wanita kedua memenanginya untuk kali kedua itu, bakal berkongsi hadiah £50,000 (RM262,974) dengan Evaristo.

“Saya sangat terkejut kerana saya terlalu tua untuk ini,” katanya.

Sementara itu, Evaristo berkata, beliau sangat bertuah berkongsi pentas dengan Atwood yang dianggap sebagai pengarang legenda. Malah Evaristo menyebut dalam sidang medianya, hadiah itu adakan digunakan untuk menyelesaikan hutang rumah.

Antara pengarang yang pernah mengungguli Hadiah Booker sebelum ini ialah Ian McEwan, Julian Barnes, Kazuo Ishiguro dan Roddy Doyle, manakala Paul Beatty menjadi pengarang Amerika Syarikat (AS) pertama menerimanya pada 2016 apabila Hadiah Booker membuka penyertaan kepada pengarang negara berkenaan.

Hadiah Booker kali ini menyenaraipendek enam novelis yang empat daripada mereka ialah wanita. Selain Atwood dan Evaristo, turut dinilai peringkat akhir ialah Salman Rushdie, Chigozie Obioma, Elif Shafak dan Lucy Ellmann.

Ketua juri, Peter Florence, berkata Atwood dipilih berdasarkan karyanya yang mempunyai kekuatan bahasa juga cerita, selain keupayaan untuk mengejar cita-cita.

Atwood dicalonkan pertama kali untuk Hadiah Booker pada 1986 menerusi The Handmaid’s Tale yang kemudiannya dijadikan siri televisyen 31 tahun kemudian yang melonjakkan penjualan novel itu sehingga lapan juta naskhah.

Sementara naskhah Girl, Woman, Other tulisan Evaristo pula menceritakan 12 wanita daripada keluarga berkulit hitam di Britain. Florence mengakui perbincangan mengenai naskhah tulisan Evaristo mengambil masa yang lama sebelum kemenangannya diputuskan.

Hadiah Booker untuk Fiksyen yang dimulakan sejak 1969 pada peringkat awalnya dikenali sebagai Hadiah Booker-McConnell (1969–2001) sebelum bertukar penaja yang turut mengubah namanya menjadi Hadiah Man Booker (2002-2019).

Ia diwujudkan bagi meraikan karya kesusasteraan bahasa Inggeris yang diterbitkan di United Kingdom dan Ireland. - AFP

Berita Harian X