Jumaat, 21 September 2018 | 4:10pm
BUKU yang disenarai pendek untuk Man Booker Prize 2018 di London, Britain. - Foto EPA

Enam novel 'ajaib' finalis Hadiah Man Booker

LONDON: Dua novel sulung termasuk sebuah prosa bergaya puisi disifatkan sebagai antara ‘ciptaan stilistik ajaib’ yang disenarai pendek dalam Hadiah Man Booker 2018.

Novel The Long Take karya penyair, Robin Robertson yang sering disebut sebagai hasil yang menampilkan suara dan bentuk unik sastera, menjadi buku pertama dalam rangkap puisi berada dalam senarai pendek merebut hadiah berprestij itu.

Ia mengisahkan veteran perang dunia kedua yang menderita gangguan kecelaruan pasca-trauma dan gagal kembali ke pedalaman Nova Scotia hingga terpaksa mencari perlindungan di bandar di Amerika Syarikat (AS).

Panel hakim turut memuji Daisy Johnson berusia 27 tahun yang disifatkan berjaya menghasilkan variasi moden Oeudipus tulisan Sophocles melalui karyanya, Everything Under.

Johnson yang juga penulis paling muda pernah berada dalam senarai pendek Hadiah Man Booker, menulis mengenai memori kanak-kanak ahli leksikografi yang membesar di dalam bot bersama ibunya yang sudah tidak ditemuinya sejak usia 16 tahun tetapi dipaksa untuk kembali menghadapi masa lalu.

Sementara itu, Ketua Juri Hadiah Man Booker, Kwame Anthony Appiah, berkata semua enam karya yang berada dalam senarai pendek bagi hadiah berprestij itu menonjolkan bahasa sebagai tumpuan utama.

Persaingan merebut Hadiah Man Booker 2018 kali ini berlangsung antara empat pengarang wanita dan dua penulis lelaki, manakala Esi Edugyan, menjadi satu-satunya pengarang dari Kanada yang melengkapkan senarai yang dikuasai penulis Britain serta AS.

Edugyan yang juga menjadi satu-satunya penulis yang pernah berada dalam senarai pendek Hadiah Man Booker sebelum ini, tercalon melalui novel terbarunya, Washington Black mengenai kisah pembebasan seorang remaja berusia 18 tahun daripada perhambaan kanak-kanak di sebuah perladangan di Barbados.

Richard Powers pula melalui karyanya, The Overstory yang disifatkan juri, Leanne Shapton sebagai ‘epik eko’ bagi tahun atau mungkin dekad ini, turut berada dalam senarai itu, selain Rachel Kushner melalui The Mars Room dan Anna Burns (Milkman).

Appiah yang mengetuai panel lima juri itu berkata, setiap novel meneroka anatomi kepedihan tetapi dalam masa sama masa menampilkan harapan.

Hadiah Man Booker ialah anugerah kesusasteraan Inggeris paling berprestij dengan pemenangnya bukan saja dijamin peningkatan jualan naskhah di seluruh dunia, bahkan bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM263,412 (£50,000).

Pengumuman pemenang Hadiah Man Booker 2018 akan berlangsung 16 Oktober ini.


epa07034264 Nominated books are seen at a photocall for the shortlist for the Man Booker Prize 2018 in London, Britain, 20 September 2018. The shortlist comprises Milkman by Anna Burns, Washington Black by Esi Edugyan, Everything Under by Daisy Johnson, The Mars Room by Rachel Kushner, The Overstory by Richard Powers and The Long Take by Robin Robertson. EPA/NEIL HALL

INFO

Senarai pendek Hadiah Man Booker 2018

1. Milkman karya Anna Burns (Britain)

2. Washington Black karya Esi Edugyan (Kanada)

3. Everything Under karya Daisy Johnson (Britain)

4. The Mars Room karya Rachel Kushner (Amerika Syarikat)

5. The Overstory karya Richard Powers (Amerika Syarikat)

6. The Long Take karya Robin Robertson (Britain)

Berita Harian X