Isnin, 14 Oktober 2019 | 1:31pm
Novelis British kelahiran Amerika Syarikat (AS), Lucy Ellmann, antara pengarang yang karyanya disenarai pendek dalam Hadiah Booker pada tahun ini. - Foto AFP

Ketahui 5 sejarah, kontroversi Hadiah Booker

PARIS: Hadiah fiksyen bahasa Inggeris berusia separuh abad, Hadiah Booker antara anugerah sastera paling berprestij dunia, diberikan secara tahunan dan menjanjikan rangsangan utama kepada pemenangnya.

Hadiah itu bakal diumumkan hari ini. Berikut latar belakang hadiah berkenaan.

Pertama

Hadiah itu diperkenalkan pada 1969 dengan tajaan pemborong barangan runcit terkemuka British, Booker.

Penerbit British dalam usaha menandingi anugerah terhormat Perancis, Goncourt, menemui Pengerusi Booker, Jock Campbell untuk mendapatkan tajaan kerana minatnya terhadap sastera sudah diketahui umum.

Ia dinamakan semula Hadiah Man Booker pada 2002 apabila syarikat dana lindung nilai, Man Group mengambil alih tajaan.

Pada tahun ini, ia menggunakan nama asal apabila Yayasan Crankstart dari Amerika Syarikat (AS) yang diasaskan jutawan dari Silicon Valley, menjadi penaja.

Kedua

Hadiah itu menilai karya asal fiksyen yang ditulis dalam bahasa Inggeris dan diterbitkan di Britain atau Ireland.

Pemenangnya diumumkan setiap Oktober, membawa pulang hadiah wang tunai £50,000 (RM264,000), manakala pengarang yang disenarai pendek turut mendapat £2,500 (RM13,200).

Meskipun ia jauh ketinggalan berbanding Hadiah Nobel Kesusasteraan yang bernilai AS$930,000 (RM3.9 juta), ia jauh mengatasi anugerah sastera terkemuka lain seperti Hadiah Pulitzer yang menawarkan $15,000 (RM62,700).

Anugerah Goncourt Perancis pula hanya memberikan hadiah simbolik berupa 10 euro (RM46) tetapi menjanjikan rangsangan jualan yang dapat menjadikan karya dipilih sebagai karya terlaris di pasaran.

Pemenang Hadiah Booker seperti dipetik dalam laman webnya, menjanjikan pengiktirafan antarabangsa dan kenaikan tinggi dalam jualan.

Ketiga

Jawatankuasa Booker memilih panel penilai baharu sekitar lima hakim setiap tahun, biasanya tokoh daripada dunia sastera seperti pengarang, pengkritik dan penerbit.

Mereka diberi tempoh beberapa bulan untuk menelaah sekitar 12 judul yang disenarai panjang. Ia kemudian disaring kepada senarai pendek dan pemenang tunggal.

Penganugerahan pada tahun ini misalnya, 151 buku dikemukakan dan 13 judul disenarai panjang berdasarkan persetujuan panel penilai dan enam karya disenarai pendek.

Keempat

Pada 2016, anugerah berasingan diperkenalkan untuk menilai karya fiksyen yang diterjemah ke bahasa Inggeris dan diterbitkan di Britain atau Ireland.

Hadiah bernilai £50,000 (RM264,000) ditawarkan untuk Booker Antarabangsa, diumumkan pada Mei setiap tahun dan dibahagikan antara pengarang dengan penterjemah.

Kelima

Timbul polemik di Britain apabila anugerah utama Hadiah Booker, dibuka kepada pengarang Amerika Syarikat (AS) pada 2014 yang selama ini diperuntukkan kepada penulis dari Britain, Ireland, negara Komanwel dan Zimbabwe.

Panel hakim Booker 2011, Susan Hill memberitahu The Guardian pada 2016 bahawa permainan kini tidak menyebelahi pengarang United Kingdom (UK) kerana dipenuhi daripada AS.

Sementara itu, pemenang dua kalinya, Peter Carey merungut kerana anugerah itu menjadi tidak lebih penjenamaan korporat global.

Pemilihan calon sering dikritik kerana seolah-olah dibuat secara rawak, selain wujud pertembungan sesama juri, manakala pilihan pemenang boleh menjadi kontroversi.

Pemenang juga ada kalanya tidak gembira. Dalam ucapan penerimaan, pemenang edisi 1972, John Berger, berkata persaingan anugerah itu ‘menjengkelkan.’

Beliau mendermakan separuh daripada nilai hadiah itu kepada Gerakan Black Panther sebagai protes terhadap eksploitasi di Caribbean oleh syarikat perdagangan seperti penaja Booker. - AFP

Berita Harian X