Jumaat, 11 Oktober 2019 | 9:28am
PETER Handke

Pengarang Austria, Poland menang Hadiah Nobel Sastera

STOCKHOLM: Penulis Austria, Peter Handke memenangi Hadiah Nobel Kesusasteraan 2019, manakala pengarang Poland, Olga Tokarczuk dinobatkan sebagai pemenang 2018 selepas skandal serangan seksual menunda penganugerahan pada tahun lalu.

 

Akademi Sweden yang memilih pemenang itu berkata, pihaknya mengiktiraf Handke, 76, berdasarkan keseluruhan karya termasuk novel, esei dan drama disampaikan dalam bahasa yang menyelongkar pengalaman manusia terpinggir serta khusus.

 

Tokarczuk, 57, pula layak kerana imaginasi naratif dengan semangat berasaskan pengetahuan menyeluruh yang mewakili sifat merentas sempadan sebagai satu bentuk kehidupan.

 

Bagaimanapun, kedua-duanya tidak terlepas daripada kontroversi - Handke dengan gambaran Serbia sebagai mangsa dalam perang di Balkan dan pernah menghadiri majlis pengebumian pemimpinnya, manakala Tokarczuk kerana menyentuh bahagian gelap sejarah Poland yang bertentangan dengan versi yang cuba diangkat parti nasional yang memerintah.

 

Dua hadiah itu dianugerahkan serentak pada tahun ini kerana penganugerahan tahun lalu ditangguhkan ekoran skandal yang menyebabkan suami kepada seorang ahli Akademi dijatuhkan hukuman bersalah kerana merogol.

 


OLGA Tokarczuk

Sejak itu, organisasi berkenaan melantik ahli baharu dan mereformasi sebahagian peraturan lapuk selepas campur tangan daripada penaung diraja, iaitu Raja Sweden.

 

Sementara itu, ahli Akademi, Anders Olsson, berkata Handke dan Tokarczuk menerima hadiah berkenaan.

 

“Saya hanya bercakap dengan Peter Handke. Beliau sangat tersentuh. Pada awalnya, beliau terpegun.

 

“Ia bukan hadiah berkaitan politik, sebaliknya hadiah sastera,” katanya seperti dipetik Reuters.

Berita Harian X