Rabu, 2 Januari 2019 | 5:15pm
DARI kanan, Abdullah bersama Zaim, Rosli dan Dr Sharmiza ketika acara A Discussion on the Importance of Art in Our Life, Economy and Its Value di Galeri Prima, Kuala Lumpur, semalam.
DARI kanan, Abdullah bersama Zaim, Rosli dan Dr Sharmiza ketika acara A Discussion on the Importance of Art in Our Life, Economy and Its Value di Galeri Prima, Kuala Lumpur, semalam.

'Kembalikan dana beli karya seni'

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengembalikan pemberian dana kepada agensi berkaitan bertujuan membiayai pembelian karya seni seniman tanah air untuk mengelakkannya ‘mengalir’ ke luar negara dengan banyak.

Pelukis dan penyair, Abdullah Jones, berkata sebelum ini agensi seperti Balai Seni Negara (BSN) menerima dana hingga RM2 juta setahun bagi pembelian karya terpilih oleh pelukis tanah air tetapi dihentikan sejak beberapa tahun lalu.

Peluang itu katanya, diambil pembeli dan pengumpul seni luar negara termasuk galeri besar dari negara jiran yang kini giat membeli lebih banyak karya penting oleh pelukis tanah air sejak hampir sedekad lalu.

Perkembangan itu menurut Abdullah bukanlah sesuatu yang baik untuk industri seni negara, malah dalam masa panjang tidak mustahil akan memberi kesan kepada usaha menjadikan karya seni itu sebagai sebahagian daripada khazanah penting negara.

Tambah memburukkan keadaan, Malaysia juga tidak ramai ramai kelompok pembeli asli yang mendapatkan sesuatu karya itu kerana benar-benar menghargainya.

Kebanyakan mereka adalah dalam kalangan yang mahu memperoleh keuntungan besar dengan menjual semula lukisan itu pada harga lebih tinggi ataupun spekulator.

“Masalahnya pada pihak kita ialah kerajaan dan agensinya kini tidak lagi mempunyai dana untuk membeli lukisan justeru kesempatan itu dimanfaatkan pengumpul serta galeri negara luar.

Simpan untuk masa depan

“Kerajaan perlu serius memikirkan mekanisme yang sepatutnya diambil bagi memastikan adanya kawalan membabitkan penjualan karya pelukis tanah air supaya kita mempunyai sesuatu untuk disimpan pada masa depan,” katanya selepas ditemui pada acara A Discussion on the Importance of Art in Our Life, Economy and Its Value di Galeri Prima, di sini.

Acara kendalian Dr Sharmiza Abu Hassan itu turut disertai Pensyarah Kanan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Melaka, Dr Rosli Zakaria dan Pensyarah Universiti Selangor (UNISEL), Zaim Durulaman.

Menurut Abdullah, kerajaan hari ini perlu bergerak lebih pantas dengan menunjukkan keutamaan bagi menangani isu berkaitan usaha memelihara khazanah negara melalui karya berbentuk seni catan.

“Namun, apa yang saya lihat kini, pendekatan yang digunakan tidak banyak berbeza dengan kerajaan terdahulu malah Belanjawan 2019 baru-baru ini tidak sedikitpun memberi perhatian kepada seni lukis.

“Apabila karya ini sudah dibeli oleh negara luar, bukan mudah untuk kita mendapatkannya kembali malah jika mereka bersetuju menjualnya semula sekalipun, nilainya tentulah berganda kali tinggi daripada asal,” katanya.

Sementara itu, Rosli menyeru supaya berlaku perubahan pemikiran yang melihat seni hanya untuk orang seni sahaja.

Katanya, kepungan pemikiran yang sedemikian akan menggagalkan usaha untuk memasyarakatkan seni, sekali gus membolehkan semua peringkat masyarakat menerima manfaat daripadanya.

“Di Indonesia, sudah berlangsung usaha untuk memasyarakatkan seni malah yang menariknya ia turut didukung oleh kerajaan.

“Mereka giat menyebar luas ilmu seni di sana kerana melihat ia sebagai sesuatu yang dapat membantu masyarakat menjana pendapatan,” katanya.

Berita Harian X