Isnin, 1 Julai 2019 | 7:34pm
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyampaikan cek kepada Sasterawan Negara (SN), Datuk Seri A Samad Said selepas Majlis Penyerahan Cek Elaun Sara Hidup Kepada Sasterawan Negara di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Elaun tak 'ikat' Sasterawan Negara, tetap suarakan kebenaran

KUALA LUMPUR: Pemberian elaun penghargaan bulanan RM5,000 kepada tujuh Sasterawan Negara (SN) diyakini tidak akan menyekat kebebasan untuk mereka terus menghasilkan karya bagi menyuarakan pendirian dan pandangan masing-masing.

Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2011, Syed Mohd Zakir Syed Othman atau lebih dikenali sebagai SM Zakir, berkata pemberian elaun itu adalah sama seperti penganugerahan SN melalui Anugerah Sastera Negara (ASN), yang penerima mendapat imbuhan RM60,000 dan diberi kemudahan.

“Saya yakin ia tidak akan menyekat SN daripada terus menulis apa-apa perkara yang seiring dengan pendirian mereka dalam setiap isu berbangkit.

“Malah, sebelum ini ramai yang sudah menerima gelaran SN dan mereka bebas menulis apa sahaja pandangan terhadap sesuatu isu serta menyatakan pendirian dan kritikan masing-masing.

“Jadi pemberian elaun penghargaan ini juga menggunakan konsep sama dan ia tidak akan ‘mengikat’ mereka daripada terus berkarya,” katanya ketika dihubungi BH di sini.

Baru-baru ini, kerajaan bersetuju memberi elaun penghargaan bulanan berjumlah RM5,000 kepada tujuh SN bermula bulan ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, dipetik sebagai berkata peruntukan tambahan itu diluluskan kepada Kementerian Pendidikan untuk pembiayaan elaun kepada semua SN terbabit, iaitu Datuk Seri A Samad Said; Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh; Datuk Noordin Hassan; Datuk Dr Mohd Anuar Rethwan (Anwar Ridhwan); Datuk Dr Ahmad Khamal Abdullah; Datuk Baharuddin Zainal (Baha Zain) dan Datuk Dr Zurinah Hassan.

Guan Eng menjelaskan pemberian penghargaan secara bulanan itu adalah elaun tambahan baharu diberikan sebagai tanda penghargaan kepada usaha dan dedikasi mereka terhadap pembinaan serta perkembangan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan.

Ia juga menjamin kebajikan, kesejahteraan dan memberi keselesaan kepada SN supaya dapat terus menyumbang idea pemikiran, keilmuan dan sumbangan karya bermutu tinggi untuk tatapan masyarakat.


Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2011, Syed Mohd Zakir Syed Othman. - Foto Faiz Anuar

SM Zakir berkata, SN bebas berkarya untuk menyatakan pendirian dan pandangan masing-masing selagi tidak melanggar undang-undang atau menimbulkan perkara bahaya yang mengancam ketenteraman dan keselamatan negara.

“Kerajaan juga tidak boleh menarik balik elaun ini jika SN menzahirkan pandangan secara tulus dan telus selagi ia bukan perkara yang melanggar undang-undang, bagi saya ia bukan masalah atau isu,” katanya.

Mengulas lanjut, SM Zakir berkata, sebagai negara yang mengamalkan kebebasan bersuara dan terbuka, SN bebas untuk menyatakan kritikan dan pandangan, tanpa boleh disekat atas alasan perbezaan pendapat dan fahaman politik.

“Pemberian elaun RM5,000 ini adalah tindakan paling tepat dan sepatutnya ia sudah lama diberikan sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan SN.

“Usaha kerajaan memberi perhatian terhadap dunia sastera tanah air juga wajar dipuji kerana ia menjadi indeks menuju sebuah negara maju," katanya.

Sementara itu, Ketua Satu, Persatuan Penulis Johor, Amiruddin Ali Hanafiah, berkata pemberian elaun penghargaan berkenaan adalah langkah baik dan ia diyakini dapat memangkin penghasilan karya besar dan berkualiti dalam kalangan SN.

Beliau berkata, elaun ini disifatkan sebagai pengiktirafan dan bukan sekatan terhadap kebebasan berkarya serta mampu menggalakkan golongan itu menghasilkan lebih banyak magnum opus seperti naskhah Salina karya A Samad Said dan Hari-hari Terakhir Seorang Seniman (Anwar Ridhwan).

“Ia adalah elaun yang sememangnya harus diberi kerajaan bagi menghargai jasa mereka yang sudah berjuang sejak sekian lama memartabatkan sastera tanah air. Pemberian elaun ini perlu dilakukan secara konsisten termasuk kepada bakal penerima ASN pada masa hadapan.

“Elaun ini umpama pemberian pencen sebagai seorang penulis yang diiktiraf sebagai SN. Malah saya fikir sudah tiba masanya tujuh SN ini dilantik untuk menerajui mana-mana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mempunyai kaitan dengan sastera, bahasa dan budaya termasuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan muzium.

“Ini kerana mereka boleh menyumbang idea serta memberi sudut pandangan masing-masing dalam semua isu yang berkaitan dengan sastera, bahasa dan budaya," katanya.

INFO

- ASN yang membawa gelaran SN itu ialah anugerah tertinggi kepada penggiat kesusasteraan kebangsaan yang dimulakan pada 1979 dengan dipengerusikan oleh Menteri Pendidikan ketika itu, Datuk Musa Hitam.

- Idea mengenainya dicetuskan pada 1977 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Hussein Onn yang menyebut mengenai hasrat kerajaan meningkatkan taraf dan penghargaan kepada sasterawan tanah air.

- Penganugerahan dibuat pada 1981 yang menyaksikan wartawan dan penulis, Kamaluddin Muhamad atau Keris Mas dinobatkan sebagai SN pertama.

- Sehingga kini seramai 13 pengarang sudah diiktiraf sebagai SN.

- Pengarang yang dinamakan sebagai SN akan menerima warkah penghormatan negara, wang tunai RM60,000, penerbitan sebanyak 50,000 naskhah atau kos cetakan karya penerima anugerah bernilai maksimum RM500,000 untuk dibeli kerajaan dan disebarkan dengan meluasnya ke sekolah, perpustakaan, jabatan, dan agensi kerajaan.

- Penerima juga akan mendapat kemudahan perubatan percuma dalam wad kelas satu di mana-mana hospital kerajaan, kemudahan dan keselesaan untuk kegiatan mencipta karya sastera, kemudahan untuk menerbitkan karya dan penterjemahan karya yang sesuai ke dalam bahasa asing.

Berita Harian X