Selasa, 8 Oktober 2019 | 12:16pm
Logo Hadiah Nobel. - Foto AFP

Lima rahsia Hadiah Nobel Sastera perlu diketahui

STOCKHOLM: Akademi Sweden akan menobatkan dua pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan selepas menundanya setahun ekoran kontroversi skandal gangguan seksual yang menggegarkan institusi itu.

Berikut, lima perkara yang perlu diketahui mengenai hadiah itu.

Pertama

Setiap tahun, Akademi Sweden menganugerahkan 16 hadiah tetapi Hadiah Nobel Kesusasteraan menjadi anugerah paling terkenal dan berprestij.

Dalam wasiat dan perakuan pada 1895, saintis dan dermawan Sweden, Alfred Nobel, memberi tanggungjawab kepada institusi itu untuk menganugerahkan Hadiah Nobel Kesusasteraan setiap tahun.

Sejak 1901, empat atau lima daripada 18 ahli Akademi dilantik menganggotai Jawatankuasa Nobel bagi tempoh tiga tahun yang bertanggungjawab menyaring pencalonan dan menyediakan senarai pendek calon berpotensi kepada semua ahli.

Keseluruhan karya calon dikaji dan dibincangkan oleh semua Akademi. Ahli mengadakan undian pada Oktober untuk memilih pemenang dengan penerimanya perlu memperoleh lebih daripada separuh undi.

Ekoran skandal pada tahun lalu, Yayasan Nobel yang mendanai Hadiah Nobel mendesak lima penilai luar turut menganggotai Jawatankuasa Nobel sekurang-kurangnya untuk 2019 dan 2020.

Kedua

Arkib Akademi penuh dengan surat daripada tokoh sastera terkenal dari seluruh dunia yang mencalonkan sasterawan.

Setiap tahun, institusi itu menerima sekitar 350 pencalonan daripada individu yang berhak melakukannya: bekas pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan, anggota akademi setara dari negara lain, profesor sastera dan ketua persatuan penulis nasional.

Setiap pencadang mengangkat bakat calon mereka mereka, malah hingga turut menyisipkan hadiah kecil kepada anggota Akademi - tindakan yang sebenarnya tidak digemari.

Pencalonan perlu dikemukakan atau diperbaharui setiap tahun dan mesti diterima Akademi selewat-lewatnya 31 Januari setiap tahun.

Calon mesti masih hidup dan berdasarkan peraturan ketat yang digariskan Alfred Nobel, individu berkenaan perlu menerbitkan satu karya dalam tempoh setahun sebelumnya meskipun Akademi sering mengabaikan keperluan itu.

Ketiga

Seramai 114 individu memenangi Hadiah Nobel Kesusasteraan. Hadiah itu diberikan pada 110 penganugerahan dengan dua pemenang berkongsi sebanyak empat edisi.

Hadiah itu pernah ditolak dua kali: Pada 1958, pengarang Russia, Boris Pasternak menerima hadiah berkenaan tetapi kemudian dipaksa oleh pihak berkuasa Soviet untuk menolaknya dan pada 1964, ahli falsafah Perancis, Jean-Paul Sartre enggan menerimanya.

Institusi itu sejak ditubuhkan pada 1786, tidak menganugerahkan sebarang hadiah sebanyak lapan kali: 1915, 1919, 1925, 1926, 1927, 1936, 1949 dan 2018.

Enam daripada peristiwa itu, hadiah ditunda dan dianugerahkan serentak pada penganugerahan tahun berikutnya seperti yang akan berlaku Khamis ini.

Keempat

Perancis mengungguli carta penerima teramai Hadiah Nobel Kesusasteraan dengan 15 penerima termasuk pemenang pertama hadiah berkenaan, iaitu Sully Prudhomme pada 1901.

Terikat pada kedudukan kedua ialah Amerika Syarikat (AS) dan Britain, masing-masing 12 pemenang, termasuk penerima dua tahun lepas, iaitu pengarang British kelahiran Jepun, Kazuo Ishiguro yang terkenal dengan novel Remains of the Day and Never Let Me Go.

Dalam konteks bahasa, jumlah pemenang yang menulis dalam bahasa ibunda Moliere (dramatis dan penyair Perancis, Jean-Baptiste Poquelin) ditewaskan penerima yang berkarya dalam bahasa Shakespeare, iaitu 29 pengarang berbahasa Inggeris menerima penghormatan berkenaan sejak 1901.

Kelima

Akademi Sweden digegarkan dengan kontroversi beberapa kali.

Atas nama kebebasan sastera, Akademi Sweden menolak untuk mengutuk fatwa yang dikeluarkan pada 1989 terhadap pengarang British, Salman Rushdie ekoran penerbitan novelnya, The Satanic Verses.

Ahli Akademi berbelah bahagi sama ada untuk kekal sebagai penjamin sastera yang berkecuali atau penyokong sasterawan.

Tiga ahli marah terhadap pilihan Akademi untuk membisu, meninggalkan kerusi meskipun secara teknikalnya, mereka dilantik seumur hidup dan tidak boleh meletak jawatan.

Hanya selepas 27 tahun kemudian, iaitu pada 2016, Akademi akhirnya mengutuk fatwa terhadap Rushdie itu.

Kemudian pada akhir 2017 dan awal 2018, ahli Akademi berbeza pandangan di khalayak umum terhadap cara mengendalikan hubungan rapatnya dengan warga Perancis, Jean-Claude Arnault, yang dituduh dan kemudian disabitkan dengan jenayah rogol.

Arnault berkahwin dengan Katarina Frostenson, iaitu ahli Akademi Sweden yang kemudian meletak jawatan ekoran skandal itu.

Perselisihan itu mendedahkan perancangan licik, pertindihan kepentingan, gangguan dan budaya membisu dalam kalangan ahli, sekali gus menjadikan Akademi berkenaan kucar-kacir dan memaksanya untuk menunda penganugerahan 2018.

Peraturan Akademi kemudian dikaji semula untuk meningkatkan ketelusan dan membenarkan ahlinya untuk meletak jawatan. Tujuh ahli berhenti pada 2018 dan sudah pun diganti. - AFP

Berita Harian X