Rabu, 24 April 2019 | 6:59pm
Pengarang Lubnan, Hoda Barakat memenangi Hadiah Booker Antarabangsa untuk Fiksyen Arab 2019 lewat novelnya, The Night Mail. - Foto ihsan International Prize for Arabic Fiction
Pengarang Lubnan, Hoda Barakat memenangi Hadiah Booker Antarabangsa untuk Fiksyen Arab 2019 lewat novelnya, The Night Mail. - Foto ihsan International Prize for Arabic Fiction

Novel kesengsaraan hidup, kesyaitanan menang Hadiah Arab Booker

ABU DHABI: Pengarang Lubnan, Hoda Barakat memenangi Hadiah Booker Antarabangsa untuk Fiksyen Arab lewat novelnya, The Night Mail.

Beliau akan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai AS$50,000 (RM206,000), manakala lima pengarang lain yang disenarai pendek akan menerima AS$10,000 (RM41,000).

Diasaskan di Abu Dhabi pada 2007, hadiah itu disokong oleh Yayasan Hadiah Booker di London dan dibiayai Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan Abu Dhabi.

Dilahirkan di Beirut, Hoda menetap di Paris dan menghasilkan beberapa novel termasuk The Stone of Laughter dan My Master and My Lover.

The Night Mail ialah novel keenamnya dan sudah diterjemah ke bahasa Perancis.

Selain hadiah wang tunai, dana turut disediakan untuk penterjemahan buku itu ke bahasa Inggeris.

Novel itu mengandungi beberapa siri surat yang ditulis oleh individu yang ‘menghadapi kesengsaraan sosial dan kejahatan dalam diri sendiri,’ menurut penerbitnya, Dar al-Adab.

Abu Dhabi, ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE), menjadi semakin signifikan sebagai hab kebudayaan.

Bandar raya itu turut mewujudkan Louvre Abu Dhabi - muzium pertama yang mengambil nama Louvre di luar Perancis - yang memiliki koleksi hampir 600 karya dalam bangunan seni bina futuristik yang direka oleh arkitek Perancis, Jean Nouvel. - AFP

Berita Harian X