Rabu, 17 April 2019 | 6:52pm
Orang ramai yang hadir pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. - Foto Khairul Azhar Ahmad
Orang ramai yang hadir pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Tiada siapa tahu 'untung rugi' penerbit pesta buku

KUALA LUMPUR: Bagi kebanyakan penerbit buku, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) Ke-38 di sini, baru-baru ini, ialah peluang terbaik memastikan apakah sebenarnya ekonomi industri buku sudah pulih atau masih merudum.

Bagaimanapun, hal itu sebenarnya masih menjadi rahsia industri yang hanya diketahui penerbit tertentu sahaja disebabkan hampir semua penerbit di negara ini tidak berminat berkongsi data mereka sepanjang PBAKL berlangsung.

Keadaan itu menyebabkan wajah sebenar PBAKL atau industri buku secara keseluruhannya sukar dilihat.

Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kota Buku (PKB), Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar. - Foto Rosela Ismail
Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kota Buku (PKB), Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar. - Foto Rosela Ismail

Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kota Buku (PKB), Sayed Munawar Sayed Mustar, mengakui PKB masih bergelut untuk meyakinkan penerbit untuk melanggan Nielsen Bookscan.

“Judul yang disebut-sebut sebagai jualan terlaris oleh penerbit adalah andaian sahaja, sekali gus tidak menggambarkan keadaan sebenar.

Kurang dapat sambutan

“Data sebenar mesti datang daripada platform seperti firma penyelidikan, Neilsen Bookscan kerana ia platform yang bebas,” katanya pada Sofa Putih Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM): Wajah dan Masa Depan Industri Buku dalam IR 4.0 - Apa dan Bagaimana?

Malangnya tegas Sayed Munawar, usaha untuk mengajak pemain industri buku bekerjasama dengan Neilsan Bookscan kurang mendapat sambutan.

Nielsen BookScan ialah pembekal perkhidmatan dalam ekosistem dunia penerbitan yang bukan hanya beroperasi di Asia, bahkan Eropah, Australia dan Amerika Selatan.

Ia berperanan memberi data tepat kepada pasaran berdasarkan jualan runcit dan analisis pasaran.

Justeru, tanpa data tepat dan analisis pasaran terperinci, bagaimana pasaran dapat diukur? Hal itu menyebabkan mustahil untuk mengetahui kedudukan dan wajah sebenar industri buku tempatan.

Berdasarkan tinjauan BH, secara umum catatan kedatangan pengunjung ke PBAKL pada hujung minggu tinggi terutama pada Jumaat dan Sabtu, tetapi sukar menterjemahkannya dalam bentuk angka.

Rata-rata penerbit enggan berkongsi data sebaliknya memberi jawapan standard seperti ‘lebih baik dari tahun sebelumnya’ tetapi hampir tidak berguna untuk membuat perbandingan.

Keadaan itu memungkinkan genre yang dianggap laku oleh penerbit adalah andaian satu pihak sahaja dan bukan data menyeluruh daripada penerbit yang mengambil bahagian dalam PBAKL.

Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Ishak Hamzah. - Foto Saifullizan Tamadi
Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Ishak Hamzah. - Foto Saifullizan Tamadi

Tiada dana kerajaan

Bagaimanapun Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Ishak Hamzah, mempertahankan keadaan itu dengan menegaskan PBAKL bukan tempat mengumpul data, sebaliknya ia acara untuk keperluan pempamer berdagang.

“Tidak menjadi tanggungjawab pesta buku mengumpul data kerana usaha pengumpulan data memerlukan kos, tenaga manusia dan kepakaran,” katanya.

Tegas Ishak, model perniagaan PBAKL dilaksanakan tanpa dana kerajaan, justeru tidak timbul persoalan pengumpulan data yang boleh dijadikan landasan untuk mendapat bantuan kerajaan.

“Jika kerajaan prihatin terhadap sokongan kepada industri buku, ia boleh dibuat dengan pemberian baucar khas untuk pembelian buku, peruntukan dan bantuan kepada perpustakaan.

“Selain itu, pelepasan cukai pembelian buku boleh dikembalikan sama ada untuk cukai individu atau syarikat,” katanya.

Namun di sebalik semua itu, hal lebih menarik untuk dilihat apakah tahun hadapan PBAKL akan kembali untuk edisi ke-39?

Ia menimbulkan tanda tanya susulan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) yang menjadi penganjur PBAKL, dijadikan unit kecil dalam Kementerian Pendidikan yang digabungkan dengan Bahagian Sumber Teknologi Pendidikan.

Pada masa sama, ahli majlisnya bagi sesi 2019/2020 belum dilantik, sekali gus mencetuskan tanda tanya sejauh mana penganjurannya dengan kerjasama persatuan industri buku akan terus berlangsung.

Berita Harian X