Jumaat, 11 Oktober 2019 | 9:53pm
Pengarang Poland, Olga Tokarczuk, dinobatkan pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan 2018. - Foto AFP

Pengangkutan percuma bawa buku pemenang Hadiah Nobel

WARSAW: Pengangkutan awam percuma sepanjang minggu ini kepada pengguna yang membawa buku tulisan pengarang Poland yang baru dinobatkan pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan, Olga Tokarczuk.

Jurucakap Dewan Bandaran Wroclaw, Przemyslaw Galecki, berkata sehingga Ahad ini, setiap pengguna yang membawa buku atau e-buku karya Tokarczuk boleh menaiki pengangkutan awamnya secara percuma.

“Sebaik sahaja kami mengetahui berita kemenangan itu, kami mahu berkongsi kegembiraan dengan semua penduduk.

“Bandar ini baru-baru ini melantik Tokarczuk sebagai penduduk kehormat,” katanya kepada AFP.


Pengarang Poland, Olga Tokarczuk, dinobatkan pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan 2018. - Foto AFP

Tokarczuk, 57, membahagikan masanya antara Wroclaw dengan perkampungan di barat Krajanow yang berada di sempadan negara itu dengan Republik Czech.

Pengarang berhaluan kiri yang tidak gentar mengkritik kerajaan konservatif itu, menganggap Wroclaw sebagai kota yang paling cantik dan penting di Eropah.

Tokarczuk memenangi Hadiah Nobel Kesusasteraan 2018 yang sebelum ini ditangguhkan ekoran skandal ganggual seks.

Karyanya diiktiraf kerana imaginasi naratif dengan semangat berasaskan pengetahuan menyeluruh yang mewakili sifat merentas sempadan sebagai satu bentuk kehidupan.

Berita Harian X