Selasa, 13 Ogos 2019 | 1:00pm
PENSYARAH Jabatan Sejarah, Universiti Northern Arizona, Amerika Syarikat (AS), Prof Derek Heng

Prestij Melaka dalam rekod antarabangsa

MELAKA: Pujian perlu diberikan terhadap usaha gigih organisasi penyelidikan sejarah Melaka, Melaka In Fact menganjurkan Seminar Melaka in The Long 15th Century yang menghimpunkan sejarawan dan sarjana sastera, sejarah serta budaya untuk berdiskusi serta membentangkan dapatan terbaru mengenai empayar yang tumbang di tangan Portugis pada 1511 itu.

Selain itu, tentunya ketegasan hala tuju seminar itu sendiri yang berlangsung di Ramada Plaza, Melaka yang memfokuskan sumber Asia sahaja.

Hal itu menurut penganjurnya yang juga Pensyarah Jabatan Sejarah, Universiti Kebangsaan Singapura, Prof Madya Peter Borschberg berpunca sumber Asia kurang didengari atau ditonjolkan apabila perbincangan mengenai sejarah Melaka diadakan.

Bagaimanapun agak sayang sekali sumber Asia dirujuk Borschberg itu mungkin boleh dianggap ‘baharu’ dalam kalangan sarjana Eropah sahaja, sedangkan kebanyakan sarjana alam Melayu berbahasa Melayu terutamanya, sebahagian sumber Asia misalnya China dan Jepun tidak boleh dikatakan baharu.

Contohnya sewaktu Pensyarah Jabatan Sejarah, Universiti Northern Arizona, Amerika Syarikat (AS), Prof Derek Heng berkongsi mengenai Melaka in Chinese Texts: Archivalisation and Macro Patterns Related to Records of Melaka in the Ming and Qing Periods (Fifteenth to Eighteenth Centuries), beliau memetik manuskrip yang sudah biasa didengar dalam perbincangan mengenai sumber China mengenai Melaka seperti Mingshilu pada akhir abad ke-17; Yingya Shenglan (1433), Xingcha Shenglan (1436) dan Xiyang Fanguozhi (1434).

Justeru, Heng mengulang kisah keakraban Melaka dan China yang ketika itu diperintah Dinasti Ming dan kisah pelayaran Cheng Ho (Zheng He) yang bagaimana kemudiannya China menaungi Melaka ketika itu berhadapan dengan ancaman Siam.

Rakaman sumber China pada abad ke-16 pula, kata Heng, seperti Chongbian Qiongtai Gao (1521-1567) mengandungi keterangan terperinci sejarah dan kedudukan geografi Melaka, selain sifat perdagangan di bandar pelabuhan itu.

Namun, satu hal nyata seperti disebut Heng, semua teks itu menyediakan dua kunci utama kepada maklumat bandar pelabuhan itu, maklumat dan deskripsi etnografi di bandar pelabuhan serta menyediakan akaun agak terperinci mengenai pertukaran diplomatik antara Melaka dan China.

“Maklumat ini kemudiannya ditambah dengan informasi Sejarah Melayu yang memberikan laporan naratif mengenai pemimpin kesultanan dan pegawai utama daripada perspektif Melayu dan Suma Oriental (Portugis).

“Namun dalam meneliti kesemua teks ini, dapat dilihat rekod China merujuk Melaka sebelum kedatangan Portugis sebagai Manlanjia tetapi dicatat sebagai Maluijia selepas berlakunya pencerobohan Portugis,” katanya.

Pembentangan Heng kemudiannya dilengkapkan Felo Pascadoktoral, Center for Global Asia, New York University Shanghai, China, Dr Elke Papelitzky menerusi perkongsian kertas kerja, Melaka in Late Ming Historical-Geographical Texts.

Papelitzky memperkenalkan tujuh teks yang tidak pernah diperkatakan sebelum ini dengan kebanyakannya merekodkan Melaka sebagai negeri yang mempunyai hubungan erat dengan China hingga ke tahap peribadi dan kedua-duanya saling menghormati.

“Melaka juga digambarkan sebagai negara aman dan sekiranya diserang, akan dipertahankan China tetapi tidak berminat untuk mencetuskan peperangan.

“Namun kedudukan strategik Melaka diabaikan dalam penulisan setiap buku berkenaan,” katanya.

Tegas Papelitzky, semua teks itu menuliskan kepentingan Melaka sebagai bandar pelabuhan tetapi rekod itu dibuat ketika pemerintahan Dinasti Ming.

Namun sesuatu yang mengejutkan, sejarah penjajahan Portugis langsung diabaikan tetapi Papelitzky mengakui bahawa puncanya tidak dapat dipastikan.

“Dalam semua teks, secara jelas penulisnya sama ada mengabaikan atau menulis semula penaklukan Portugis Melaka dengan cara mendakwa masih wujud kesinambungan hubungan penghormatan antara Melaka dan China,” katanya.

Keadaan itu kata Papelitzky, memperlihatkan penulis tidak mahu menghadapi realiti atau mungkin juga disebabkan pada ketika ia ditulis kedudukan China sudah mula merosot.

Sementara itu, Prof Gakusho Nakajima, Pensyarah Jabatan Sejarah Asia, Universiti Kyushu menerusi perkongsiannya, Relation between Ryukyu Kingdom and Melaka Sultanete from the Mid 15th to Early 16th Century: Mainly Seen from Rekidai Hoan hanya mengulang fakta yang pernah dibentangkan sarjana tempatan, iaitu Prof Emeritus Dr Hashim Musa hampir empat tahun lalu.

Meskipun Nakajima tidak berminat berdebat sama ada Laksamana Hang Tuah wujud atau tidak, pembentangan Nakajima menegaskan terdapatnya hubungan antara Kerajaan Ryukyu dan Melaka.

“Rekidai Hoan merakamkan terdapat pertukaran 19 dokumen antara Ryukyu dan Melaka yang boleh diklasifikasikan sebagai dokumen diplomatik dan sijil, selain dokumen dikeluarkan sultan dan laksamana untuk diserahkan kepada Kerajaan Ryukyu,” katanya.

Sumber sama juga mencatatkan hubungan itu berlangsung ketika Melaka berada dalam pemerintahan Sultan Mansur dan Mahmud Shah.

756 dibaca
Berita Harian X