Khamis, 4 Julai 2019 | 3:55pm
Bantahan Mesir terhadap lelongan patung Firaun Tutankhamun yang berusia 3,000 tahun tidak diterima oleh rumah lelongan Christie. Gambar hiasan. - Foto Reuters
Bantahan Mesir terhadap lelongan patung Firaun Tutankhamun yang berusia 3,000 tahun tidak diterima oleh rumah lelongan Christie. Gambar hiasan. - Foto Reuters

Patung anak Firaun tetap dilelong, Mesir bantah

LONDON: Patung Firaun Tutankhamun berusia 3,000 tahun tetap akan dilelong di sini walaupun menerima bantahan kuat daripada Kaherah.

Rumah lelongan Christie menjangkakan patung bersaiz 28.5 sentimeter diperbuat daripada permata kuartz bakal terjual lebih £4 juta (RM20.8 juta) dalam bidaan antara paling kontroversi.

Patung Firaun yang terkenal dengan pahatan kemas - mata jernih dan bibir yang melambangkan ketenangan - berasal daripada koleksi peribadi seni purba Resandro yang sebelum ini pernah dijual dengan harga £3 juta (RM15.6 juta) pada 2016.

Namun, kerajaan Mesir meluahkan kemarahan dan mahu jualan itu dihentikan dan khazanah berkenaan dikembalikan.

Keputusan Christie itu disifatkan Kementerian Luar Mesir sebagai ‘bercanggah dengan perjanjian dan konvensyen antarabangsa.’

Bekas Menteri Antikuiti Mesir, Zahi Hawass memberitahu AFP bahawa bahan itu dicuri dari kompleks Kuil Karnak pada dekad 1970-an.

“Kami fikir ia dibawa keluar dari Mesir selepas kerana ketika itu, artifak lain turut dicuri dari Kuil Karnak,” katanya.

Christie membalas bahawa Mesir tidak pernah menyuarakan isu artifak itu dengan nada sama meskipun kewujudannya ‘sudah diketahui ramai dan dipamerkan secara terang-terangan’ sejak bertahun-tahun.

“Objek itu bukan dan tidak pernah menjadi tumpuan penyiasatan,” katanya dalam kenyataan kepada AFP.

Rumah lelongan itu turut menerbitkan kronologi bagaimana tinggalan purba itu bertukar tangan antara pengedar seni Eropah sepanjang 50 tahun.

Sebutan paling lama antara 1973 hingga 1974 meletakkannya dalam koleksi Prince Wilhelm of Thurn and Taxi di Jerman.

Namun, fakta itu diragui dengan laporan daripada laman berita Live Science yang menyebut Wilhelm tidak pernah memiliki tinggalan berkenaan.

Wilhelm ‘bukan individu yang tertarik kepada seni’, kata anak saudaranya, Daria yang dipetik laman berita itu.

Wartawan dan sejarawan seni yang pernah mengenali Wilhelm memberitahu Live Science bahawa putera itu langsung tidak mempunyai koleksi seni.

Tutankhamun dikatakan menjadi Firaun ketika usia 9 tahun dan meninggal dunia 10 tahun kemudian.

Pemerintahannya mungkin tidak akan diketahui kalau bukan kerana penemuan makamnya oleh Howard Carter dari Britain pada 1922.

Penemuan itu menyemarakkan kembali minat kepada Mesir Purba dan mewujudkan ruang persaingan mendapatkan hak milik terhadap karya agung kebudayaan yang ditemui pada zaman kolonial.

Tutankhamun kemudian lebih dikenali sebagai King Tut dan diangkat sebagai subjek dalam lagu serta filem.

Konvensyen antarabangsa dan panduan kerajaan British menyekat jualan sebarang karya yang diketahui sebagai barang curian atau hasil cari gali secara haram.

Muzium British berdebat dengan Greece beberapa dekad mengenai koleksi ukiran marmar dan arca Parthenon.

Kempen Mesir untuk memperoleh semula karya yang hilang, mendapat momentum selepas beberapa barangan hilang akibat dijarah selepas bekas presidennya, Hosni Mubarak jatuh pada 2011.

Kaherah berjaya mendapatkan semula ratusan artifak yang dijarah dan dicuri dengan kerjasama rumah lelongan dan kumpulan kebudayaan antarabangsa.

Namun, Mesir tidak dapat membuktikan kesnya dengan bukti kukuh bahawa patung Tutankhamun diperoleh secara haram.

Christie memberitahu AFP bahawa pihaknya ‘tidak akan menjual sebarang karya yang tidak mempunyai pemilikan yang jelas.’

Berita Harian X