Selasa, 13 November 2018 | 8:21pm
SASTERAWAN Negara, Datuk Dr Anwar Ridhwan. - Foto Faiz Anuar

Rugi tidak bincang karya Anwar menyeluruh

“SAYA berdebar-debar juga sewaktu menanti keputusan sayembara novel Hadiah Sako pada tahun 2011.

“Ini kerana saya sudah dinobat sebagai Sasterawan Negara (SN) pada 2009 sedangkan penyertaan untuk sayembara itu sudah dihantar lebih awal cuma pengumuman pemenang sahaja agak lewat.

“Saya terfikir, bagaimana kalau karya saya tidak menang?” kongsi SN Datuk Dr Anwar Ridhwan dalam Wacana Ketokohan & Kepengarangan Sasterawan Negara di Institut Darul Ehsan di sini.

Bagaimanapun beliau sangat bersyukur apabila naskhah yang dihantar untuk Hadiah Sako 2011 itu, Penyeberang Sempadan memenangi tempat pertama seterusnya memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2012.

Perkongsian itu ternyata sangat menarik kerana Anwar sejak awal pembabitan dalam dunia penulisan hanya menghasilkan empat novel.

Karya sulungnya ialah Hari-hari Terakhir Seorang Seniman yang ditulis pada 1979 dan memenangi Hadiah Pertama Peraduan Mengarang Novel anjuran Yayasan Sabah – GAPENA II.

Arus, novel kedua yang menyusul enam tahun kemudian memenangi Hadiah Sastera Malaysia (HSM) 1984/85 seterusnya Naratif Ogonshoto memenangi HSPM 2000/2001, Penyeberang Sempadan dan sebuah novelet Di Negeri Belalang yang terbit pada 1985.

Bagaimanapun tidak semua karya beliau dapat dikupas pada majlis yang menampilkan dua panel iaitu, Prof Arbak Othman dan Ketua Akademi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Saifullizan Yahaya dan dimudahcarakan oleh Mohamad Nasser Mohamad.

Malah tidak ada juga kesimpulan dibincangkan untuk empat novel itu, sebaliknya panel memilih hanya sebuah novel sahaja, Arus untuk diperkatakan.

Ini boleh dianggap merugikan apatah lagi dalam acara khas yang mengupas perihal ketokohan dan kepengarangan SN. Mungkin yang lebih baik adalah melihat keseluruhan perjalanan kreatif beliau atau mungkin menyorot satu genre dengan perspektif luas.

Begitu juga apabila panel memilih hanya satu daripada kumpulan puisi beliau, iaitu Tercipta Dari Tanya untuk dikupas yang keadaan ini sangat mengehadkan perbincangan.

Namun, hal itu tidak pula mencacatkan majlis apatah lagi dengan kedudukan Arus pada zaman ia dilahirkan dianggap sebagai karya yang kuat.

Arus menceritakan pawang buaya, Pawang Kri yang dipinggirkan oleh penduduk kampung dan dianggap sebagai kafir.

Saifullizan dalam perkongsiannya menyebut Arus mampu berkongsi kemenangan dengan novel Daerah Zeni tulisan SN Datuk Seri A Samad Said untuk HSM 1984/85 bagi kategori novel disebabkan dominasi plot dan gaya bahasa yang sangat menyerlah.

“Dalam Arus, pemburuan buaya bukan sekadar makna harfiah tetapi mendukung pelbagai makna lain yang menguatkan naskhah ini,” katanya.

Meskipun dikenali sebagai pengarang naratif yang baik, Anwar ternyata mampu menghasilkan puisi yang baik.

Hal itu dikongsi oleh Prof Arbak yang menyifatkan meskipun terdapat keanehan dari segi makna bahasa dalam puisi beliau, namun itulah hal yang menggesa pembaca berfikir.

“Misalnya dalam puisi Mutiara dalam Mutiara, ada keanehan yang membawa pengertian kebenaran pada aras interpretasi.

“Namun dari sudut keindahan, kaedah itu yang digunakan Anwar untuk menyampaikan nilai ajaran Islam,” katanya.

Berita Harian X