Rabu, 17 Oktober 2018 | 1:00pm
Penulis , Anna Burns pemenang anugerah sastera berprestij di Britain, Hadiah Man Booker untuk Fiksyen untuk novelnya, 'Milkman' selepas pengumuman di Guildhall di London, Britain. - Foto EPA

Novel tiga dekad keganasan dinobat Hadiah Booker

LONDON: Pengarang, Anna Burns dinobatkan sebagai penulis Ireland Utara pertama memenangi anugerah sastera berprestij di Britain, Hadiah Man Booker, sekali gus menjadi wanita pertama merangkulnya sejak 2013.

Juri anugerah tahunan itu memuji karyanya yang menyelongkar tiga dekad keganasan keganasan akibat perbezaan sektarian yang dikenali sebagai The Troubles melalui suara wanita muda yang disifatkan benar-benar unik.

“Tiada seorang pun daripada kami yang pernah membaca karya seperti ini sebelumnya.

“Watak Anna Burns menjadi suara unik yang mencabar pemikiran konvensional dan membentuk prosa yang mengejutkan serta mendalam,” kata Pengerusi Juri Hadiah Man Booker 2018, Kwame Anthony Appiah.

Pengarang berusia 56 itu memberitahu wartawan selepas acara penganugerahan di sini, bahawa beliau ‘betul-betul terkejut’ kerana menerima hadiah sastera berbahasa Inggeris yang paling berprestij berkenaan.

“Saya sebenarnya hanya menunggu watak untuk datang dan berkongsi kisah mereka serta tidak dapat menulisnya hinggalah mereka berbuat demikian,” katanya.

Burns menewaskan novelis muda Inggeris, Daisy Johnson – pada usia 27, menjadikannya sebagai penulis termuda yang pernah disenarai pendek untuk Man Booker – untuk novelnya, Everything Under.

Beliau turut mengalahkan calon kegemaran ramai, Richard Powers, yang disebut-sebut bakal meneruskan kemenangan tiga kali berturut-turut untuk penulis Amerika Syarikta (AS) lewat novel, The Overstory.

Burns yang idlahirkan di ibu kota Ireland Utara, Belfast pada 1962 dan kini menetap di selatan England, sebelum ini menghasilkan dua novel, No Bones dan Little Constructions – serta disenarai pendek untuk Hadiah Fiksyen Orange 2002.

Meskipun berlatarkan kota yang tidak dinamakan, Milkman tidak dinafikan berasal daripada pengalamannya membesar di wilayah British pada era yang dipanggil Troubles.

Novel itu menceritakan perjuangan saudara tengah dalam keluarga yang terpaksa menghadapi khabar angin, tekanan sosial dan politik di tengah-tengah keganasan sektarian dalam masyarakatnya.

“Terdapat banyak perkara yang hebat dalam buku ini, tekstur bahasa ditulis dalam suara yang mengagumkan. Ia novel yang sangat kuat,” kata Appiah.

Appiah berkata, panel lima juri mencapai keputusan sebulat suara selepas mengadakan perbincangan yang baik.

Beliau menambah meskipun novel itu memperkatakan banyak isu termasuk isu gender yang dibangkitkan oleh gerakan #MeToo, jantina tidak memainkan peranan dalam pemilihan mereka.

“Novel ini akan membantu masyarakat untuk berfikir mengenai #MeToo tetapi kami fikir ia akan menjadi karya yang terus hidup, iaitu ia bukan hanya disebabkan sesuatu perkara yang berlaku pada masa ini,” katanya.

Dilancarkan pada 1969, Hadiah Man Booker pada awalnya hanya terbuka kepada novelis daripada negara Komanwel sebelum syarat kewarganegaraanya dibuka kepada semua pengarang yang menulis dalam bahasa Inggeris dan diterbitkan di United Kingdom (UK) serta Ireland pada 2014.

Burns menjadi pengarang British pertama yang memenangi hadiah itu sejak perubahan berkenaan.

Senarai pendek pada tahun ini – dikecilkan daripada 13 – menampilkan empat pengarang wanita dan dua penulis lelaki.

Senarai itu mengandungi tiga pengarang British; dua penulis AS dan seorang warga Kanada, Esi Edugyan yang menghasilkan Washington Black, novel mengenai hamba abdi berusia 11 tahun di ladang tebu Barbados.

Penyair Scotland, Robin Robertson tampil dengan The Long Take yang menjadi buku pertama dalam bentuk prosa dan gambar yang disenarai pendek.

Pengarang AS, Rachel Kushner turut menjadi antara finalis melalui The Mars Room, iaitu kisah berdasarkan perspektif bekas penari yang menjalani dua hukuman penjara seumur hidup di penjara wanita AS.

Pemenang Hadiah Man Booker Prize menerima hadiah wang tunai £52,500 (RM287,000) tetapi ganjaran besar yang lebih lumayan adalah peningkatan jualan yang biasanya pasti berlaku.

Jualan hadiah pemenang tahun lalu, Lincoln in the Bardo, melonjak 1,227 peratus dalam tempoh seminggu selepas pengarangnya, George Saunders meraih anugerah itu dengan hampir tiga perempat jualan mengekori kemenangan, berdasarkan penganjur hadiah. - AFP

Berita Harian X