Isnin, 14 Oktober 2019 | 3:15pm
Pengarang, Elif Shafak dengan bukunya, 10 Minutes 38 Seconds in This Strange World yang disenarai pendek untuk Hadiah Booker. - Foto AFP

Novel hamba seks, pelacur saingi karya Salman Rushdie

LONDON: Dua gergasi sastera akan berentap bersama empat pengarang meningkat naik untuk merebut anugerah kesusasteraan bahasa Inggeris paling berprestij, Hadiah Booker yang akan diumumkan hari ini.

Margaret Atwood dan Salman Rushdie bersama-sama Chigozie Obioma, Lucy Ellmann, Bernardine Evaristo serta Elif Shafak akan diumumkan pada majlis sempena ulang tahun ke-50 penganugerahan itu.

The Testaments, sekuel karya klasik distopia Atwood, The Handmaid’s Tale, menjadi karya keenamnya yang melayakkannya berada dalam senarai pendek Hadiah Booker.

Ia disifatkan The Guardian sebagai karya terbaik pengarang kelahiran Kanada itu.

The Handmaid’s Tale yang turut tercalon dalam Hadiah Booker 1986, menjadi siri televisyen pada 2017 dan memenangi pelbagai anugerah. Edisi bahasa Inggerisnya terjual hingga 8 juta naskhah di seluruh dunia.


Pengarang British kelahiran India, Salman Rushdie dengan bukunya, Quichotte yang disenarai pendek untuk Hadiah Booker. - Foto AFP

Sementara itu, Rushdie yang pernah memenangi Hadiah Booker pada 1981, kini dicalonkan melalui novel ke-14, Quichotte yang diinspirasi daripada karya klasik, Don Quixote.

Naskhah tragik-komedi itu mengenai jurujual yang sudah berumur tetapi jatuh cinta dengan bintang televisyen hingga membuat keputusan memandu merentasi Amerika Syarikat (AS) untuk membuktikannya layak bersama wanita berkenaan.

Rushdie dalam temubual bersama HBO berkata, beliau membuat kajian untuk menulis karya itu dengan menonton siri realiti yang disukai watak utamanya.


Pengarang Nigeria, Chigozie Obioma dengan bukunya, An Orchestra of Minorities yang disenarai pendek untuk Hadiah Booker. - Foto AFP

Pengarang Nigeria, Obioma pula berada dalam senarai kali ini melalui novel An Orchestra of Minorities, karya keduanya yang berjaya memasuki Hadiah Booker selepas The Fisherman pada 2015.

Novel itu mengisahkan percintaan tragik dan puitis yang tenggelam jauh dalam mistisisme etnik Igbo di Nigeria.


Novelis British kelahiran Amerika Syarikat (AS), Lucy Ellmann bersama bukunya, Ducks, Newburyport yang disenarai pendek untuk Hadiah Booker. - Foto AFP

Ellmann pula mencabar pembaca dengan karyanya Ducks, Newburyport mengenai rantaian pemikiran wanita mengenai pelbagai hal daripada isu keluarganya, politik AS dan pencemaran sungai yang turut diselang-seli dengan rujukan terhadap budaya popular.


Pengarang British, Bernardine Evaristo bersama bukunya, Girl, Woman, Other yang disenarai pendek untuk Hadiah Booker. - Foto AFP

Evaristo pula tersenarai melalui karyanya Girl, Woman, Other berkisar mengenai kehidupan keluarga kulit hitam British dengan akar dari Afrika dan Carribean.

Ia menceritakan kisah 12 wanita yang disifatkan Financial Times sebagai mempunyai semangat juang tinggi.


Pengarang, Elif Shafak dengan bukunya, 10 Minutes 38 Seconds in This Strange World yang disenarai pendek untuk Hadiah Booker. - Foto AFP

Shafak, pengarang wanita paling banyak dibaca karyanya di Turki pula membawa pembaca menyelami dunia bawah tanah Istanbul melalui kisah pekerja seks, Tequila Leila dalam 10 Minutes 38 Seconds in This Strange World.

Keseluruhan karya itu menggambarkan 10 minit terakhir seorang pelacur yang nazak dan disifatkan The Times sebagai pengalaman mengejutkan

Lima juri bagi Hadiah Booker kali ini termasuk penulis penyiaran, Afua Hirsch dan novelis serta pembuat filem British-Cina, Xiaolu Guo.

Sejak dimulakan pada tahun 1969, penganugerahan fiksyen Inggeris yang diterbitkan di United Kingdom dan Ireland itu bukan saja mengangkat karier ramai pengarang malah turut terpalit dengan pelbagai kontroversi.

Antara yang memenangi penganugerahan itu antaranya termasuk Ian McEwan dan Julian Barnes hingga kepada Kazuo Ishiguro serta Roddy Doyle.

Paul Beatty menjadi pengarang AS pertama memenangi penganugerahan berkenaan selepas Hadiah Booker tunduk kepada tekanan untuk turut menyertakan pengarang luar negara Komanwel, Ireland dan Zimbabwe pada 2013.

Berita Harian X