Selasa, 1 Januari 2019 | 5:07pm
Pembaca dan pembeli buku akan mempunyai lebih banyak pilihan buku dan lebih murah apabila ribuan karya klasik jadi milik awam. Gambar hiasan. - Foto Mahzir Mat Isa

Hak awam jadikan buku lebih banyak, murah

NEW YORK: Dengan ribuan karya klasik jadi milik awam, pembaca dan pembeli buku akan mempunyai lebih banyak pilihan buku dan lebih murah ekoran persaingan penerbit menerbitkan pelbagai teks serta edisi.

Pada tahun ini, penerbit digital, Open Road Media, menerbitkan lebih 10 karya dari 1923 termasuk e-buku Jean Toomer, iaitu Cane; Gibran (The Prophet); Sigmund Freud (The Ego and the Id); Wodehouse (The Inimitable Jeeves) dan Christie (The Murder on the Links).

Penerbit karya warisan juga berusaha menghasilkan karya baharu. Penguin Classics menerbitkan edisi baharu, Cane, The Prophet dan The Prisoner (Proust), manakala Vintage Classics menghasilkan edisi baharu karya Frost, New Hampshire - turut mengandungi seni kayu serta puisinya paling terkenal termasuk Stopping by Woods on a Snowy Evening, karya Dorothy Sayer (Whose Body?) dan tiga edisi baharu novel Christie.

Dalam menjangkakan gelombang edisi baharu Fitzgerald, The Great Gatsby apabila hak ciptanya berakhir pada 2021, waris Fitzgerald dan penerbitnya, Scribner menerbitkan edisi baharu novel pada April ini dengan harapan untuk meletakkannya sebagai versi muktamad.

The Great Gatsby sudah dijual sekitar 30 juta naskhah di seluruh dunia dengan 500,000 salinan dibeli di AS sahaja. Namun dalam dua tahun, sesiapa sahaja yang memiliki komputer riba akan dapat menerbitkan e-buku atau menjual fiksyen peminat yang berdasarkan karya asal.

Cicit Fitzgerald yang juga pemegang amanah dalam kalangan waris, Blake Hazard, berharap interpretasi baharu yang menarik diharap akan muncul.


Pembaca dan pembeli buku akan mempunyai lebih banyak pilihan buku dan lebih murah apabila ribuan karya klasik jadi milik awam. Gambar hiasan. - Foto Mahzir Mat Isa

Namun, beliau juga khuatir apa yang mungkin akan berlaku kepada legasi novel apabila edisi di luar jangka dan baharu muncul termasuk novel sekuel yang tidak mendapat kebenaran atau diceritakan melalui perspektif Daisy Buchanan.

Bagaimanapun penerbit yang berkepakaran dalam karya klasik melihat ia peluang besar untuk memperkenalkan kembali karya lama. Sebahagiannya sudah merancang sedekad lalu untuk saat seperti ini.

Bulan ini, Penguin Classics akan memasarkan 20,000 edisi The Prophet dengan pengenalan baharu oleh Kaur, iaitu penyair muda Kanada yang ramai pengikut media sosial, sekali gus membantunya dalam membina peminat karyanya.

Editor Eksekutif Penguin Classics, John Siciliano, berkata pihaknya berharap ia akan menarik khalayak baharu kepada kepada Gibran.

“Memiliki pelbagai edisi karya dan memperbaharui kuasa penerbitan di sebalik mereka akan memperbesarkan pasaran dan bukannya membunuhnya,” katanya.

“Ia memberi peluang untuk menghembuskan kehidupan baharu kepada karya ini,” katanya. - NYT

Berita Harian X