Khamis, 23 Mei 2019 | 10:46am
Pengarang Oman, Jokha Alharthi (kiri) dan penterjemah, Marilyn Booth di Majlis Penyampaian Hadiah Antarabangsa Man Booker di London. - Foto AFP

Kemenangan Jokha Alharthi lonjak sastera Arab

MUSCAT: Rakyat Oman memuji pencapaian bersejarah pengarang negara mereka, Jokha Alharthi dan menyanjungnya kerana membawa penghormatan ke negara teluk itu selepas menjadi penulis Arab pertama memenangi Hadiah Antarabangsa Man Booker.

Penyair dan pengarang, Saif al-Rahbi, menyifatkan ia pencapaian bersejarah yang besar kepada pengarang, Oman dan kebudayaan Arab secara umumnya.

“Ia menunjukkan sastera Oman turut bergerak ke hadapan,” katanya kepada AFP.

Jokha, 40, menerima hadiah berprestij itu pada majlis penyampaian di London untuk novelnya, Celestial Bodies yang menggambarkan kehidupan di negara teluknya yang kecil.

Anugerah yang menawarkan hadiah bernilai £50,000 (RM265,000) itu, meraikan fiksyen yang diterjemah dari seluruh dunia dengan jumlahnya dibahagikan sama rata antara pengarang dengan penterjemah.


Novel Celestial Bodies karya pengarang Arab, Jokha Alharthi, yang diterjemah oleh Marilyn Booth, yang memenangi Hadiah Antarabangsa Booker. - Foto AFP)

Juri Hadiah Antarabangsa Man Booker menyifatkan Celestial Bodies imaginasi yang kaya, menawan dan pandangan puitis terhadap perubahan masyarakat serta kehidupan yang sebelumnya kabur.

Ia mengangkat kisah tiga adik-beradik perempuan yang menyaksikan perkembangan yang bergerak perlahan dalam masyarakat Oman pada abad ke-20.

Jokha berkata, beliau teruja apabila tingkap sudah dibuka untuk kebudayaan Arab yang kaya.

“Oman memberikan ilham kepada saya tetapi saya fikir pembaca antarabangsa dapat menghubungkan nilai kemanusiaan dalam buku ini, iaitu kebebasan dan cinta,” katanya kepada AFP selepas majlis penyampaian hadiah di Roundhouse, London.

Juri juga memuji novel itu sebagai karya yang dibangunkan dengan indah dan tegang yang menceritakan perubahan kematangan Oman lewat biasan kehilangan dan cerita sebuah keluarga.


Pengarang Oman, Jokha Alharthi di Majlis Penyampaian Hadiah Antarabangsa Man Booker di London. - Foto AFP

Ketua Pengarah Kementerian Kebudayaan Oman, Said Sultan al-Bussaidi, bersetuju.

Novel itu katanya, menunjukkan karya Jokha mencerminkan kematangan dan mencapai tahap antarabangsa.

“Menjadi penghormatan kepada setiap lelaki dan wanita Oman, manakala hadiah itu akan membantu menyebarkan sastera Oman ke seluruh dunia,” katanya.

Jokha sebelum ini menghasilkan dua kumpulan cerpen, buku kanak-kanak dan tiga novel dalam bahasa Arab.

Beliau menyambung pengajian dalam puisi Arab klasik di Universiti Edinburgh dan mengajar di Universiti Sultan Qaboos di Muscat.


Pengarang Oman, Jokha Alharthi bercakap dengan media selepas diumumkan memenangi Hadiah Antarabangsa Man Booker melalui novelnya, Celestial Bodies. - Foto AFP

Dalam wawancaranya dengan BBC hujung minggu lalu, Jokha berkata, beliau sudah lama mahu menulis buku mengenai kehidupan di Oman tetapi tidak dapat berbuat demikian ketika berada di negaranya.

“Namun selepas saya ke Edinburgh, tahun pertama sangat sukar kepada saya, rindu kampung halaman, kesejukan, hingga saya perlu kembali kepada sesuatu yang hangat serta merasai sesuatu dari tanah air.

“Sebenarnya penulisan menyelamatkan saya,” katanya.

Novelnya itu - yang disifatkan akhbar Guardian, berjaya menawarkan kilas pandangan terhadap kebudayaan yang secara relatifnya sangat sedikit diketahui di Barat - diterbitkan pada 2010.


Pengarang Oman, Jokha Alharthi (kiri) dan penterjemah, Marilyn Booth di Majlis Penyampaian Hadiah Antarabangsa Man Booker di London. - Foto AFP

Jokha berkata, novel itu menyentuh sejarah perdagangan hamba di Oman dan kerajaan monarki mutlak yang menyaksikan Sultan Qaboos yang memerintah sejak 1970, didorong untuk melakukan reformasi.

Bagi pakar sastera Arab dan Asia Barat, novel itu boleh menjadi pengubah rentak kepada novel yang muncul di rantau berkenaan.

Editor ArabLit Quarterly, Marcia Lynx Qualey, berkata ia berpotensi untuk membawa keluar novel berbahasa Arab ke pentas antarabangsa sebagai jawapan kepada soalan ‘apakah yang kita boleh pelajari mengenai mereka,’ dan menuju ke arah novel Arab sebagai karya seni.

“Peningkatan penterjemahan novel berbahasa Arab sudah pun bergerak maju tetapi saya fikir penerbit memerlukan sesuatu untuk melonjakkannya lagi,” katanya.

Qualey berkata, sememangnya sudah ada minat khalayak terhadap karya yang dihasilkan pengarang Teluk.

“Di Kuwait, Oman, Arab Saudi dan di mana-mana sahaja, muncul pengarang menulis isu kelas, keganasan rumah tangga, perhambaan, rasisme, patriarki, kuasa dan isu lain yang menarik minat antarabangsa,” katanya.

Celestial Bodies diterjemahkan oleh ahli akademik Amerika Syarikta (AS), Marilyn Booth, yang mengajar sastera Arab di Universiti Oxford.

Pengerusi Panel Juri Hadiah Antarabangsa Man Booker, Bettany Hughes, berkata novel itu memperlihatkan seni yang halus dan aspek yang mengganggu dalam sejarah kita bersama.

Berita Harian X