Khamis, 13 Jun 2019 | 11:00am
Teras pencapaian kesembilan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di bawah kerajaan baharu ialah memperkasa bahasa, budaya dan sastera.
Teras pencapaian kesembilan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di bawah kerajaan baharu ialah memperkasa bahasa, budaya dan sastera.

Laksana segera Dasar Sastera Kebangsaan

ENTAH bila Dasar Sastera Kebangsaan akan diperkenalkan kerana sehingga kini perbincangan sekadar perbincangan penuh berahsia. Hala tuju dan matlamat pencapaian sastera nasional terlalu kabur.

Seperti juga pemilihan dan pengumuman Sasterawan Negara yang terbaru masih tertangguh, adakah Dasar Sastera Kebangsaan juga sekadar perbincangan di bilik berhawa dingin tanpa pelaksanaan yang sewajarnya?

Sektor lain sudah melaksanakan pelbagai dasar yang bertujuan memaktubkan sesuatu agenda bertaraf nasional tetapi tidak bidang kesusasteraan. Malaysia sudah mempunyai Dasar Bahasa Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan pelbagai lagi.

Walaupun bukan semua dasar berkenaan berjalan lancar dan penuh cabaran, setidak-tidaknya agenda nasional sudah kelihatan untuk mencapai matlamat. Sasterawan, budayawan dan birokrat seni wajar ambil iktibar isu ini kerana tanpa dasar yang jelas, matlamat Dasar Sastera Kebangsaan akan sukar dicapai.

Memang diakui sastera masih berada di tempat terpinggir dalam agenda pembangunan nasional. Sasterawan Negara tidak diiktiraf sewajarnya dalam rangka pembangunan ekonomi negara. Malahan, syarikat berkaitan kerajaan yang ditubuhkan untuk menerbit dan menterjemah buku ke pelbagai bahasa dunia pun tidak mendapat peruntukan yang sewajarnya untuk menjalankan operasi.

Lebih malang suara sasterawan semakin hilang apabila seni dikaitkan dengan sektor lain dalam program pelancongan nasional menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020 yang hanya enam bulan lagi. Hari ini masyarakat mengenal seni kerana pelakon, pelawak, pemuzik, penyanyi dan pengarah filem.

Jarang yang kenal penulis Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur, Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman, Daerah Zeni dan Pulang Si Tanggang. Lebih malang apabila sastera dikaitkan subjek untuk pelajar yang lemah. Banyak sekolah yang berkira untuk mengadakan kelas Kesusasteraan Melayu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana bimbang peratusan pencapaian peperiksaan merosot kerana subjek Sastera didakwa tidak menyumbang kelulusan yang cemerlang setiap tahun.

Stigma ini berlaku sejak lima dekad lalu apabila aliran sains diperkenal di sekolah kononnya untuk pelajar yang cemerlang. Aliran Sastera untuk mereka yang lemah, kaki ponteng dan kerap cuti sakit. Pandangan serong ini menjadikan Sastera sebagai subjek yang lemah dan untuk mereka yang lemah.

Berdepan halangan kewangan, prasarana

Sehingga kini banyak persatuan penulis peringkat negeri dan daerah dipimpin golongan berusia. Dengan dana terhad, mereka menjalankan aktiviti dengan pelbagai halangan kewangan dan prasarana.

Banyak juga persatuan penulis sekadar cawangan parti politik yang menjadi asas untuk menggerakkan agenda kepartian secara tidak rasmi. Hal ini berlaku apabila wakil rakyat dan orang politik dijemput merasmikan sesuatu acara dan turut membantu kewangan bagi menjayakan aktiviti penulisan.

Keadaan ini berlaku sejak 1957 apabila sastera diperalatkan untuk kepentingan politik tertentu. Pada dekad 1960-an ada unsur sosialis dalam kebanyakan karya tempatan kerana isu semasa ketika itu yang mempertemukan konsep Seni Untuk Masyarakat dan Seni Untuk Seni.

Suara Usman Awang, Keris Mas, A Samad Said, Arenawati dan Shahnon Ahmad amat jelas isu marhaen, cerita manusia bawahan yang terhimpit dalam krisis ekonomi kapitalis. Penentangan kelas dan Peristiwa 13 Mei, kelaparan di Baling dan kemiskinan Lahuma dalam Ranjau Sepanjang Jalan menjadi model kesusasteraan kebangsaan pada awal kemerdekaan.

Dekad 1980-an dan mutakhir adalah pengisian kemerdekaan dengan pelbagai halangan dan dugaan bentuk baru. Perang Dingin di antara blok komunis dan kapitalis sudah berlalu. Karya sastera Malaysia berpaksikan realiti baharu mengenai kemerdekaan dan pengisian makna kebebasan.

Sasterawan Mutakhir, terutama karya Zaen Kasturi, SM Zakir dan Faisal Tehrani adalah suara Malaysia pasca moden yang wajar diperhatikan. Di antara mereka ramai lagi karyawan baharu yang masih aktif dan menemui identiti tersendiri.

Sudah sampai masa Dasar Sastera Kebangsaan disepakati kerana masyarakat memerlukan karya terbaik bangsa Malaysia. Hala tuju kesusasteraan perlu jelas. Cerdik pandai sastera, sarjana dan pemikir perlu segerakan gagasan dasar berkenaan. Birokrat seni tidak perlu merangkak lagi kerana sekarang bukan lagi era enggang dan pipit.

Sekarang era siber dan media digital yang banyak mengisi karya kurang wibawa. Polemik Sasterawan Negara tidak wajar dikaitkan isu politik, kroni, ras atau Syiah. Pilihlah sasterawan terbaik kerana karya, bukan kerana simpati dan kuota untuk kaum tertentu.

Bukan kerana pegangan agama atau kecenderungan kepartian seseorang. Dasar Sastera Kebangsaan boleh membantu kriteria karya terbaik dan menentukan calon Sasterawan Negara yang boleh diterima oleh pelbagai sektor lain.

Penulis adalah bekas wartawan BH

Berita Harian X