Isnin, 14 Oktober 2019 | 11:44am
SARJANA Sweden, Sara Danius. - Foto Reuters

Tokoh Nobel tinggalkan akademi ekoran skandal seks, meninggal dunia

STOCKHOLM: Sarjana Sweden, Sara Danius, yang meletak jawatan daripada akademi Hadiah Nobel Sastera selepas skandal seks pecah ekoran gerakan #MeToo, meninggal dunia.

Akademi Sweden dalam kenyataannya berkata, Danius yang mendedahkan penyakit kansernya pada 2014, meninggal dunia pada usia 57.

Danius - wanita pertama mengetuai akademi sebagai setiausaha tetap - meletak jawatan pada April 2018 dan mengundurkan diri daripada organisasi berkenaan pada Februari lalu.

Beliau yang juga sarjana di Universiti Stockholm, menyertai akademi itu pada 2013 dan menjadi setiausaha tetapnya, dua tahun kemudian.

Danius yang menjadi jurucakap kepada organisasi itu ketika menganugerahkan Hadiah Nobel Kesusasteraan kepada wartawan Belarus, Svetlana Alexievitch; penulis lirik lagu Amerika Syarikat (AS), Bob Dylan dan novelis British, Kazuo Ishiguro.

Akademi terpaksa menangguhkan penganugerahan pada 2018 selepas akhbar Sweden, Dagens Nyheter menerbitkan pengakuan 18 wanita yang mendakwa diperkosa dan mengalami serangan atau gangguan seksual oleh warga Perancis, Jean-Claude Arnault.

Arnault ialah suami kepada Katarina Frostenson, ahli Akademi yang kemudiannya meletak jawatan ekoran skandal itu. Dia kemudian dipenjara kerana jenayah rogol pada tahun lalu.

Arnault juga pernah menerima subsidi lumayan daripada akademi dan sering mendabik dada sebagai anggota ke-19. Berdasarkan saksi, dia membocorkan nama pemenang Hadiah Nobel kepada rakan-rakannya.

Skandal itu mendedahkan sisi gelap akademi itu, pertelingkahan dalam kalangan ahlinya.

Danius turut mengecam kuasa patriaki dalam budaya kerja akademi itu.

Akademi Sweden kemudian bertungkus-lumus untuk memulihkan reputasi dan menyaksikan ramai ahlinya meletak jawatan ekoran skandal berkenaan.

Khamis lalu, pengarang Poland, Olga Tokarczuk dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan 2018, manakala novelis dan dramatis Austria, Peter Handke pula mendapat anugerah 2019. - AFP

Berita Harian X