Khamis, 2 Mei 2019 | 1:52pm
Bicara Karya Siri Sejarah dan Tokoh anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menampilkan (dari kiri) Pegawai Perancang Bahasanya, E Pian Pro Poul; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikannya, Dr Mohd Hanafi Ibrahim; Pegawai Perancang Bahasanya, Fathenwan Wan Mohd Noor dan moderator, Nor Azleenda Abdul Hadi. - Foto Hafiz Sohaimi
Bicara Karya Siri Sejarah dan Tokoh anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menampilkan (dari kiri) Pegawai Perancang Bahasanya, E Pian Pro Poul; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikannya, Dr Mohd Hanafi Ibrahim; Pegawai Perancang Bahasanya, Fathenwan Wan Mohd Noor dan moderator, Nor Azleenda Abdul Hadi. - Foto Hafiz Sohaimi

Iktiraf sumbangan wartawan, sasterawan dalam kemerdekaan

KUALA LUMPUR: Sejarah kemerdekaan negara berkait rapat dengan dunia kewartawanan, kesusasteraan dan penerbitan dengan kebanyakan ikon sejarah seperti Syed Syeikh al-Hadi meninggalkan impak dalam ketiga-tiga bidang berkenaan.

Sebagai pengusaha penerbitan, beliau bukan hanya terbabit dengan percetakan akhbar seperti Al Imam dan Saudara, bahkan dikenali sebagai pengarang menerusi naskhah kesusasteraan, Hikayat Faridah Hanum.

Bersesuaian dengan kedudukan Pulau Pinang ketika itu dan berlakunya revolusi dalam dunia penyampaian maklumat, beliau antara tokoh yang menerajui perkembangan ilmu dan perubahan pemikiran masyarakat Melayu.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Bahagian Penyelidikan Sastera mengambil inisiatif memperkukuhkan kedudukan Syed Syeikh al-Hadi bersama-sama tiga tokoh yang lain menerusi penerbitan Siri Sejarah dan Tokoh.

Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera, Dr Abang Patdeli Abang Muhi berkata, Siri Sejarah dan Tokoh itu mengambil masa dua tahun untuk disiapkan.

“Selain Syed Syeikh Al Hadi, Siri Sastera dan Tokoh ini juga menerbitkan biografi tokoh pendidikan dan kesusasteraan seperti Abdullah Sidek, Pungguk dan Ahmad Lutfi.

“Rasionalnya mendokumentasikan penulisan mengenai mereka supaya ia sentiasa diketahui dan menjadi rujukan bagi mereka yang berkeperluan,” katanya.

Tegas Abang Patdeli, keempat-empat pengarang itu membawa sudut pandang yang melangkaui zamannya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Dr Mohd Hanafi Ibrahim, berkata antara keempat-empat tokoh itu, Ahmad Lutfi atau nama sebenarnya Syed Abdullah Abdul Hamd al-Edrus antara pengarang lantang dalam dalam karya, tetapi tidak difahami umum.

Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr Mohd Hanafi Ibrahim. - Foto Hafiz Sohaimi
Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr Mohd Hanafi Ibrahim. - Foto Hafiz Sohaimi

“Sumbangan beliau penting kerana ketajamannya dalam mengkritik pemikiran orang Melayu pada ketika itu.

“Meskipun mengambil latar masyarakat Melayu Islam di Singapura, karya itu menyentuh mengenai kehancuran sistem kekeluargaan sekitar 1940-an dan 50-an, selain kritikan terhadap sikap golongan agamawan,” katanya.

Tambah Mohd Hanafi, naskhah tulisan Ahmad Lutfi seperti Cukria dan Geylang Serai Karam, kedua-duanya diterbitkan pada 1949 akan dianggap sebagai karya erotik jika dibaca pada selapis makna.

Bagaimanapun, jika dibaca dengan teliti ia sebenarnya lontaran kritikan beliau terhadap sistem kekeluargaan pada ketika itu. Misalnya watak perempuan muda yang dikahwinkan secara paksa dengan tokoh agama berusia yang sebenarnya sudah punya dua isteri.

Sementara penulis seperti Pungguk atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Maamor dianggap sebagai nasionalis dan pemikir Melayu.

Dalam sejarah sastera Melayu moden, Pungguk dikenali sebagai pelopor puisi moden di Malaysia, malah beliau dinamakan sebagai ‘Bapa Sajak Melayu’ dengan sajak awal seperti Di Tanah Segara yang disiarkan pada 1933 dan Keluh Kasih (1934).

Pungguk menggunakan puisi untuk membangkitkan rasa kecintaan kepada tanah air dan melawan penjajahan misalnya dalam sajak Sesat di Hutan Kerana Merajuk (1936), Pungguk mengajak pembaca memikirkan pemusatan kuasa kerajaan kolonial yang tidak adil dan merampas kekayaan negara ini yang sepatutnya menjadi milik warganya.

Berita Harian X