Khamis, 13 September 2018 | 2:25pm
MOHD Nazri (tiga dari kiri) menerima sehelai baju daripada Mohamad Saleeh Rahamad (dua dari kanan) pada Malam Baca Puisi PENA - ITBM - DBP di Rumah PENA, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad
MOHD Nazri (tiga dari kiri) menerima sehelai baju daripada Mohamad Saleeh Rahamad (dua dari kanan) pada Malam Baca Puisi PENA - ITBM - DBP di Rumah PENA, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

Penulis dan Malaysia Baharu

KUALA LUMPUR: Zaman berubah dan pemimpin bersilih ganti, tetapi peranan penulis dalam menyampaikan ilmu demi membina peradaban bangsa kekal dan tidak akan sesekali berubah.

Setiausaha Politik kepada Menteri Luar Negeri, Mohd Nazri Noh, berkata peranan penulis hari ini merentas zaman dan lebih penting lagi dalam saat menghadapi perubahan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.

Beliau berkata, pasca 9 Mei menjadi satu saat penting bagi melihat penulis tanah air memainkan peranan signifikan dalam menyampaikan aspirasi rakyat kepada kerajaan Malaysia hari ini.

“Pertama kali dalam sejarah negara apabila pemerintahan kerajaan bertukar selepas 60 tahun.

“Saya lihat penghasilan karya sastera, rencana dan kritikan akan membolehkan penulis menjadi pengimbang serta melakukan check and balance (semak dan imbang) terhadap apa dilakukan kerajaan demi membina negara.

“Pengucapan puisi politik dalam acara Malam Baca Puisi misalnya memperlihatkan bagaimana karya sastera berupaya menitipkan pesanan dan nasihat yang boleh dihayati bagi memastikan tadbir urus yang baik oleh kerajaan dapat dilaksanakan,” katanya selepas perasmian Malam Baca Puisi anjuran Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Rumah Pena, di sini.

MOHAMAD Saleeh Rahamad membuat persembahan membaca puisi pada Malam Baca Puisi PENA - ITBM - DBP di Rumah PENA, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad
MOHAMAD Saleeh Rahamad membuat persembahan membaca puisi pada Malam Baca Puisi PENA - ITBM - DBP di Rumah PENA, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

Yang turut hadir, Presiden PENA, Dr Mohamad Saleeh Rahamad; Pengarah Urusan ITBM, Mohd Khair Ngadiron dan Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, Dr Mohd Hanafi Ibrahim.

Malam Baca Puisi bertemakan ‘Kalau Kata Itu Kota, Kita Bina Tamadun Bangsa’ diadakan seiring sambutan Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun. Mohd Nazri turut memuji usaha PENA, ITBM dan DBP yang terus tekad mempertahankan penganjuran acara puisi itu selepas dua dekad penganjurannya.

“Kita percaya bahasa itu jiwa bangsa dan di dalamnya terdapat pelbagai siratan melalui karya yang boleh diterjemahkan dan usaha ini perlu diberi perhatian dan dukungan oleh kerajaan bagi memastikan acara sebegini dapat terus disuburkan,” katanya.

Selain Mohd Nazri yang sempat mendeklamasikan puisi Stanza Puisiku Malaysia Berdaulat, turut memeriahkan pentas Sutung Umar RS malam itu, termasuk penyair seperti Ahmad Sarju, Amiruddin Md Ali Hanafiah, Datin Barupawati Utamaju, Norazimah Abu Bakar, Datuk Dr Mohd Radzuan Ibrahim, Siso dan Roslan Madun.

Turut menarik perhatian ialah gandingan Sani Sudin bersama Syed Amran dan Adiwangsa Sukma ketika menyampaikan lagu Bahtera Merdeka.

Sementara itu, Mohamad Saleeh berkata, penubuhan Malaysia pada 16 September 1963, membawa satu detik penyatuan yang bukan sahaja sangat penting, tetapi juga politikal sifatnya.

Berita Harian X