Sabtu, 12 Oktober 2019 | 12:57pm
Pengarang Austria, Peter Handke. - Foto AFP

Mangsa penyembelihan Serbia desak Hadiah Nobel dilucut

SARAJEVO: Mangsa terselamat dalam tragedi penyembelihan Srebrenica mahu Anugerah Nobel Kesusasteraan dimenangi pengarang Austria, Peter Handke dilucut berikutan sokongan terbukanya terhadap bekas Presiden Serbia, Slobodan Milosevic yang mengetuai negara itu dalam Peperangan Balkan.

Presiden Mothers of Srebrenica, Munira Subasic, iaitu organisasi yang mewakili mangsa tragedi 1995 itu menyifatkan pengiktirafan terhadap Handke yang menafikan berlakunya pembunuhan dalam tragedi Srebrenica sebagai sesuatu yang memalukan.


Presiden Mothers of Srebrenica, Munira Subasic. - Foto Nihad Ibrahimkadic

“Kami akan menghantar surat meminta jawatankuasa membatalkan penganugerahan (terhadap Handke)

“Ini sesuatu yang memalukan. Mesej apa sebenarnya yang ingin mereka sampaikan,” katanya kepada Reuters.

Handke dan Akademi Sweden, entiti yang bertanggungjawab memilih penerima Anugerah Nobel Kesusasteraan tidak dapat dapat dihubungi untuk menjawab mengenai gesaan itu.

Ahli Jawatankuasa Akademi Sweden, Anders Olsson selepas pengumuman penerima bagaimanapun berkata “Ini bukan anugerah politik, ia anugerah kesusasteraan.

Handke berucap pada pengebumian Milosevic pada 2006 ketika pemimpin Serbia itu berada dalam tahanan sementara menanti untuk dibicarakan tribunal perang Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan peranannya dalam peperangan.

Pengarang Austria itu turut menyatakan sokongan terhadap pemimpin perang Serbia, Radokan Karadzic dan ketua tenteranya, Ratko Mladic yang kemudian disabitkan kesalahan terhadap pembunuhan lebih 8,000 lelaki dan remaja Islam di kawasan dilindungi PBB di Srebrenica

Meskipun kemenangan Handke mengundang kemarahan di Balkan bagaimanapun situasi berbeza dihadapi di Serbia malah kemenangan itu disifatkan Menteri Pertahanannya, Aleksander Vulin sebagai perjuangan demi kebebasan dan hak memilih yang tidak disia-siakan.

Pada tahun 1996, Handke menghasilkan esei “Journey to the Rivers: Justice for Serbia” yang menunjukkan sokongannya terhadap pentadbiran Milosevic.

Handke malah menafikan tragedi berdarah Srebrenica berlaku sebaliknya menyifatkan pengepungan ibu kota Bosnia selama 43 bulan itu sekadar lakonan masyarakat Muslim di sana.

Pengarang itu juga tidak pernah menyatakan kekesalannya atau membuat permohonan maaf terhadap mangsa tragedi pembunuhan beramai-ramai itu.

Pemilihan Handke juga menyebabkan kritikan meluas di Albania dan Kosovo, yang mengorbankan 10,000 etnik Albania manakala hampir 1 juta lagi terpaksa melarikan diri semasa peperangan 1998 hingga 1999 yang dipimpin Milosevic berlangsung.

Satu petisyen dalam talian juga dilancarkan oleh warga Albania sebagai bantahan terhadap penganugerahan Handke dan sebanyak 30,000 tandatangan diterima dalam masa kurang 24 jam.

Berita Harian X