Khamis, 5 September 2019 | 7:03pm
Drama bersiri, The Handmaid’s Tale diadaptasi daripada karya pengarang Kanada, Margaret Atwood menyebabkan peminat tertunggu-tunggu novel susulannya, The Testaments. - Foto ihsan Wikimedia Commons

Novel sambungan The Handmaid's Tale tersilap edar awal

NEW YORK: Kesilapan mengedar novel sambungan The Handmaid’s Tale karya Margaret Atwood lebih awal, mencetuskan kemarahan penggemar karya pengarang terkenal dari Kanada itu.

Penerbitnya, Penguin Random House mengarahkan peruncit memastikan ‘The Testaments’ disimpan rapi hingga tarikh pengedaran rasmi 10 September ini tetapi beberapa pembeli dalam talian sudah menerima novel yang ditunggu-tunggu itu lebih awal.

Penguin Random House dalam kenyataannya di Twitter berkata, naskhah dalam jumlah kecil diedarkan lebih awal berikutan kesilapan peruncit tetapi masalah itu sudah diselesaikan.

Sementara itu, The Guardian melaporkan kesilapan mengedarkan 800 salinan lebih awal kepada pembaca di Amerika Syarikat (AS) itu dilakukan Amazon tetapi syarikat gergasi e-dagang itu tidak memberikan sebarang maklum balas segera ketika ditanya AFP mengenai kekecohan berkenaan.


Pengarang Kanada, Margaret Atwood bercakap dengan peminat yang mengenakan kostum seperti watak dalam The Handmaid’s Tale. - Foto Reuters

The Testaments ialah novel susulan The Handmaid’s Tale, novel distopia, iaitu genre pasca-kemusnahan dunia mencatat kejayaan besar termasuk disenarai pendek untuk Hadiah Man Booker, minggu ini.

Ia menjadi sekuel paling ditunggu-tunggu hingga menyebabkan peruncit dikenakan sekatan ketat untuk tidak mengedarkannya sebelum tarikh pengedaran rasmi.

Di Twitter, pandangan berbeza dilahirkan berkaitan isu kesilapan edaran awal karya Atwood itu.

Pemilik New York Astoria Bookshop, Lexi Beach misalnya melahirkan kekecewaan berkaitan insiden itu dan meminta penerbit untuk mengenakan penalti terhadap Amazon.

Bagaimanapun bagi pembaca, meskipun terkejut, mereka gembira menerima The Testaments lebih awal daripada tarikh pengedarannya.

Plot The Testaments, mengambil tempoh 15 tahun selepas The Handmaid’s Tale, ketika sistem pemerintahan berbentuk totalitarian pada masa hadapan yang merendahkan peranan wanita kepada hamba seks untuk tujuan melahirkan zuriat.

The Handmaid’s Tale yang diadaptasi kepada siri televisyen popular dibintangi Elisabeth Moss, mengundang pandangan penonton yang menyifatkannya sebagai kritikan terhadap konservatisme di AS di bawah Presiden Donald Trump.

Adaptasi itu pertama kali ke udara pada 2017 dan memenangi pelbagai anugerah, sekali gus mengundang minat pembaca selepas lebih tiga dekad ia diterbitkan.

MGM Studios dan platform penstriman, Hulu mengesahkan kepada AFP yang mereka kini dalam usaha mengadaptasi The Testaments.

89 dibaca
Berita Harian X