Jumaat, 16 Ogos 2019 | 8:46pm
Lelaki terkaya di Hong Kong gunakan puisi dalam iklan akhbar supaya ‘keganasan politik’ yang membelenggu hab kewangan wilayah itu ditamatkan dan keamanan dapat dicapai. - Foto AFP
Lelaki terkaya di Hong Kong gunakan puisi dalam iklan akhbar supaya ‘keganasan politik’ yang membelenggu hab kewangan wilayah itu ditamatkan dan keamanan dapat dicapai. - Foto AFP

Lelaki terkaya Hong Kong guna puisi seru keamanan

HONG KONG: Lelaki terkaya Hong Kong, Li Ka-shing membeli iklan akhbar yang ‘menimbulkan tanda tanya’ untuk menyeru supaya keganasan politik yang membelenggu hab kewangan itu ditamatkan.

Iklan bilioner berusia 91 tahun itu - diterbitkan di tujuh akhbar termasuk dua penerbitan pro-Beijing - menggunakan puisi dan bahasa berlapis untuk menghantar mesej menyeru keamanan.

Bagaimanapun, iklannya bertentangan dengan ramai taikun yang menyatakan sokongan penuh kepada pemimpin pro-Beijing, mutakhir ini dan mengulangi retorik kerajaan mengutuk keganasan penunjuk perasaan.

Sebuah iklan menampilkan dua huruf China gergasi bermakna ‘keganasan’ yang dipotong dengan garis merah, diikuti baris ‘maksud terbaik boleh membawa kepada hasil terburuk’ dan ‘hentikan kemarahan atas nama cinta.’

Dalam iklan lain, beliau meminjam baris daripada puisi dinasti Tang yang menggambarkan pokok tembikai rosak selepas buahnya dipetik berulang-ulang kali - kiasan digunakan untuk melambangkan sesuatu yang rosak teruk akibat sering diserang.

Ka-shing menandatangani mesej itu sebagai rakyat awam dan tidak menyatakan secara jelas sama ada beliau menujukan mesej itu kepada kerajaan atau penunjuk perasaan.

Sementara itu, ahli sains politik, Simon Shen, berkata sementara tokoh terkemuka diarahkan mengikut kerajaan untuk menentang keganasan dan menyokong polis, mesej Ka-shing menjadi paling menguji pemikiran dan menyentuh perasaan.

Hartawan itu antara tokoh sangat berpengaruh dalam kelompok oligarki Hong Kong abad ke-20 dengan empayar perniagaannya meliputi pelbagai sektor dan hartanah yang kini melonjak naik.

Beliau yang melabur di China pada dekad 1990-an secara besar-besaran, ialah kapitalis berdedikasi yang mendekati pemimpin komunis di Beijing ketika negara itu mula bangkit sebagai negara kuasa besar ekonomi.

Namun, hubungannya dengan Beijing penuh ranjau dengan tindakannya melepaskan pelaburan hartanah utama dalam beberapa tahun ini menjengkelkan China.

Selepas iklan itu disiarkan, jurucakapnya mengeluarkan kenyataan tambahan oleh Ka-shing yang membayangkan simpatinya terhadap sebahagian keluhan penunjuk perasaan yang kebanyakannya dalam kalangan generasi muda.

“Orang muda sering bimbang terhadap masa depan yang tidak menyediakan bahagian kepada mereka. Melabur untuk generasi masa depan sering membuahkan hasil di kota raya kita. Melabur unutk masa depan sangat penting,” kata Ka-shing. - AFP

Berita Harian X