Khamis, 14 Februari 2019 | 2:30pm
Pembaca dapat mengesan persamaan dalam buku yang dibaca hingga menimbulkan tanda tanya mengenai unsur plagiat. Gambar hiasan. - Foto Hafiz Sohaimi
Saving April karya Sarah A Denzil

Penulis guna alasan sakit mental, nafi plagiat novel

TAHUN lalu, ketika mempromosi karya thriller sulungnya, The Woman in the Window, Dan Mallory memuji tradisi ajukan sastera: “Selalu disebut ‘penulis baik meminjam, pengarang hebat mencuri’,” katanya dalam wawancara dengan The Guardian yang meminjam frasa daripada TS Eliot.

Melihat kembali hal itu, pemilihan perkataannya bukan saja kejujuran yang sangat mengejutkan, bahkan mungkin membayangkan betapa dalam muslihatnya.

Mallory — yang baru-baru ini menjadi tumpuan dalam fokus pembongkaran The New Yorker yang memperincikan masa lalunya sebagai kaki bohong yang mengada-adakan penyakit berbahayanya dan mereka-reka sejarah keluarga yang tragik — mengakui plot novelnya yang menjadi terlaris di pasaran, terhutang budi kepada beberapa karya terkenal termasuk tulisan Alfred Hitchcock, Rear Window; Gillian Flynn (Gone Girl) dan thriller blockbuster Paula Hawkins, The Girl on the Train.


The Woman in the Window karya AJ Finn

The Woman in the Window juga mempunyai persamaan yang ketara dengan novel Sarah A Denzil, Saving April yang diterbitkan pada Mac 2016, beberapa bulan sebelum Mallory menjual karyanya kepada majikannya kini, William Morrow.

Persamaannya juga banyak dan terperinci. Kedua-dua novel menampilkan elemen padat dengan emosi bimbang, watak wanita pertengahan usia yang takut untuk meninggalkan rumah mereka dan menyaksikan sesuatu yang mencurigakan ketika mengintip jiran. Kisahnya juga memutarbalikkan plot yang hampir serupa pada adegan terakhir.

Plagiarisme dalam fiksyen sukar untuk dibuktikan dan jarang sekali membabitkan tuntutan hak cipta di mahkamah. Kebanyakan pakar harta intelek bersetuju plot dan idea tidak dilindungi hak cipta kerana banyak kekaburan dan pengarang sering mendapat inspirasi daripada karya terdahulu.

Dalam genre fiksyen, penerbit terdorong untuk mengulangi formula yang berjaya dengan terbabit dengan penyalinan selamat, selalunya secara aktif mencari satu lagi Gone Girl atau Fifty Shades of Grey.

Di Morrow, jurucakapnya berkata, novel Mallory dalam proses penerbitan sebelum Saving April diterbitkan dan garis besar The Woman in the Window termasuk watak dan plot utama sudahpun terbentuk sepenuhnya pada 20 September 2015, sebelum Saving April dipasarkan.

Bagaimanapun Mallory menolak daripada memberikan kenyataan.

Menjawab pendedahan The New Yorker, Mallory berkata, beliau mempunyai gangguan bipolar II yang menyebabkan depresi, pemikiran delusi, obsesi menakutkan dan masalah ingatan.

“Ia sangat menakutkan kerana kemurungan itu, saya melakukan, berkata atau percaya sesuatu yang pada waktu normal, tidak akan menyebut, membuat atau mempercayainya.

Dalam wawancara sebelum ini, Mallory berkata, beliau mula menulis The Woman in the Window pada musim panas 2015.

Beliau menjual buku itu kepada Morrow pada musim luruh 2016. Stephen King dan Flynn memberikan kata-kata blurb yang bersemangat dan adaptasi filem yang menampilkan Amy Adams dijadual untuk ditayangkan musim luruh ini. Edisi kulit biasa dirancang bulan depan dan Morrow bercadang untuk menerbitkan buku kedua bersama Mallory.

Persoalan melingkari Mallory dan karyanya berkemungkinan tidak akan mengubah perancangan untuk novel itu. (Ia dijual kira-kira 378,000 naskhah berdasarkan sumber NPD BookScan.)

Buku dengan plot yang serupa banyak dalam dunia fiksyen dan pendedahan The New Yorker tertumpu lebih kepada hubungan peribadi dan profesional Mallory daripada penulisannya.

Bagaimanapun, polemik bergerak pada garis yang kabur apabila berbincang mengenai ciplak dalam sastera dan penghormatan yang dibenarkan serta perubahan plot yang klise kepada penggunaan karya seni dan idea pengarang lain.

Sementara itu, Profesor Adjung Columbia Journalism School, Stuart Karle, berkata fiksyen hebat dibina atas karya sebelum ini sama ada dalam konteks bahasa dan perasaan di sesuatu tempat.

“Dalam fiksyen, ia lebih lebih diterima dan dijangka menjadi sebahagian daripadanya,” katanya.

Melainkan dalam kes yang membabitkan penyalinan bahasa yang sama tanpa kredit atau nama watak dan persamaan yang digunakan, tuntutan ciplak terhadap novelis sering tidak berjaya di mahkamah seperti JK Rowling dan Michael Crichton.

