Jumaat, 6 September 2019 | 10:52am
Sasterawan Negara (SN), Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh menunjukkan karyanya di Forum Penulis Negara Asia, Kazakhstan. - Foto BERNAMA

Perpustakaan Kazakhstan tempatkan karya Malaysia, Sasterawan Negara

NUR-SULTAN: Karya sastera Malaysia termasuk tulisan dua Sasterawan Negara (SN) akan menjadi koleksi berharga Perpustakaan Negara Kazakhstan, di sini.

Antaranya ialah Dhikr Serenades karya SN, Datuk Ahmad Khamal Abdullah atau lebih dikenali Kemala dan The Epic of Hang Tuah serta Selamat Pulang, Juita (SN, Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh).


Timbalan Pengerusi Kesatuan Penulis Kazakhstan, Akberen Elgezek di Forum Penulis Negara Asia, Kazakhstan. - Foto BERNAMA

Timbalan Pengerusi Kesatuan Penulis Kazakhstan, Akberen Elgezek, berkata ia sebahagian usaha menghargai penulis dari Asia termasuk Malaysia, yang menghasilkan karya mengagumkan.

“Karya yang dihasilkan penulis Malaysia memperlihatkan nilai, amalan intelektual dan budaya Melayu dalam masyarakat Malaysia.

“Karya kedua-dua penulis itu bernilai tinggi dan perlu dikaji bukan sahaja oleh rakyat Malaysia, bahkan rakyat Asia lain,

“Kami akan memastikan manuskrip Malaysia ini disimpan dengan sempurna di Seksyen Kesusasteraan Asia Tenggara,” katanya kepada BERNAMA selepas Forum Penulis Negara Asia yang julung kali diadakan di Kazakhstan.

Sejumlah 80 peserta dari 38 negara menghadiri forum tiga hari itu yang berakhir esok.

Dianjurkan Kesatuan Penulis Kazakhstan, forum itu diadakan untuk memperkuat dan memperluas hubungan sastera serta budaya antara negara Asia.

Kira-kira 5,000 karya daripada penulis yang menyertai forum itu juga akan ditempatkan di perpustakaan berkenaan dan pada masa depan akan disimpan dalam bentuk digital.


Sasterawan Negara (SN), Datuk Ahmad Khamal Abdullah menunjukkan karyanya di Forum Penulis Negara Asia, Kazakhstan. - Foto BERNAMA

Sementara itu, Ahmad Khamal berkata, beliau gembira untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuannya dalam kesusasteraan dengan Kazakhstan terutama pelajar sebagai motivasi kepada mereka supaya menghasilkan lebih banyak tulisan.

“Terdapat banyak bidang dalam karya saya yang belum diterokai di sini tetapi boleh menjadi rujukan kepada pelajar yang berminat mempelajari bahasa Melayu.

“Apa yang penting ialah kandungan setiap naskhah ialah nilai kepada masyarakat dan negara kita,” katanya.

Pandangan itu diperakukan Muhammad yang juga pemenang Anugerah Sastera Negara (ASN) Ke-6 yang berharap inisiatif berkenaan akan membawa kepada perkongsian bahasa dan budaya Malaysia dengan pelajar serta masyarakat setempat.

“Kita sebahagian Asia dan perlu belajar sastera masing-masing supaya dapat memahami antara satu sama lain dengan lebih baik,” katanya.

113 dibaca
Berita Harian X