Selasa, 23 Julai 2019 | 12:28pm
Pelajar perlu didedahkan kepada karya sastera secara menyeluruh hingga menjadi antara bacaan yang dibudayakan dalam hidup mereka. Gambar hiasan. - Foto Saddam Yusoff

Orang sastera hilang suara, tiada dana

KUALA LUMPUR: Sejarah nasionalisme Melayu mencatatkan kebangkitan kesedaran menentang penjajahan dicetuskan oleh kewartawanan dan kesusasteraan yang kerap membakar semangat anak watan.

Bagaimanapun, selepas kemerdekaan meskipun kewartawanan Melayu masih lagi bertahan dan beroperasi termasuk sebagai syarikat disenaraikan di bursa saham, kesusasteraan Melayu kurang mendapat perhatian.

Hal ini boleh dibuktikan dengan jumlah sekolah yang menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu semakin merosot. Misalnya sehingga 2012, hanya 617 sekolah menawarkan subjek itu kepada pelajar Tingkatan 4 dan 5 berbanding jumlah sekolah menengah biasa mencecah 2,000 sekolah.

Sementara itu, kajian di Melaka setahun sebelumnya, mendapati hanya 15 sekolah menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu dengan jumlah pelajar seramai 537.

Merosotnya sambutan terhadap subjek itu mungkin disebabkan persepsi negatif terhadapnya misalnya kurang prospek dalam kerjaya atau tanggapan ia hanya sesuai dipelajari pelajar kurang cemerlang daripada segi akademik.

Namun satu hal yang nyata, pada peringkat kebangsaan juga kesusasteraan tidak begitu mendapat perhatian. Walaupun Anugerah Sastera Negara yang membawa gelaran Sasterawan Negara diwujudkan sejak 1982, sumbangan dan pandangan golongan sasterawan kurang dipedulikan.


Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad. - Foto Nik Hariff Hassan

Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad, berkata senario itu menjelaskan suara sasterawan kurang didengar.

Mungkin mengambil kira pandangan orang sastera dalam belanjawan negara ‘sangat besar’ namun hal seperti perlantikan senator dalam kalangan penggiat sastera belum pernah dibuat walaupun sebelum ini sudah ada Ahli Dewan Negara yang mewakili kelompok kesenian dilantik.

“Sebelum ini ada senator mewakili kesenian, iaitu Tan Sri Jins Shamsudin, tetapi beliau mewakili seni persembahan atau mungkin hiburan namun belum ada senator yang dilantik dalam kalangan sasterawan.

“Jika kerajaan boleh menimbangkan hal ini ia tentu saja ia sangat bermakna,” katanya.

Bagaimanapun, tegas Mohamad Saleeh, ketiadaan ruang seperti itu tidaklah sehingga menyekat perkembangan kesusasteraan kebangsaan.

“Kalau daripada segi kuantiti memang insentif sangat diperlukan tetapi kalau dari segi kualiti, semakin tertekan, penulis makin kuat menghasilkan karya bermutu.

“Jadi, tidak timbul kekurangan ruang menyekat ‘perkembangan sastera’ secara menyeluruh,” katanya.

Mohamad Saleeh berkata, ketiadaan bajet menjejaskan pergerakan persatuan kerana peruntukan persatuan selalunya perlu dimohon berdasarkan projek.

“Ketika ini tiada dana khusus bagi penggiat sastera disalurkan secara tetap. Malah sebenarnya, antara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan Kementerian Pendidikan menerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), siapakah yang bertanggungjawab membantu perkembangan sastera?

“Lazimnya DBP di bawah Kementerian Pendidikan yang menjadi sandaran penggiat sastera, tetapi DBP juga mempunyai kekangan lantaran belanjawan mereka juga dipotong.

“Sementara MOTAC lebih berminat memberikan dana kepada bidang kesenian bukan persuratan,” katanya.

Hal ini menyulitkan perkembangan kesusasteraan kebangsaan sedangkan ia mempunyai potensi untuk berkembang

seperti juga industri buku tempatan. Misalnya menerusi usaha untuk menterjemahkan karya sastera tempatan.

Dalam hal inilah tegasnya, Kementerian Kewangan patut memberi peruntukan kewangan khas kepada Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) untuk menterjemahkan karya penting nasional ke dalam bahasa Inggeris dan tujuan lain untuk mempromosi imej budaya kreatif dan intelektual Malaysia di mata dunia.

“Selain itu, MOTAC perlu mendapat peruntukan khas bagi program pendidikan memperkenalkan nilai dan budaya sukuan seperti Iban, Murut, Kadazan dan Melanau bagi membina pemahaman dan saling pengertian antara pelbagai etnik Malaysia demi toleransi, perpaduan dan solidariti nasional,” katanya.

Tambah Mohamad Saleeh, MOTAC juga perlu dana besar bagi mewujudkan silang interaksi dan perkongsian kreativiti antara seniman seni visual, seni persembahan, sastera, seni filem serta komuniti kritik bagi memperkaya dan mengembangkan tema dan bentuk juga gaya kesenian moden negara.

Namun hal paling utama, tegas Mohamad Saleeh, adalah keupayaan kerajaan untuk memahami peranan

kesusasteraan kebangsaan itu sendiri.

Katanya, pemahaman itu membolehkan satu klausa khusus dalam belanjawan untuk pembangunan sastera dan sasterawan tanah air seperti penyelidikan, pengembangan, pembinaan bakat dan pengiktirafan.

“Kita lihat bidang seni halus sudah jauh meninggalkan kesusasteraan. Mereka mendapat geran untuk residensi di luar negara juga tajaan syarikat korporat.

“Mungkin hal berbentuk tak ketara dan ketara ini menyebabkan orang tidak peduli. Seni halus adalah seni ketara yang boleh lihat dan menikmati hasilnya,” katanya.

Sastera dalam konteks ini adalah seni tak ketara yang walaupun dizahirkan dalam bentuk fizikal tetapi memerlukan usaha, tenaga dan masa untuk duduk membaca dan menikmatinya.

Namun, tegas Mohamad Saleeh, hal itu tidak seharusnya menghalang kesusasteraan kebangsaan dibantu dan dibangunkan.

“Misalnya mengadakan geran kreatif untuk penulis yang layak bagi mewujudkan persekitaran kreativiti dan pembangunan kreatif pengarang bagi penghasilan karya misalnya dengan menyertai pertemuan atau seminar penulisan seperti Program Penulisan Iowa,” katanya.

“Malah jika perlu tubuhlah sekretariat khusus untuk menyelenggarakan pengiktirafan karya peringkat antarabangsa,” katanya.

Dalam hal ini, kata Mohamad Saleeh, Singapura dan Indonesia lebih jauh ke hadapan. Singapura misalnya mewujudkan agensi khas bertanggungjawab membangunkan sastera yang boleh dilihat menerusi penganjuran program sastera bertaraf antarabangsa, Singapura Singapore Writers Festival setiap tahun.

“Di negara ini, hal sebegitu digerakkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan peruntukan terhad,” katanya.

Berita Harian X