Jumaat, 31 Mei 2019 | 9:59pm
Zaman Kesultanan Melayu Melaka antara latar dalam novel Mitologi Sumpah Tun Ledang karya Endie Shazlie. Gambar hiasan. - Foto Amir Irsyad Omar

Mitos 'hidupkan' semula sejarah Tun Ledang

MITOLOGI Sumpah Tun Ledang karya Endie Shazlie mempunyai kekuatan tersendiri dengan mengangkat genre fiksyen sejarah sebagai tunjang, sekali gus menjadikan novel ini berbaloi untuk ditekuni tanpa membiarkan walau sehelai halaman tertinggal.

Walaupun banyak garis masa yang diketengahkan dalam novel ini antaranya zaman Empayar Srivijaya, Zaman Kesultanan Melayu Melaka dan Hang Tuah serta zaman moden, ia langsung tidak merencatkan mood pembaca kerana penulis berjaya menggarapkan setiap babak dengan baik supaya tidak mengelirukan biarpun banyak menggunakan teknik imbas semula.


Novel Mitologi Sumpah Tun Ledang karya Endie Shazlie. - Foto NSTP

Naskhah ini mengisahkan sekumpulan ahli arkeologi diketuai oleh Dr Hariz bersama tiga kakitangannya, iaitu Natrah, Shah dan Ayman yang menjalankan projek mengkaji serta menterjemah kitab Hikayat Paduka Raja yang sekian lama diperjuangkan untuk dibawa pulang dari Lisbon, Portugal ke Arkib Negara.

Dalam tempoh kajian itu, satu rangka manusia ditemui di kaki Gunung Ledang, sekali gus menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan menjalankan upacara pemujaan di kawasan berkenaan.

Upacara itu bertujuan menyeru rangka itu supaya hidup semula dan membalas dendam termasuk membunuh mereka yang tidak berdosa dengan cara kejam serta zalim.

Rentetan babak itu, mendedahkan watak Tun Ledang Shah yang dibunuh Hang Tuah seperti diceritakan pada bab awal, sekali gus mempunyai kaitan dengan penemuan rangka manusia di kaki Gunung Ledang pada zaman moden.

Bagi mengembalikan kuasa saktinya, rangka itu memerlukan darah manusia daripada susur galur keturunan Hang Tuah, sebelum mampu melunaskan sumpahnya untuk memburu pembunuhnya 600 tahun lampau.

Pembunuhan demi pembunuhan dilakukan makhluk itu hingga menyebabkan ramai yang tidak berdosa menjadi korban.

Kumpulan ahli arkeologi itu juga berdepan cabaran besar meyakinkan pasukan penyiasat bahawa pembunuhan bersiri itu perbuatan makhluk Tun Ledang yang mati dibunuh dan ditanam di bawah pokok Cengal di kaki Gunung Ledang.

Elemen suspens

Apa menarik, banyak perubahan plot berlaku, sekali gus mencetuskan elemen suspens hingga menarik pembaca untuk menelaah hingga ke halaman terakhir seperti ahli arkeologi kacukan Inggeris, Natrah yang dipercayai mempunyai kaitan dengan susur galur Hang Tuah berjaya menimbulkan tanda tanya serta membuakkan perasaan ingin tahu pembaca.

Penulis juga mampu mengadunkan sejarah sebenar dengan fiksyen yang direkanya sendiri dalam novel setebal 345 halaman itu.

Justeru, pembaca sekurang-kurangnya perlu mengetahui asas sejarah kesultanan Melayu termasuk sebelum kedatangan Islam, kerajaan Srivijaya untuk membezakan antara sejarah dengan fiksyen semata-mata.

Malah, penulis berjaya menghidupkan watak Tun Ledang dengan baik kerana antogonis yang hidup beratus tahun itu berjaya menimbulkan kemarahan pembaca tetapi pada masa sama menjentik rasa simpati terhadapnya.

Tun Ledang pahlawan purba gagah perkasa digambarkan sebagai individu yang derhaka selepas kekasihnya Wan Sendari Chanderapuri dikahwinkan dengan kekandanya, Sang Sapurba selepas ditabalkan menjadi Sultan.

Digambarkan juga rahsia awet muda Tun Ledang sebagai pahlawan perkasa dan kebal adalah dengan meminum darah keturunan Sultan dan habuannya ramai menjadi korban.

Ketengah konsep derhaka, kepatuhan

Darah itu adalah untuk memastikan Tun Ledang mempunyai kuasa luar biasa yang tidak mampu ditandingi dan terus kekal sebagai pahlawan ulung yang melindungi kekuasaan Sultan memerintah.

Plot sebegini sebenarnya mengetengahkan bagaimana konsep derhaka terhadap Raja pada Zaman Kesultanan Melayu dan kepatuhan Hang Tuah terhadap Sultan, walaupun terpaksa membunuh Tun Ledang yang juga gurunya yang dikasihi.

Selain itu, penulis juga berani menyingkap sisi gelap kehidupan masyarakat Melayu sebelum kedatangan Islam yang diceritakan sebagai beragama Hindu, menyembah berhala dan mempercayai dewa-dewi kayangan.

Penulis juga membawa kelainan dengan menerapkan unsur mitos dan sakti, iaitu kehidupan semula Tun Ledang dengan bauran elemen mistik, roh dan kuasa dewa-dewi yang diolah dengan penceritaan kemas menjadikan Mitologi Tun Ledang Shah sebagai karya luar biasa.

Selepas 600 tahun, adakah dendam Tun Ledang terbalas dan bagaimana kesudahan nasib empat pengkaji sejarah berkenaan? Semuanya terjawab dalam Mitologi Sumpah Tun Ledang Shah.

Berita Harian X