Khamis, 6 September 2018 | 3:48pm
KUALA LUMPUR 08 APRIL 2018. Panel, Abdur-Razzaq Lubis during the Book Conversation Sutan Puasa, Founder of Kuala Lumpur at Galeri Petronas, Suria KLCC.NSTP/SALHANI IBRAHIM

Kampung Baru sebuah sejarah Melayu

Dilema antara kemajuan yang seiring landskap modenisasi ibu kota atau simbol penyertaan orang Melayu yang perlu dikekalkan, menjadi kemelut pembangunan Kampung Baru yang masih belum selesai.

Selain isu penama yang ramai untuk sesebuah lot tanah sebagai halangan utamanya, Kampung Baru masih kekal berdenyut sebagai perkampungan Melayu yang bersejarah.

Berusia 118 tahun ketika ini, penyelidik bebas, Abdur-Razzaq Lubis menyifatkan Kampung Baru sebagai bukti sejarah penempatan orang Melayu di ibu negara.

“Pembabitan orang Melayu atau penduduk peribumi dengan pembangunan ibu kota bukanlah bersifat marginal,” katanya pada Seminar Kampung Baru Ke Arah Kampung Warisan Kuala Lumpur di sini, baru-baru ini.

Abdur-Razzaq ketika membentangkan kertas kerja, Introduction to Terry McGee’s Malays in Kuala Lumpur City turut memetik desertasi doktor falsafah Prof Emeritus, Terence Gary McGee atau Terry McGee pada 1969, iaitu Malays in Kuala Lumpur City: Geographical Study of the Process of Urbanization.

Terry McGee yang kini berkhidmat di Universiti British Columbia, Kanada menyimpulkan dalam tempoh 20 tahun antara 1860 dan 1880, akibat kemasukan pelombong China atas arahan penjajah British, orang Melayu mula keluar daripada wilayah itu, sekali gus kehilangan dominasi terhadap kawasan bandar dan tarikan ekonomi.

Penambahan populasi

“Menjelang 1880, struktur ekologi Kuala Lumpur sudah menonjolkan pemisahan kaum. Tahun 1880 juga tempoh berlakunya pertambahan populasi secara pesat, terutama di Selangor membabitkan dua kaum utama, iaitu Melayu dan China,” katanya.

Abdur-Razzaq berkata, pemahaman kepada latar belakang sejarah sebegini penting untuk dijadikan masukan kepada pembangunan semula Kampung Baru.

Sejarah Kampung Baru sebagai kawasan penempatan orang Melayu terbesar di ibu kota bermula pada 1899 melalui tanah kurniaan Sultan Selangor ketika itu, Sultan Alauddin Sulaiman Syah Raja Muda Musa (Sultan Sulaiman).

Keluasan asalnya ialah 223 ekar dan menaungi tujuh kampung, iaitu Kampung Hujung Pasir, Kampung Periuk, Kampung Masjid, Kampung Pindah, Kampung Paya, Kampung Atas A dan Kampung Atas B.

Seiring itu, Malay Agricultural Settlement (MAS) ditubuhkan dengan berdasarkan peruntukan Seksyen 3 (1)The Malay Agricultural Settlement (Kuala Lumpur) Rules 1950 yang meletakkan urusan pentadbiran dan kawalan Kampung Baru di bawah kuasa Lembaga Pentadbir MAS.

Antara lain, MAS boleh membuat undang-undang kecil sendiri dan bertanggungjawab melulus dan menetapkan syarat pelan bangunan dan sambungan rumah.

Belum ada persetujuan

Usaha membangunkan Kampung Baru sebenarnya dimulakan sejak 1980-an tetapi sehingga kini, masih belum ada sebarang persetujuan dicapai.

Usaha pembangunan itu mencapai fasa baharu pada 2010 apabila kerajaan ketika itu mencadangkan konsep pembangunan yang memastikan antara lainnya penduduk dan pemilik tanah tidak perlu berpindah ke tempat lain.

Hal itu kemudiannya membawa kepada penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru pada 2011 tetapi sehingga kini belum ada perkembangan terkini berhubung pembangunan perkampungan bersejarah berkenaan.

Sementara itu Setiausaha MAS, Shamsuri Suradi, berkata warga Kampung Baru tidak menolak pembangunan tetapi usaha membangunkannya perlu mendapat kelulusan semua pemegang tanah.

“Orang Kampung Baru hendak membangun dengan cara mereka sendiri. Pembangunan perlu tetapi objektif utama penubuhan MAS itu juga perlu dikekalkan,” katanya.

Seminar itu dianjurkan Pusat Penyelidikan Mizan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Berita Harian X