Dalam beberapa tahun ini, tuntutan hak cipta terhadap novelis terkenal ditolak selepas mahkamah mendapati bukti plagiarisme tidak cukup. Apabila bekas kekasih Emma Cline menyamannya dan mendakwa Cline mencuri elemen dalam novel sulungnya The Girls, mahkamah California menolak kes itu selepas hakim memutuskan perbandingan antara dua teks mendedahkan ‘sangat sedikit persamaan yang objektif tetapi tiada yang betul-betul ketara.’


The Art of Fielding karya Chad Harbach

Di New York, apabila Charles Green menyaman Chad Harbach, yang mendakwa novel Harbach, The Art of Fielding menyalin plot dalam buku bola keranjangnya, hakim menolak tuntutan itu dengan menegaskan ‘sebarang persamaan sama ada idea abstrak yang tidak memiliki hak cipta atau apabila difahami dalam konteksnya, tidak sama.’

Kes plagiat paling besar biasanya membabitkan bukan hanya meminjam plot atau idea tetapi ungkapan yang sangat hampir. Pada 2006, Little, Brown menarik balik novel remaja karya Kaavya Viswanathan selepas mendapati penulis itu menyalin tulisan pengarang, Megan McCafferty.

Baru-baru ini, penerbit Rhythm & Bones Press membatalkan kumpulan puisi sulung penyair, Ailey O’Toole selepas Rachel McKibbens penulis lain menuduh O’Toole menyalin puisi mereka.

Plagiarisme sering kali lebih jelas dalam bukan fiksyen tetapi ia juga kawasan kelabu. Pakar hak cipta selalu menegaskan idea dan fakta tidak termasuk dalam perlindungan harta intelek, tidak seperti penggunaan ketara bahasa dan ungkapan yang tepat, hingga plagiat lebih dikendalikan sebagai pelanggaran etika berbanding perundangan.


Merchants of Truth karya Jill Abramson

Bekas Editor Eksekutif The New York Times, Jill Abramson, baru-baru ini, berdepan dengan tuduhan beliau memplagiat beberapa petikan daripada buku baharunya, Merchants of Truth.

Beliau mengakui beberapa bahagian kurang disunting dan akan diperbaiki dalam edisi selepas ini tetapi mempertahankan karyanya secara kesluruhan dengan menegaskan “semua idea dalam buku ini asli, semua pendapat adalah milik saya.”

Malah dalam fiksyen, ada undang-undang hak cipta terdahulu yang menganggap meminjam elemen plot begitu meluas dan ketara hingga plagiarisme menjadi pelanggaran hak cipta.

Pakar harta intelek dari Harvard Law School, Rebecca Tushnet, berkata mahkamah berpendapat kemungkinan itu boleh menjadi pelanggaran tanpa pertindihan bahasa.

“Jika anda melakukan perkara sama dalam urutan serupa, mahkamah tidak akan sukar mencari sebarang pelanggaran,” katanya.

Tushnet berkata, persamaan plot antara novel Mallory dengan Saving April mungkin terlalu sedikit untuk menyokong tuntutan pelanggaran kerana sebahagian plot menunjukkan isu — seperti watak wanita yang tidak boleh dipercayai dan mangsa muda yang rupa-rupanya ialah pemangsa — menjadi elemen yang sering ditemui dalam thriller.

Namun, pertindihan itu sudah cukup untuk membuatkan pembaca tertanya-tanya.

Denzil, yang menetap di Yorkshire, England, mula menghasilkan Saving April pada Oktober 2015 dan menyelesaikan drafnya dalam tempoh lapan minggu. Apabila beliau menerbitkan novel itu pada Mac 2016, ia menerima banyak ulasan positif dan menjadi buku terlaris di Amazon di Amerika Syarikat (AS) serta Britain. Ia terjual lebih 120,000 naskhah dan mempunyai lebih 6,800 penilaian dalam Goodreads.

Bagaimanapun dua tahun kemudian, pengulas dalam talian mula perasan Saving April mempunyai banyak persamaan dengan The Woman in the Window karya AJ Finn, iaitu nama pena Mallory.

Dalam e-mel yang menjawab soalan daripada The Times, Denzil atau nama sebenarnya Sarah Dalton, berkata beliau terganggu dengan persamaan itu.

Apabila berbincang dengan beberapa rakan pengarangnya, beliau memutuskan untuk membiarkannya dan tidak pernah terfikir mengambil tindakan perundangan. Namun, Denzil berasa sebahagian pembaca mungkin membuat penilaian salah terhadap bukunya dan kecewa apabila ada pengulas dalam talian silap sangka bukunya diterbitkan selepas Mallory dan beliau meminjam beberapa elemen ceritanya.

Baru-baru ini, beberapa pengarang mempertahankan Denzil. Tidak berapa lama selepas artikel The New Yorker disiarkan, penulis, Kerry Wilkinson memuat naik status Twitter dengan mengaitkan ulasan online yang membandingkan dua buku itu dan menegaskan karya Denzil diterbitkan dahulu.

Novelis, Annie Bellet menyarankan kepada pembaca yang sangsi terhadap Mallory selepas membaca artikel The New Yorker, meninggalkan novel itu dan menawarkan alternatif: “Cuba Saving April yang mempunyai plot yang sangat hampir sama.” - NYT

Berita Harian X