Sabtu, 15 September 2018 | 10:50am
ALTAR yang ditemui di tapak arkeologi di utara Guatemala mempunyai persamaan dengan drama televisyen bersiri popular, Game of Thrones.

Altar tamadun Maya serupa muslihat Game of Thrones

GUATEMALA CITY: Altar atau tempat penyembahan korban tamadun Maya Kuno berusia 1,500 tahun yang ditemui di tapak arkeologi di utara Guatemala mempunyai persamaan dengan drama televisyen bersiri popular, Game of Thrones.

Perbandingan itu dibuat berdasarkan gambaran strategi dan muslihat politik dinasti Kaanul yang bertujuan memastikan seluruh kota berada di bawah kawalannya.

Pengarah bersama ekskavasi dan penyiasatan, Tomas Barrientos, berkata altar yang diukir daripada batu kapur dan seberat satu tan itu, ditemui di tapak arkeologi La Corona di kawasan hutan yang berhampiran dengan sempadan Mexico dan Belize.

Barrientos berkata, altar itu ditemui di kuil dan menunjukkan pemimpin La Corona, Raja Chak Took Ich’aak, duduk sambil memegang tongkat yang melambangkan dua dewa pelindung kota.

Berdasarkan penyelidikan, objek 1.46 meter dan setebal 1.2 meter itu mengandungi inskripsi hieroglif Maya yang sepadan dengan tarikh 12 Mei 544.

Penemuan sebelum ini, memudahkan penyelidik untuk menentukan Raja Chak Took Ich’aak turut menguasai kota berhampiran, El Peru-Waka kira-kira 20 tahun kemudian.

Barrientos berkata, bukti itu menunjukkan dinasti Kaanul atau Kerajaan Serpent, membentuk gerakan politik di La Corona yang menyebabkan mereka berjaya menewaskan ‘musuh utama’ mereka, Tikal pada 562 dan selepas itu memerintah kawasan tanah rendah Maya di tenggara Mesoamerica selama dua abad.

Gerakan politik itu berasaskan persekutuan dengan kota kecil yang berada di sekeliling Tikal menjelang gempuran kemenangan terakhir.

Selain pendedahan itu, Barrientos berkata, penyelidik juga menemukan perincian perkahwinan antara puteri daripada Kerajaan Serpent dan Raja La Corona.

“Altar ini menunjukkan sebahagian sejarah Guatemala dan dalam kes ini, sekitar 1,500 tahun lalu yang boleh saya gelarkan sebagai sejarah Maya versi Game of Thrones,” katanya yang membandingkan siasat politik Kerajaan Kaanul dengan persaingan keluarga bangsawan dalam Game of Thrones untuk menguasai tujuh kerajaan.

Barrientos berkata, altar itu mengisi lompang dan menyesuaikan teka-teki hubungan politik dalam budaya Maya.

“Ia hasil seni yang berkualiti tinggi yang menunjukkan pemerintahnya memasuki period kekuasaan agung dan bersekutu dengan pihak lain untuk bersaing, dalam kesi ini, dengan Tikal,” katanya.

La Corona ialah tempat yang menyaksikan gerakan politik yang sangat penting dalam sejarah Maya mula mengambil bentuk.

Kerajaan Serpent berkembang daripada ibu kotanya, Dzibanche hingga wilayah yang pada masa ini dikenali sebagai utara Guatemala, Belize dan Campeche di Mexico tetapi akhirnya ditewaskan oleh Tikal.

“Mempunyai maklumat apa yang berlaku kemudian dan bagaimana mereka menyusun strategi politik, mengajar kita mengenai politik pada masa itu dan persaingan merebut kawasan,” katanya.

Cari gali dan penyiasatan di Hutan Rizab Biosfera Maya yang terletaknya La Corona sebenarnya berbahaya.

Wilayah itu sering menerima ancaman penjarahan, pencerobohan dan serangan oleh kumpulan penjenayah, pengedar dadah dan peladang haram yang dituduh oleh kelompok pencinta alam sekitar serta pihak berkuasa sebagai pihak yang memulakan kebakaran hutan yang memusnahkan monumen pra-Columbia.

Timbalan Menteri Kebudayaan, Gladys Palala, memberitahu AFP bahawa pihak berkuasa cuba mengatasi pencerobohan kumpulan penjenayah dengan mengepung Peten, iaitu kawasan yang banyak mengandungi ‘sisa arkeologi.’

“Ke mana saja anda pergi dan cari gali, anda akan menemukan sesuatu. Ini kawasan arkeologi,” katanya.

Kebudayaan Maya mencapai kemuncak kegemilangan pada zaman klasikal daripada 250 hingga 900 sebelum merosot dalam tempoh 300 tahun kemudian.

Berita Harian X