Jumaat, 11 Oktober 2019 | 12:31pm
Penulis Austria Peter Handke bergambar di Chaville, di Paris selepas dianugerahkan dengan Hadiah Kesusasteraan Nobel 2019. - Foto AFP

Hadiah Nobel: Kemenangan sasterawan penyokong 'Penyembelih Bosnia' bangkit kemarahan

BELGRADE: Pengumuman kemenangan pengarang Austria, Peter Handke dalam Hadiah Nobel Kesusasteraan 2019, semalam, mencetuskan kemarahan rakyat Albania, Bosnia dan Kosovo.

 

Ini kerana Handke juga penyokong kuat bekas Presiden Serbia, Slobodan Milosevic, sekali gua antara orang paling lantang mempertahankan Serbia semasa perpecahan Yugoslavia yang berdarah, selain menyamakan mereka seperti Yahudi di bawah penguasaan Nazi, meskipun menarik balik kenyataan itu kemudian.

 

Travelognya pada 1996 yang menandakan sokongannya terhadap Serbia, A Journey to the Rivers: Justice for Serbia turut membangkitkan kemarahan dan kontroversi.

 

Malah Handke turut memulangkan semula hadiah berprestij Jerman, Buechner pada 1999 sebagai bantahan terhadap pengeboman NATO terhadap Belgrade.

 

Pengumuman kemenangan Handke itu mengundang pelbagai reaksi kemarahan termasuk Perdana Menteri Albania, Edi Rama.

 

“Saya mual terhadap keputusan Anugerah Nobel.

 

“Ia pilihan memalukan oleh institusi bermoral seperti Akademi Nobel. Aib sudah menjadi nilai baharu.

 

“Kita tidak boleh naif terhadap perkauman dan penghapusan kaum,” katanya di Twitter.

 

Ahli politik yang juga Anggota Majlis Presiden Bosnia, Sefik Dzaferovic turut meluahkan kemarahan dan menyifatkan penganugerahan Anugerah Nobel kali ini sebagai skandal memalukan.

 

“Memalukan apabila Jawatankuasa Hadiah Nobel dengan mudah mengabaikan fakta Handke mengiyakan dan mempertahankan tindakan Slobodan Milosevic dan (pemimpin perang Serbia) Radokan Karadzic serta (ketua tenteranya) Ratko Mladic yang dihukum mahkamah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap jenayah perang paling dahsyat termasuk penghapusan kaum.

 

“Penganugerahan Handke ini menunjukkan jawatankuasa Anugerah Nobel hilang sepenuhnya kompas moralnya,” katanya dalam satu kenyataan kepada AFP.

 

Sementara itu, pelakon Bosnia, Nermin Tulic yang mengalami kecederaan parah semasa pengepungan Sarajevo oleh tentera Serba sepanjang 1992 hingga 1995 menyambut pengumuman semalam dengan emoji smiley muntah.

 

Ahli Politik Liberal Sarajevo, Reuf Bajrovic pula berkata beliau tidak memahami bagaimana juri boleh melihat ‘Handke sebagai penulis hebat dan sokongannya terhadap Slobo (Milosevic) serta penghapusan kaum antara yang menyebabkan karyanya hebat.’

 

Pandangan sama disuarakan Emir Suljagic, iaitu profesor dalam perhubungan antarabangsa yang antara terselamat daripada pembunuhan beramai-ramai lebih 8,000 Muslim dari Srebrenica oleh Serbia.

 

“Pengkagum Milosevic dan penafi pembunuhan kaum terbesar mendapat Anugerah Nobel kesusasteraan … Kehidupan dalam zaman apa ini?’ tulisnya di laman Twitter.

 

 

Pembunuhan Srebrenica pada 1995 adalah kekejaman paling buruk di Eropah sejak Perang Dunia Kedua malah dianggap pembunuhan beramai-ramai oleh badan keadilan antarabangsa.

 

 

Reaksi kemarahan sama dapat dilihat di Kosovo yang hancur dalam perang 1998-1999 antara tentera Serbia dan penyokong pro-pembebasan etnik Albania.

 

 

“Keputusan Hadiah Nobel itu membawa semula semua penderitaan mangsa,” kata Presiden Kosovo, Hashim Thaci di Twitter.

 

 

Malah akhbar utama Koha Ditore menyebut ‘Penyokong Milosevic dan penafi pembunuhan beramai-ramai Serbia menerima Hadiah Nobel Kesusasteraan.

 

 

Pada pengebumian Milosevic yang meninggal dunia ketika perbicaraan jenayahnya masih berjalan pada 2006, Handke yang diminta Milosevic untuk memberi keterangan menyokongnya di mahkamah, turut menyampaikan ucapan di hadapan ribuan penyokong Milosevic.

 

 

Pengarang Austria yang juga pemenang Anugerah Nobel, Elfriede Jelinek, antara yang menyokong kemenangan Handke tetapi majoritinya termasuk Susan Sontag hingga Salman Rushdie mengkritik keputusan itu.

 

 

Akhbar Serbia bagaimanapun memuji penganugerahan Hadiah Nobel kali ini dan menyifatkannya diberikan kepada ‘sahabat Serbia’ yang sudah menjadi ahli Akademi Sains dan Seni negara sejak 2012.

Berita Harian X