Rabu, 15 Ogos 2018 | 11:11am
A Samad mendeklamasi puisi pada Malam Baca Puisi PENA-ITBNDBP ‘Sayangi Malaysiaku’ di Rumah PENA, baru-baru ini.
A Samad mendeklamasi puisi pada Malam Baca Puisi PENA-ITBNDBP ‘Sayangi Malaysiaku’ di Rumah PENA, baru-baru ini.

A Samad Said kembali gegar pentas sajak

KUALA LUMPUR: Malam Baca Puisi Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)-Institut Terjemahan Buku & Malaysia (ITBM)-Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Rumah PENA di sini, baru-baru ini membawa dua peristiwa yang istimewa.

Istimewanya malam bertemakan Sayangi Malaysiaku itu bukan sahaja kerana diadakan sesuai dengan iklim sambutan kemerdekaan tanah air menjelang 31 Ogos ini, bahkan kunjungan Sasterawan Negara (SN), Datuk Seri A Samad Said.

Kali terakhir tokoh besar kesusasteraan negara itu menjejakkan kaki ke Rumah PENA ialah beberapa tahun yang lalu.

Justeru tidak hairan mengapa kehadiran beliau pada acara baca puisi kali ini menjadi sesuatu yang sangat dinantikan khalayak pengikut acara berkenaan.

Berdiri di pentas Sutung Umar RS, A Samad yang diiringi dua pemuzik menyampaikan dua puisi yang ditujukan buat Perdana Menteri pertama negara yang juga Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman dan penggantinya, Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

“Dengan hadirnya pemimpin baharu dan berundurnya pemimpin lama, saya ingin mengingatkan kembali kepada dua pemimpin, iaitu Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak.

“Kedua-duanya sudah tidak ada tetapi tanah air kita ini jadi begini kerana diasaskan mereka berdua.

“Memang ada (perkara) yang tidak menyenangkan di sana-sini tetapi kita juga jangan lupa asalnya sesebuah negara itu tidak akan muncul tanpa pemimpin,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Malam Baca Puisi PENA-ITBM-DBP.

Mulai hargai kemerdekaan

A Samad berkata, kebanyakan masyarakat hari ini mulai sedar dan menghargai erti kemerdekaan.

“Ada kalanya kita nampak (masyarakat) seperti lupa tetapi ramai yang kini sedar satu bangsa sudah bermula.

“Generasi muda kini juga ada masanya masih lagi bergantung (dan memerlukan panduan) generasi tua justeru yang tua itu perlu menjadi contoh,” katanya yang hadir ditemani isteri, Datin Seri Rashidah Mohd Dahan.

Yang turut hadir, SN Datuk Baharuddin Zainal atau Baha Zain bersama isteri, Datin Rusiah Abdullah; Presiden PENA, Dr Mohamad Saleeh Rahamad; Pengarah Urusan ITBM, Mohd Khair Ngadiron dan Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, Aminah Awang Basar.

Sementara itu, Mohamad Saleeh dalam ucapannya pada acara yang turut mendapat kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) mengingatkan supaya kemerdekaan yang dimiliki itu, dinikmati dengan semangat yang tidak dicemari niat buruk serta perasaan mementingkan diri sendiri.

Katanya, apabila bercakap mengenai kemerdekaan, ia mencerminkan satu usaha untuk mempertahankan kedaulatan yang dimiliki supaya tidak terlepas ke tangan pihak lain.

“Kehilangan kedaulatan ada pelbagai cara dan bukan secara politiknya saja tetapi juga boleh berlaku apabila sudah terhakis tiang asas dalam pembinaan negara bangsa itu.

“Kemerdekaan ini perlu dijadikan titik-tolak untuk bergerak ke hadapan dengan semangat yang tidak dicemari sebarang niat buruk bagi memancung tiang asas pembinaan negara bangsa.

“Kita sudah diperintah kerajaan yang baharu tetapi saya berharap pergolakan politik yang berlaku hari ini tidak sampai menggoncang tiang asas itu,” katanya.

Pada masa sama, Mohamad Saleeh turut menyentuh mengenai generasi yang sudah ‘terlepas talinya’ dari sejarah negara.

“Bukan semua generasi muda tidak sedar kerana bagi yang tahu kesusahan mendapatkan kemerdekaan itu, mereka bergerak dan bangun mempertahan kemerdekaan dengan keberanian yang luar biasa.

“Bagaimanapun generasi yang masih tidak sedar ini perlu kita bangkitkan. Mereka perlu tahu kemerdekaan ini bukan diperoleh dalam masa yang singkat.

“Ia terbina dengan darah dan air mata pejuang serta perundingan yang rinci sifatnya dan sejarah inilah yang perlu mereka fahami,” katanya.

Berita Harian X