Khamis, 28 March 2019 | 4:38pm
BANGI 16 NOVEMBER 2018. (dari kiri), Sasterwan Negara, Datuk Dr Ahmad Khamal Abdullah, Sastewaran Negara, Datuk Dr Zurinah Hassan, Sasterawan Negara, Profesor Emeritus Dr Muhammad Salleh, Moderetor, Datuk Zainal Abidin Borhan, Sasterwan Negara, Datuk Seri Dr A. Samad Said dan Sasterwan Negara, Datuk Dr Anwar Ridhwan pada Himpunan Penulis Malaysia di UKM, Bangi. NSTP/ROSELA ISMAIL
BANGI 16 NOVEMBER 2018. (dari kiri), Sasterwan Negara, Datuk Dr Ahmad Khamal Abdullah, Sastewaran Negara, Datuk Dr Zurinah Hassan, Sasterawan Negara, Profesor Emeritus Dr Muhammad Salleh, Moderetor, Datuk Zainal Abidin Borhan, Sasterwan Negara, Datuk Seri Dr A. Samad Said dan Sasterwan Negara, Datuk Dr Anwar Ridhwan pada Himpunan Penulis Malaysia di UKM, Bangi. NSTP/ROSELA ISMAIL

Sasterawan Negara ke-14 diumum Julai

KUALA LUMPUR: Sasterawan Negara (SN) Ke-14 akan diumumkan Julai ini jika cadangan panel penilai pemilihan Anugerah Sastera Negara (ASN) diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin Abang Shoekran, berkata ketika ini penganugerahan ASN itu sudah diputuskan dan akan dibentangkan kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik selaku ketua panel penilai sebelum dibawa menghadap Yang di-Pertuan Agong.

“Selepas hampir tiga tahun, SN baharu akan diumumkan berdasarkan pencalonan yang kami terima.

“Pencalonan kali ini datang dari seluruh negara, meliputi penulis daripada pelbagai generasi dan genre.

“Panel penilai bagaimanapun memutuskan untuk menganugerahkan gelaran SN itu kepada seorang calon terbaik berdasarkan kualiti karya juga sumbangannya kepada pertumbuhan sastera kebangsaan,” katanya kepada BH di sini.

Untuk rekod, kali terakhir SN dinobatkan adalah pada 13 Oktober 2015 yang menyaksikan penulis kelahiran Kedah, Datuk Dr Zurinah Hassan diumumkan sebagai penerima ke-13.

KUALA LUMPUR 15 JANUARI 2019. Temubual Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran di pejabatnya di Menara DBP. NSTP/ SAIRIEN
KUALA LUMPUR 15 JANUARI 2019. Temubual Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran di pejabatnya di Menara DBP. NSTP/ SAIRIEN

Abang Sallehuddin berkata, pencalonan SN diterima bukan sahaja daripada persatuan penulis, bahkan tokoh berpengaruh dalam bidang sastera dan bahasa tetapi panel penilai sepakat memilih hanya satu nama yang layak.

“Keputusan dicapai tidak berbelah bahagi dan saya yakin apabila diumumkan nanti, ia akan disambut baik khalayak sastera juga masyarakat umum,” katanya.

Beliau melihat kemungkinan penulis dibolehkan untuk mencadangkan diri mereka sendiri sebagai SN jika difikirkan layak bagi pencalonan pada masa akan datang.

Ini disebabkan urusan pencalonan itu agak rumit, selain mengambil masa dan tenaga berikutan kertas cadangan calon SN mestilah terperinci.

“Kerja pencalonan ini agak rumit dan orang mencalonkan itu biasanya tidak akan mendapat apa-apa pulangan.

“Panel penilai melihat apa salahnya penulis yang berasakan dia layak diangkat sebagai SN mencalonkan dirinya sendiri kerana akhirnya yang dinilai adalah karya yang berkualiti juga sumbangannya pada masyarakat dan bukan sisi peribadi beliau yang lain,” katanya.

Hal ini tegas Abang Sallehuddin membolehkan lebih banyak pencalonan diterima, selain DBP sebagai sekretariat ASN akan berusaha menggalakkan lebih banyak persatuan penulis dan orang perseorangan yang berwibawa untuk membuat pencalonan.

Abang Sallehuddin berkata, dalam keadaan ekonomi buku yang merosot ketika ini, SN sebenarnya berperanan penting untuk menyemaikan tabiat suka membaca dan mendekatkan masyarakat dengan budaya membaca.

Ini boleh dibuat dengan pembabitan mereka secara aktif membantu mempromosikan karya mereka seperti meuar-uarkan karya sendiri, membina kelab pembaca dan mempromosi karya yang sudah dihasilkan.

“Pendekatan baharu ini memerlukan penulis dan penerbit bergerak bersama untuk membuat promosi. Apatah lagi trend anak muda sekarang lebih gemar membaca karya penulis yang dikenalinya,” katanya.

Tambah Abang Sallehuddin, media terutama televisyen juga perlu membantu dengan mengambil karya sastera untuk diadaptasikan menjadi drama atau mungkin juga filem.

“Hari ini kita melihat kebanyakan novel yang dijadikan drama adalah karya yang santai. Sebagai permulaan ini mungkin bagus, tapi masa akan datang, stesen televisyen cubalah tayangkan drama yang membawa persoalan yang lebih kompleks.

“Kami faham mengenai cita rasa penonton yang mungkin melihat karya santai sebagai pelarian dan hiburan semata-mata.

“Dahulu kita kerap melihat stesen televisyen kita menayangkan drama berat misalnya tulisan Hamka atau Azizi Hj Abdullah, jadi mengapa masa kini tidak boleh,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berharap penerbit dan stesen televisyen melihat hal itu dengan serius.

“Mungkin penerbit dan pengarah seperti Datuk Rosyam Noor misalnya berminat dengan novel DBP, kami sedia berbincang,” katanya.

Tambah Abang Sallehuddin, SN baharu yang akan diumumkan nanti juga akan diraikan di universiti awam (UA) seperti diumumkan menteri pendidikan sebelum ini berhubung program membawa SN ke UA sebagai profesor jemputan.

“Beberapa SN sudah dipelawa oleh UA, misalnya Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) menamakan Datuk Seri A Samad Said sebagai SN jemputan mereka.

“Sementara itu, Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), manakala Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menjemput Zurinah.

“Program ini diharap membawa lonjakan baharu dalam menarik minat masyarakat terhadap sastera dan minat membaca,” katanya.

Berita Harian X