X
Isnin, 4 March 2019 | 2:48pm
Panel (dari kiri) Forum Tradisi dan Pengalaman Penerbitan Karya llmiyyah, Prof Madya Dr Wan Suhaimi Wan Abdullah, Mohd Zain Abdul Rahman dan Muhammad Syukri Rosli di Ma’dabah Ilmu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur. - Foto Mahzir Mat Isa
Panel (dari kiri) Forum Tradisi dan Pengalaman Penerbitan Karya llmiyyah, Prof Madya Dr Wan Suhaimi Wan Abdullah, Mohd Zain Abdul Rahman dan Muhammad Syukri Rosli di Ma’dabah Ilmu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur. - Foto Mahzir Mat Isa

Malaysia perlu banyakkan wacana, terbit buku ilmiah

KUALA LUMPUR: Wacana kepentingan penerbitan buku ilmiah kurang diberikan perhatian meskipun ia menjadi keperluan dalam membina masyarakat bertamadun dan berperadaban.

Apatah lagi dengan lambakan buku dan novel yang ditulis secara ringan serta bersifat popular, tidak ramai yang memberikan pengamatan terhadap pembinaan budaya ilmu melalui buku ilmiah.

Dengan ibu kota ini bakal menjadi Ibu Kota Buku Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun depan, fokus perlu juga terarah kepada penerbitan dan pembudayaan buku ilmiah dalam masyarakat.

Justeru usaha Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang menganjurkan forum Tradisi dan Pengalaman Penerbitan Karya ‘Ilmiyyah sempena program Ma’dabah Ilmu di UTM di sini, diharap dapat merentas laluan baharu dunia buku tanah air.

Pensyarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS), Prof Madya Dr Wan Suhaimi Wan Abdullah. - Foto Mahzir Mat Isa
Pensyarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS), Prof Madya Dr Wan Suhaimi Wan Abdullah. - Foto Mahzir Mat Isa

Penekanan yang diberikan Pensyarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS), Prof Madya Dr Wan Suhaimi Wan Abdullah, terhadap penulisan ilmiah berdasarkan tradisi Islam yang mula bertapak sejak turunnya wahyu al-Quran, perlu menjadi asas dalam konteks pembudayaan membaca di negara ini.

“Jika kita lihat pada zaman Nabi Muhammad SAW, sudah tentu budaya membaca bermakna membaca al-Quran semata-mata tetapi ia sebenarnya menunjukkan kepentingan adalah pada kualiti, bukannya kuantiti,” katanya

Beliau berkata, ini berbeza dengan zaman sebelum Islam, iaitu jahiliyah yang penuh dengan syair tetapi pengisiannya kosong dan tidak dapat membina akal budi manusia yang sebenar.

“Oleh itu, kita wajar memahami pengarang dan penulis boleh bermain dengan bahasa tetapi perlu menitikberatkan pengisian berilmiah, benar dan serius, sekali gus memberi impak kepada pembangunan masyarakat.

“Kita perlu menjaga dan mengekalkan tradisi ilmu ini walaupun berisiko untuk tidak menerima sambutan.

“Semua pihak daripada penulis dan penerbit hingga pembaca perlu memahami tradisi penting ini kerana jika tidak, sampai bila-bila pun tahap keilmuan tidak akan meningkat,” katanya.

Pengerusi Kafilah Buku, Muhammad Syukri Rosli. - Foto Mahzir Mat Isa
Pengerusi Kafilah Buku, Muhammad Syukri Rosli. - Foto Mahzir Mat Isa

Sementara itu, Pengerusi Kafilah Buku, Muhammad Syukri Rosli menelusuri sejarah penerbitan yang bermula sejak penerbitan karya Jawi sebagai akar tradisi penerbitan ilmiah Bahasa Melayu.

“Malangnya, melihat situasi penerbitan pada zaman kini, hubungan itu seakan-akan sudah terputus kerana mengikut peredaran zaman.

“Karya ilmiah dalam konteks alam Melayu tidak pernah sunyi dengan ulama dan sarjana hebat sentiasa meninggalkan karya penting buat umat manusia.

“Malah ia sudah pun bermula seawal abad ke-15, iaitu Sheikh Hamzah Fansuri yang terkenal dengan Syair Perahu hingga Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas.

“Mereka wajar dicontohi kerana nilai tradisi keilmuan dan kehalusan budaya mengangkat karya mereka sebagai karya paling terbaik, malah boleh dibandingkan karya luar negara,” katanya.

Pengasas Zain Book House, Mohd Zain Abdul Rahman. - Foto Mahzir Mat Isa
Pengasas Zain Book House, Mohd Zain Abdul Rahman. - Foto Mahzir Mat Isa

Dalam konteks praktikal yang bersifat semasa, Pengasas Zain Book House, Mohd Zain Abdul Rahman, berkata karya ilmiah turut dinilai melalui aspek luaran dan dalaman.

Mohd Zain berkata, aspek luaran akan dinilai melalui anatomi, sifat dan cara pencetakan buku yang turut memainkan peranan penting kerana kegagalan mencapai nilai itu boleh menyebabkan isi kandungan karya tidak dihiraukan.

“Aspek dalaman pula akan dinilai status karya merangkumi isu dibincangkan, gaya penulisan yang membabitkan penggunaan bahasa dan etika penulisan yang kejujuran dalam mengambil idea penulis lain dalam persembahan buku yang bakal diterbitkan,” katanya.

Ma‘dabah Ilmu bertujuan memperkenalkan sarjana dan karya ilmiah terbaru, sekali gus menjadi medan perkongsian idea serta muafakat antara pustakawan, pemain industri, peminat buku dan individu yang cintakan ilmu.

Berita Harian X