Rabu, 17 Oktober 2018 | 11:45am
DARI kiri, Siti Zainon, Mohamad Saleeh, Mohamed Ghazali dan Jasni pada Sembang Sastera di White Box,
DARI kiri, Siti Zainon, Mohamad Saleeh, Mohamed Ghazali dan Jasni pada Sembang Sastera di White Box,

Sastera Malaysia tak dipeduli

SESI Sembang Sastera: Pengalaman dan Cabaran Era Perbukuan Kini yang menemukan tiga panel Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 1989, 2013 dan 2015, iaitu Dr Siti Zainon Ismail, Mohamed Ghazali Abdul Rashid dan Datuk Jasni Matlani boleh disimpulkan dengan satu kenyataan: ‘sastera kebangsaan itu meskipun kehadirannya disedari tetapi kurang dipeduli.’

Pada acara yang diadakan bersempena festival sastera, Cooler Lumpur bertempat di White Box, Publika yang dikendalikan Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad itu, Siti Zainon menegaskan senario berkenaan perlu ditangani.

Malah beliau turut merujuk sesi itu sendiri yang diadakan untuk mengisi slot Cooler Lumpur tetapi diadakan pada hari bekerja yang menyaksikan sambutannya sangat kurang terutama dalam kalangan generasi muda.

“Apakah perjuangan penulis? Setelah 40 tahun kita seperti berada dalam kelompok kita sendiri,” soalnya.

Tegas Siti Zainon, sastera kebangsaan berhadapan dengan pelbagai persoalan bermula dari segi hubungan penulis dengan penerbit dan royalti, malah pemasaran buku itu sendiri.

“Dahulu, penerbit tidak ghairah untuk mempromosi buku kerana pada perkiraan mereka yang popular nanti adalah penulis bukan penerbit.

“Meskipun hal itu mungkin tidak lagi berlaku sekarang, ada penulis yang masih lagi berhadapan dengan isu royalti malah tidak semua penerbit menyediakan kontrak penerbitan,” katanya.

Soal Siti Zainon, di manakah sebenarnya kedudukan sastera di negara ini, jika sebahagian daripadanya dalam naungan Kementerian Pendidikan dan sebahagian lagi dalam bidang kuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC)?

Isu yang diutarakan Siti Zainon ternyata benar kerana untuk memajukan sastera Malaysia, hal yang paling utama adalah untuk mempunyai badan yang boleh mengurus sastera dan aktiviti berkaitannya.

Apa yang berlaku ketika ini adalah aktiviti perbukuan diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan menerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), manakala aktiviti sastera bukan buku dilihat sebagai entiti budaya yang diletakkan di bawah MOTAC.

Hal ini perlu diberikan perhatian kerana meskipun di bawah Kementerian Pendidikan, skop pentadbiran kementerian itu yang sangat luas menjadikan DBP dan ITBM juga Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) adalah bahagian kecil sahaja.

Sementara di MOTAC, sastera ditenggelamkan dengan acara kebudayaan yang lain yang lebih intim dengan seni persembahan misalnya tarian atau konsert. Malah dalam acara tertentu, golongan artis lebih di hadapan, manakala kelompok penulis tidak terlihat. Hal itu bertambah parah apabila segmen kebudayaan sendiri ditenggelamkan pula oleh pelancongan.

Malah ia boleh dibuktikan ketika Pakatan Harapan (PH) mula mentadbir negara, penyanyi Datuk Siti Nur Haliza dipanggil untuk memberi input mengenai perkembangan seni negara, Pengerusi Pusaka, Eddin Khoo, iaitu pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Namun, tiada pun figura yang boleh dianggap mewakili suara penulis dan pengarang sastera kebangsaan.

Hal ini berlainan dengan seni halus yang lebih diraikan oleh MOTAC misalnya dengan penganjuran KL Biennalle.

Bagi Mohamad Saleeh, senario yang berlaku sekarang pernah disuarakan tidak lama dahulu dengan pelan cadangan menubuhkan Majlis Sastera Negara, namun cadangan itu tidak mendapat sokongan.

Justeru dengan keadaan yang berlaku hari ini, sedikit sebanyak menunjukkan sastera kebangsaan meskipun kehadirannya disedari tetapi kurang dipeduli.

Berita Harian X