Khamis, 15 November 2018 | 2:35pm
ZAINAL Palit atau lebih dikenali sebagai Zaen Kasturi. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Puisi jangan terkepung politik

KUALA LUMPUR: Di sebalik bercambahnya perbincangan mengenai bentuk puisi masa kini, masih banyak persoalan dalam seni sastera itu yang perlu diterokai selepas pemerintahan lama selama enam dekad berakhir.

Bagaimanapun ketika sebahagian pihak optimis terhadap era politik baharu yang dianggap membawa ruang lebih besar kepada penyair untuk tampil dengan karya lebih menggugah, penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2010, Zainal Palit menimbulkan soal ‘layanan’ terhadap puisi dan bahasa Melayu itu sendiri.

Kerisauan itu digambarkan Zainal atau lebih dikenali sebagai Zaen Kasturi melalui ungkapan negarawan, pemikir, sasterawan dan penyair Urdu, Sir Muhammad Iqbal yang menyebut ‘puisi atau bahasa lahir di tangan penyair tetapi mati di tangan politikus.’

Justeru, Zaen Kasturi berharap puisi dalam konteks politik baharu tidak hanya tertumpu kepada peranannya saja yang sebenarnya sudah berlangsung lama sebelum merdeka lagi kerana puisi sudah pun menjadi unsur penting dalam menghidupkan bara semangat warganya.

“Puisi akan tetap mengalir dan memiliki ‘wajahnya’ sendiri, tidak kira ia dilanda gelombang apa sekalipun, sama ada ia diterima atau tidak, puisi itu akan tetap berdiri.

“Kita perlu melihat bagaimana layanan terhadap puisi itu berlangsung dalam era politik baharu kini dan saya berharap apa yang dikatakan Iqbal itu tidak akan terjadi di negara ini.

“Saya tidak mengatakan setiap ahli politik akan mematikan bahasa tetapi itulah cabaran utama yang perlu kita hadapi sebenarnya,” katanya pada Diskusi Seni: Puisi Dalam Politik Baru di Rumah Seni Selangor (RUsSEL) di sini.

Sesi Pesta Tinta kendalian editor dan pengarang, Ainunl Muaiyanah Sulaiman itu turut disertai penyair terkenal Indonesia yang juga penerima SEA Write 2014, Joko Pinurbo.

Zaen Kasturi berkata, sama ada menulis mengenai hal politik atau agama, puisi tidak boleh terjerat dengan sebarang perubahan atau gelombang di sekelilingnya.

Beliau berkata, puisi perlu memiliki autoriti termasuklah dalam ketibaan era politik baharu seperti yang disaksikan sekarang.

Bahasa katanya, adalah segala-galanya dalam puisi. Selain diisi dengan metafora, ia juga perlu ‘menjadi’ milik penyair itu sendiri seperti ditunjukkan ramai penyair hebat tanah air.

“Dr Siti Zainon Ismail misalnya sentiasa tampil dengan nuansa Nusantaranya, manakala A Latiff Mohidin pula dengan imej alamnya dan begitu juga dengan T Alias Taib yang tampil tersendiri.

“Walaupun bahasa puisi mereka ringkas, ia sangat menikam. Pada saya semudah bagaimanapun sesuatu puisi itu, unsur metafora di dalamnya adalah sangat penting,” katanya.

Sementara itu, Joko pula mengatakan ‘ya dan tidak’ bagi menjawab soalan sama ada penyair Indonesia responsif kepada isu semasa yang berlaku di negara itu.

Joko berkata, puisi tidak harus terkepung disebabkan politik sebaliknya perlu memiliki idea dan cara sendiri untuk meluahkan renungan kemanusiaannya.

Sebagai perbandingan, Joko menyebut dua nama penyair besar Indonesia yang menurutnya mengambil pendekatan berbeza ketika menggunakan bahasa dalam karya mereka.

WS Rendra kata Joko, adalah penyair yang bersikap terbuka yang menjurus kepada radikal dalam menghadapi kekuasaan tetapi berbeza pula dengan pendekatan yang diambil Sapardi Djoko Damano.

“Sapardi menulis kumpulan puisi, Dukamu Abadi sekitar tahun 1970-an, iaitu selepas berlakunya Tragedi 65’ tetapi ekspresi beliau sangat emosional dan senyap. Sapardi jujur dan tidak bertindak balas kepada politik dengan cara politik juga.

“Kita tentunya boleh membicarakan hal politik tetapi bukan dengan menggunakan retorika politik,” katanya.

Menurut Joko, hal yang paling besar bagi seseorang pengarang ialah menunjukkan identiti atau karakter yang kuat dalam ekspresi bahasanya.

“Menyedihkan jika cara penyair dan pengarang berbahasa adalah cara yang diadaptasi dari gaya berbahasa ahli politik hingga akhirnya kita bukan saja mengkritik mereka malah memproduksi cara mereka,” katanya.

Berita Harian X