Selasa, 9 April 2019 | 6:59pm
Pensyarah Jabatan Sejarah, Fakulti Sains dan Kemanusiaan, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Adnan Jusoh. - Foto Nadim Bokhari
Pensyarah Jabatan Sejarah, Fakulti Sains dan Kemanusiaan, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Adnan Jusoh. - Foto Nadim Bokhari

Gendang Dongson, bukti perdagangan alam Melayu

KUALA LUMPUR: Lapan gendang Dongson yang ditemui di beberapa tempat di negara ini, dipercayai tersebar melalui kegiatan perdagangan sejak kira-kira 500 tahun sebelum Masihi hingga 500 selepas Masihi.

Pensyarah Jabatan Sejarah, Fakulti Sains dan Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Adnan Jusoh, berkata ia berdasarkan kajiannya bermula 2002 yang menggunakan pendekatan tipologi dan perbandingan, iaitu membuat analisis terhadap motif manusia yang dipaparkan pada gendang.

“Hasil kajian juga mendapati pelbagai motif hiasan dipaparkan terutama pada bahagian timpanum dan badan gendang gangsa dipercayai mempunyai kaitan dengan sosiobudaya serta aktiviti kehidupan masyarakat ketika itu,” katanya pada Bicara Arkeologi 2019 di sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Muhammad Bakthiar Wan Chik.

Adnan berkata, Gendang Dongson paling awal ditemui di Sungai Tembeling, Pahang pada 1926, manakala empat di Selangor dan Terengganu (tiga).

“Gendang Dongson ini barangan import khususnya dari Vietnam yang perkataan Dongson itu sendiri merujuk kepada kampung di Vietnam,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Bakhtiar berkata, kepakaran dalam bidang arkeologi di negara ini perlu terus dimajukan hingga ke tahap terbaik agar data dihasilkan tepat dan berpotensi untuk menghasilkan produk pelancongan menguntungkan.

“Dengan senarai tapak arkeologi yang menjangkau 823 tapak, menjadi tanggungjawab kita untuk menjadikan bidang arkeologi sebagai teras warisan melalui pemerkasaan arkeologi sebagai sumber ekonomi pelancongan warisan.

“Kementerian berhasrat supaya tapak arkeologi diambil perhatian dan terus dipelihara semua pihak melalui pewartaan dan pengurusan arkeopelancongan yang mapan dan efektif berteraskan Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) hingga membawa nama Malaysia terkenal di seluruh dunia,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X